Khamis, 1 Mac 2012

Ringkasan Karangan 2

Baca petikan di bawah  dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara  meningkatkan tahap kesihatan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kesihatan amat penting kepada manusia. Kekayaan yang melimpah-ruah atau pangkat yang tinggi  tidak berguna jika tubuh kita menanggung  pelbagai penyakit.  Kita mestilah menjaga kesihatan kerana jika kesihatan kita terjejas, usaha untuk memulihkannya mungkin agak sukar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
            Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa makanan sangat penting kepada kita.  Kita perlu makan untuk hidup tetapi janganlah kita makan mengikut rasa dan selera sehingga menimbulkan mudarat kepada badan.  Kita mesti mengambil makanan seimbang setiap hari.  Makanan seimbang mengandungi semua zat dan vitamin yang diperlukan oleh badan.  Selain makan daging atau ikan, kita perlu juga makan sayur-sayuran serta buah-buahan.  Masalahnya, pada masa ini ramai orang, khususnya remaja dan kanak-kanak tidak suka makan sayur-sayuran atau buah-buahan.  Mereka lebih meminati coklat atau aiskrim yang mengandungi lemak dan boleh menyebabkan kegemukan.  Pengetahuan tentang piramid makanan boleh membantu kita menguruskan pengambilan makanan yang betul.
            Kita juga perlu memastikan kebersihan makanan yang dimakan.  Makanan yang dihidangkan hendaklah sentiasa tertutup daripada habuk dan tidak dihinggapi lalat.  Makanan yang kotor atau yang telah tercemar boleh menyebabkan keracunan.  Dalam kalangan remaja zaman sekarang, menikmati makan segera di restoran makanan segera sudah menjadi seperti satu kemestian.  Makanan di restoran berkenaan memang sedap tetapi di sebalik kesedapan itu tersembunyi kesan sampingan yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.  Makanan segera seperti ayam goreng atau kentang goreng perlu dikurangkan kerana mengandungi lebihan garam dan lemak yang akan menyebabkan penyakit darah tinggi dan sakit jantung.
                        Kita perlu juga melakukan senaman untuk meningkatkan tahap kesihatan.  Tujuan kita bersenam adalah untuk mengeluarkan peluh yang mengandungi bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh badan.  Untuk bersenam atau mengeluarkan peluh, kita tidak memerlukan sebarang perbelanjaan.  Cara mengeluarkan peluh yang paling mudah adalah berjoging.  Pemeriksaan doktor secara berkala juga perlu bagi memastikan kesihatan kita berada pada tahap yang baik.  Melalui pemeriksaan doktor, kita mungkin dapat mengesan sebarang penyakit yang baru hendak bermula.  Dengan itu langkah pencegahan akan lebih mudah.  Masalah yang kerap timbul ialah kebanyakan orang bertemu dengan doktor setelah penyakit sudah berada di peringkat kronik. 
            Kesihatan ialah anugerah Tuhan yang tidak dapat dijual beli.  Kita perlu sentiasa prihatin terhadap tahap kesihatan kita.  Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada merawat penyakit


.
Bahagian A(ii): Pemahaman 
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 1.  Apakah maksud rangkai kata Pemeriksaan doktor secara berkala                   (2 markah)
 2.  Berdasarkan petikan, nyatakan empat jenis makanan yang disukai oleh golongan remaja.                 (4 markah)
 3.  Pada pendapat anda, apakah cara terbaik untuk menggalakkan masyarakat mementingka penjagaan kesihatan?                                                  (4 markah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan