Rabu, 1 Februari 2012

KARANGAN JENIS LAPORAN

KARANGAN JENIS LAPORAN
Persatuan Bahasa Melayu di sekolah anda telah mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru –baru ini. Anda sebagai setiausaha persatuan itu dikehandaki menulis satu laporan lengkap tentang lawatan tersebut. Tulis laporan itu.

Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka.

     Pada cuti penggal kedua yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu, SMK Ade Putra, Masjid Tanah, Melaka telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Lawatan yang diadakan pada hari Sabtu, 21 Januari 2012 disertai oleh sebanyak 40 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat.

     Objektif lawatan tersebut adalah untuk mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP, mengetahui cara-cara buku diterbitkan, dan untuk menimba pengetahuan selaras dengan konsep lawatan sambil belajar.

     Sebelum bertolak, guru penasihat kami mengingatkan para pelajar supaya menjaga disiplin dan nama baik sekolah semasa di sana.
Selepas mendengar pesanan beliau, barulah rombongan kami bertolah dari sekolah.

     Kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tepat pukul 11.00 pagi. Rombongan kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau memberi penerangan tentang sejarah penubuhan DBP dan tujuan penubuhannya. Kami juga diberi taklimat ringkas tentang bahagian-bahagian yang akan kami lawati. Sebelum itu, kami diberi satu naskah majalah Pelita Bahasa keluaran DBP secara percuma.
     Tempat pertama yang menjadi destinasi kami adalah ke bahagian pameran. Semasa berada di bahagian ini kami berpeluang melihat berbagai-bagai jenis buku yang dikeluarkan oleh DBP sama ada buku-buku lama atau buku-buku baru. Buku-buku tersebut ditulis dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang merangkumi buku-buku agama, politik, ekonomi, dan bahasa. Kami juga berpeluang mengenali berbagai-bagai jenis majalah seperti majalah Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan lain-lain. Kami juga diberi beberapa maklumat tentang buku-buku dan majalah-majalah tersebut terutamanya apabila timbul beberapa kemusykilan.

     Selepas itu, kami dibawa ke bahagian pencetakan. Di sini, kami melihat dengan jelas cara-cara buku dan majalah dicetak. Kami perhatikan buku-buku tersebut dicetak dengan begitu pantas dengan menggunakan alat-alat yang canggih, teknik-teknik yang sistematik, yang diusahakan oleh pekerja-pekerja yang mahir dan cekap. Kami juga dapat melihat dengan jelas cara buku-buku itu dijilid, disusun, dan sebagainya.

     Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku bagi kegunaan kami. Hal ini demikian kerana kami diberi potongan harga istimewa oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Kira-kira pukul 3.00 petang, selepas dihidangkan jamuan ringan, kami mula bertolak keluar dari perkarangan DBP. Lawatan tersebut telah menimbulkan banyak faedah kepada kami. Antara faedah-faedahnya ialah kami dapat mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP. Buku-buku tersebut didapati telah menjadi bahan rujukan utama sama ada oleh para pelajar, mahasiswa, mahupun orang perseorangan.

     Selain itu, lawatan tersebut dapat menyemai minat dan budaya membaca di kalangan pelajar. Sekurang-kurangnya timbul keinsafan dan kesedaran di hati kami tentang betapa pentingnya membaca untuk menambah pelbagai maklumat dan pengetahuan. Lawatan sambil belajar yang kami anjurkan ini dianggap berkesan kerana kami dapat menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan.

     Walaupun lawatan seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh persatuan kami, namun lawatan ini sangat berhasil. Harapan kami agar lebih banyak pelajar di sekolah ini menyertai lawatan sambil belajar pada masa depan.


Dilaporkan Oleh, 13 FEBRUARI 2012.

Farid Asfar
………………………………
(FARID ASFAR B ABD GHANI)
Setiausaha, Persatuan Bahasa Melayu,
SMK Ade Putra, Masjid Tanah, Melaka.

KARANGAN WAWANCARA

Soalan:
Sebagai pengarang majalah sekolah anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar di sekolah anda yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan PMR tentang rahsianya mencapai kejayaan untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis teks wawancara anda selengkapnya.

Kerangka Karangan
Pendahuluan
- Pengenalan tentang orang yang akan diwawancara, tempat, masa dan tujuan wawancara.
- Ucapan salam dan tahniah kepada pelajar yang mencapai kejayaan.

Cadangan isi.
Soalan dan jawapan tentang rahsia kejayaan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM- Jadual pembelajaran dan cara mengatur jadual mengulang kaji pelajaran.
- Aspek penting yang perlu semasa pembelajaran di dalam bilik darjah.
- Kaedah pembelajaran lain yang diikuti oleh pelajar bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan.
- Aktiviti lain yang diikuti bagi menambahkan pengetahuan.

Penutup :
- Nasihat kepada pembaca untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan.- Ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara.


Soalan
Berdasarkan kerangka karangan yang ditulis secara ringkas, teliti contoh karangan lengkap di bawah.

Pada 16 Februari 2012 yang lalu, saya, iaitu Nur Amanina Abdul Halim sebagai pengarang Majalah SUARA SMKAP telah menjalankan wawancara dengan seorang pelajar cemerlang dalam Peperiksaan PMR yang baru lalu, iaitu saudari Esther Wee. Wawancara yang dijalankan di bilik kauseling sekolah ini bertujuan untuk dimuatkan dalam majalah SUARA SMKAP keluaran tahun 2012. Yang berikut ialah wawancara saya dengan beliau.


Amanina : Selamat pagi Saudari Esther.

Esther : Selamat pagi.

Amanina : Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudari kerana sudi diwawancara pada pagi ini. Selain itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Saudari kerana Saudari telah mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang dalam peperiksaan PMR yang baru lalu.

Esther : Terima kasih.

Amanina : Saudari, saya difahamkan Saudari memperoleh 8 A dalam peperiksaan PMR yang diumumkan baru-baru ini.

Esther : Ya, benar. Saya telah berjaya memperoleh 8 A dalam peperiksaan PMR yang saya duduki pada tahun lepas. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa saya, semua guru saya dan rakan-rakan saya yang turut sama berusaha sehingga saya mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang dalam PMR pada tahun lalu. Tanpa bantuan dan dorongan daripada mereka semua, amat sukar bagi saya mencapai kejayaan ini. Bagi saya, kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang malahan merupakan kejayaan mereka juga.

Amanina : Siapakah yang menjadi pendorong kepada Saudari sehingga mencapai kejayaan yang mengharumkan nama sekolah kita?

Esther : Selain kedua-dua orang ibu bapa saya, orang yang paling banyak mendorong saya mencapai kejayaan ialah Guru Tingkatan saya, iaitu Cikgu Razali. Beliau begitu prihatin dengan pencapaian saya dalam sebarang peperiksaan yang saya tempuhi sejak saya menjadi anak muridnya. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada beliau.

Amanina : Bagaimanakah Saudari mengatur jadual sehingga berjaya mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang ini?

Esther : Sebenarnya tiada jadual khusus yang saya ikuti dalam mengulang kaji pelajaran. Saya mengulang kaji pelajaran mengikut masa lapang saya. Bagi saya, penetapan jadual yang khusus akan menyebabkan kita mudah berasa bosan kerana mengikuti perkara yang sama pada setiap hari. Kebiasaannya, pada waktu petang saya mengikuti kelas bimbingan bagi mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Selepas itu, sekiranya ada masa lapang saya akan berlari-lari anak di sekitar kawasan perumahan yang saya duduki sekadar mengeluarkan peluh. Pada waktu malam pula, sekiranya tiada kerja rumah yang dibekalkan oleh guru, saya mula mengulang kaji pelajaran dari pukul lapan malam sehingga pukul sepuluh malam.

Amanina : Bagaimanakah caranya Saudari mengikuti pembelajaran yang dijalankan semasa di kelas?

Esther : Kita tidak dapat menafikan kepentingan pembelajaran di dalam kelas. Semasa guru mengajar saya akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya perkara-perkara yang disampaikan oleh guru. Tumpuan yang penuh semasa pembelajaran membolehkan saya mengingati sesuatu aspek dalam pelajaran berkenaan bagi jangka masa yang lebih lama. Saya juga membiasakan diri saya bangun pada awal pagi sekitar jam lima pagi. Selepas mandi saya akan membaca tajuk-tajuk yang akan diajar oleh guru pada hari berkenaan. Hal ini bertujuan untuk membolehkan saya memahami pelajaran yang akan diajarkan dengan lebih mudah. Sekiranya timbul kekeliruan, saya tidak akan menunggu lama untuk bertanya kepada guru tentang perkara tersebut.

Amanina : Adakah Saudari mengikuti pembelajaran secara berkumpulan sebagaimana yang dijalankan oleh pelajar-pelajar yang lain?

Esther : Ya, benar. Saya juga mengikuti pembelajaran secara berkumpulan bersama-sama tiga orang rakan karib saya seperti Yew Hong, Hazidah dan Najwa. Aktiviti belajar secara berkumpulan ini biasanya kami lakukan pada hujung minggu, iaitu pada pagi Ahad dari pukul lapan pagi sehingga pukul sebelas pagi. Pembelajaran secara berkumpulan juga penting bagi menilai kemampuan kami mengingati fakta yang telah kami pelajari dalam masa seminggu. Semasa perbincangan, kami akan mengemukakan fakta yang telah diajarkan oleh guru secara lisan. Kaedah ini dapat menguji daya ingatan kami. Sekiranya ada fakta yang tersilap, salah seorang daripada kami akan membetulkan fakta berkenaan. Dengan cara ini, kami dapat mengingati fakta berkenaan dengan tepat.

Amanina : Saya difahamkan Saudari juga aktif dalam kegiatan persatuan, kelab dan permainan di sekolah. Tidakkah perkara ini mengganggu pembelajaran Saudari?

Esther : Tidak sama sekali. Kegiatan yang saya lakukan ini hanyalah pada hari Sabtu sahaja. Saya merupakan Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan mewakili sekolah dan daerah dalam permainan ping pong. Sebagai pengerusi persatuan akademik saya dan rakan-rakan saya kerap menganjurkan aktiviti persatuan yang dapat memantapkan penguasaan kami dalam sesuatu mata pelajaran. Misalnya, kami akan menganjurkan pertandingan syarahan, perbahasan ataupun berbalas pantun. Dengan cara ini, saya dapat meningkatkan penguasaan saya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Bagi saya, aktif dalam sesuatu kegiatan di luar bilik darjah tidak akan mengganggu pelajaran kita selagi kita bijak membahagikan masa dan menggunakan masa dengan berkesan.

Amanina : Soalan saya yang terakhir. Apakah nasihat Saudari kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini?

Esther : Nasihat saya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini ialah selain tekun mengulang kaji pelajaran, kita perlu menurut segala nasihat ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih tua daripada kita. Kita juga perlu menghormati dan sentiasa memohon restu daripada mereka. Restu daripada ibu bapa dan guru amat penting bagi mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran. Akhirnya, kita juga perlu berdoa kepada Tuhan setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Sekiranya perkara ini dapat kita lakukan dengan ikhlas, kejayaan sudah pasti berada dalam genggaman kita.

Amanina : Baiklah Saudari Esther, akhir kata saya mengucapkan tahniah sekali lagi dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama-sama dengan saya pada pagi ini.

Esther : Terima kasih kembali.


Soalan latihan 
  1. Sebabagai wartawan salah sebuah akhbar perdana di negara kita, anda ingin menemu bual salah seorang ketua penduduk sebuah taman tentang usaha-usaha untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk. Tulis teks wawancara tersebut dengan lengkap.
  2. Salah seorang pelajar di sekolah anda telah menerima anugerah sebagai Olahragawan Negeri dalam kejohanan sukan di peringkat negeri. Anda sebagai salah seorang anggota sidang redaksi majalah sekolah dikehendaki mewawancara pelajar tersebut tentang kejayaannya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Tulis teks wawancara anda selengkapnya.

PANDUAN MENULIS KARANGAN WAWANCARA

PANDUAN MENULIS KARANGAN WAWANCARA / TEMU RAMAH
Contoh Soalan:

Sebagai pengarang majalah sekolah anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar di sekolah anda yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR tentang rahsianya mencapai kejayaan untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Tuliskan wawancara anda itu selengkapnya.

Pendahuluan

Menerangkan secara ringkas dalam bentuk perenggan:
a. siapa dengan siapa
b. tempat wawancara
c. masa wawancara diadakan
d. tujuan wawancara diadakan

Contoh Pendahuluan:

Pada 16 Mac yang lalu, saya iaitu Aleef Adham sebagai pengarang Majalah SUARA telah menjalankan wawancara dengan seorang pelajar cemerlang dalam PMR yang baru lalu iaitu saudara Amirul Adhwa. Wawancara yang dijalankan di bilik gerakan ini bertujuan untuk dimuatkan ke dalam majalah SUARA keluaran tahun 2008.

Pengenalan:

Ditulis dalam bentuk dialog
a.Mengucapkan salam
b.Memperkenalkan diri
c.Menerangkan tujuan wawancara diadakan

Contoh Pengenalan:

Aleef : Assalamualaikum saudara Adhwa.

Adhwa : Waalaikumsalam.

Aleef : Saya Aleef, selaku pengarang majalah SUARA sekolah kita,terlebih
dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara kerana sudi
diwawancara pada pagi ini.Wawancara kita ini akan dimuatkan di dalam
majalah SUARA keluaran tahun ini.

Isi Wawancara:

Mengandungi soalan pewawancara dan jawapan daripada yang diwawancara
Soalan yang bersesuaian dengan kehendak soalan karangan
Ditulis dalam ayat yang lengkap dan sempurna
Jangan menulis “singkatan” atau “bahasa pasar”
Masukkan 4 isi yang menjurus kepada kehendak soalan karangan

Contoh Isi:

Aleef : Siapakah yang menjadi pendorong kepada saudara sehingga mencapai
kejayaan yang sungguh cemerlang dalam PMR yang lalu?

Adhwa : Selain kedua-dua orang ibu bapa saya,orang yang paling banyak
mendorong saya mencapai kejayaan ialah Guru Tingkatan saya iaitu
Encik Nor Azam.Beliau begitu prihatin dengan pencapaian saya dalam
sebarang peperiksaan yang saya tempuhi sejak saya menjadi anak
muridnya.Terima kasih cikgu.

Penutup:

Nasihat/Saranan oleh orang yang diwawancara kepada pembaca
Ucapan terima kasih pewawancara kepada orang yang diwawancara

Contoh Penutup-Nasihat:

Aleef : Soalan saya terakhir.Apakah nasihat saudara kepada pelajar-
pelajar yang akan menduduki PMR pada tahun ini?

Adhwa : Nasihat saya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki PMR pada
tahun ini adalah selain tekun mengulangkaji pelajaran, kita perlu
menurut segala nasihat ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih
tua daripada kita.Akhirnya kita perlu berdoa kepada Tuhan Yang
Maha Esa.

Contoh Penutup-Terima kasih:

Aleef : Baiklah saudara Adhwa, akhir kata saya ingin mengucapkan tahniah
sekali lagi dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa
bersama-sama dengan saya pada pagi ini

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK
Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik.(IU) Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik.(UI) Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.(KS)(67 patah perkataan)
Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan.(AI) Program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan.(H/C) Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.(H/F) Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.(H/F)(100 patah perkatan)
Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai.(AI) Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja.(H/C) Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata.(H) Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.(H)(104 patah perkataan)
Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan.(KI) Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara.(RI) Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !(H)(69 patah kata

Langkah-langkah Untuk Meringkaskan Karangan

Langkah 1

Baca arahan dan fahamkan kehendak soalan.
Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan menguasai teknologi maklumat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Langkah 2

Sambil membaca petikan gariskan idea yang berkaitan dengan arahan.
Baca keseluruhan petikan yang diberikan beberapa kali dan gariskan isi-isi penting.
Isi-isi penting yang digarisi perlu mencakupi kehendak soalan.

Langkah ke-3

Tukarkan perkataan yang seerti dengan perkataan yang ada di dalam baris sebanyak mungkin tanpa mengubah maksud asalnya.

Contoh:

para usahawan(tukar kepada peniaga) dapat mempromosikan(tukar kepada mengiklankan) barangan(tukar kepada produk) mereka secara langsung(tukar kepada terus) melalui laman-laman web kepada masyarakat(tukar kepada orang ramai)

Langkah ke-4

Pilih penanda wacana yang sesuai mengikut kesesuaian isi yang telah dipilih selepas ayat yang pertama.

Langkah ke-5

Tulis ringkasan karangan tanpa perlu ada pendahuluan, penutup atau pendapat anda sendiri.
a.Tulis hanya SATU ISI dalam SATU AYAT.
b.Tulislah ringkasan mengikut pemahaman anda tentang isi-isi penting karangan.
c.Dapatkan sekurang-kurangnya lebih daripada LIMA ISI PENTING.
d.Anda tidak boleh menyatakan pendapat atau membuat kesimpulan.
e.Daripada isi penting yang anda garisi itu, binalah ayat-ayat anda sendiri.
f.Gunakan ayat ringkas saja.
g.Mulakan ayat dengan penanda wacana yang sesuai.
h.Jumlah kata yang digunakan menepati arahan soalan

CONTOH PENDAHULUAN DAN PENGGUNAAN PENANDA WACANA

Antara kebaikan menguasai teknologi maklumat ialah para peniaga dapat mengiklankan produk mereka secara terus menerusi laman-laman web kepada orang ramai. Selain itu, orang ramai pula boleh melayari mana-mana laman web untuk memperoleh produk yang diperlukan tanpa perlu membuang waktu mencari produk tersebut di luar.