Jumaat, 26 Julai 2013

Punca berlakunya gengsterisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Soalan: Gejala samseng dan gengster di sekolah menengah di seluruh negara membuktikan bahawa pelajar telah berani mencabar undang-undang negara dan peraturan sekolah.
Huraikan punca berlakunya gengsterisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Jawapan cadangan:
       Hakikat bahawa gejala samseng dan gengster di sekolah menengah di seluruh negara membuktikan pelajar telah berani mencabar undang-undang negara dan peraturan sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak.
       Pengaruh rakan sebaya merupakan punca utama berlakunya gengsterisme di sekolah menengah. Hal ini demikian, kerana kumpulan gengster akan mendorong pelajar lain terlibat dalam gejala gengster. Malahan, perbuatan samseng dan gengster adalah menjadi syarat terhadap ahli sesuatu kumpulan. Mereka bukan sahaja mengugut secara berkumpulan, tetapi juga membuli, bergaduh malah mencederakan pelajar lain di sekolah. Selain itu, mereka turut melakukan kegiatan gengster demi mempertahankan maruah kumpulan. Mereka sanggup menyahut cabaran dari kumpulan lain supaya bertapak kukuh dalam sekolah. Jelasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya gengsterisme.
       Kekurangan pendidikan agama dan moral turut menjadi punca berlakunya gengsterisme. Pendidikan agama dan moral bukan sahaja dapat membentuk modal insan yang berakhlak mulia pada masa hadapan tetapi juga dapat menerapkan nilai-nilai murni pada diri seseorang pelajar. Nilai-nilai murni yang dapat diterapkan oleh pelajar membolehkan mereka bertindak berdasarkan amalan yang baik. Malangnya, guru-guru di sekolah kurang memberi pendidikan agama dan moral kepada pelajar kerana menganggap pendidikan ini kurang penting berbanding subjek lain.
      Pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah gengsterisme di sekolah. Pihak sekolah harus melibatkan semua pelajar dalam aktiviti persatuan mahupun kelab. Kebanyakan pelajar terlibat dalam gejala gengster berpunca daripada masa yang terluang. Dengan mempelbagaikan aktiviti persatuan di sekolah, hal ini dapat menarik perhatian dan penyertaan daripada semua pelajar dalam sekolah. Oleh itu, guru penasihat wajar menambahkan aktiviti yang dapat menarik penyertaan para pelajar untuk mengatasi gejala gengster di sekolah menengah.
       Selain itu, kempen cegah jenayah wajar dilaksanakan. Pihak sekolah boleh menjemput bekas-bekas penjenayah datang ke sekolah untuk memberi ceramah. Hal ini merupakan langkah yang paling berkesan kerana bekas-bekas penjenayah dapat menyampaikan pengalaman dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka kepada para pelajar di sekolah. Dengan ini, pelajar-pelajar di sekolah akan mendapat kesedaran malah menanam azam yang tinggi supaya meninggalkan kegiatan gengsterisme. Jelasnya, kempen cegah jenayah wajar dijalankan untuk membendung masalah gengsterisme.
        Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu supaya masalah gengsterisme di sekolah menengah dapat diatasi. Hal ini bukan sahaja mewujudkan keamanan sekolah, malah kemajuan turut dicapai.

Rabu, 24 Julai 2013

Kebaikan Amalan Gotong-Royong

Kebaikan Amalan Gotong-Royong
                Mengikut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud tolong-menolong atau kerja bersama-sama. Aktiviti gotong-royong masih banyak dilakukan di kampung-kampung dan kurang dilakukan di bandar pada masa ini. Pada pendapat saya, aktiviti gotong-royong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di negara kita. Terdapat beberapa kebaikan amalan gotong-royong jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
                Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja yang kita lakukan. Dengan membuat kerja secara gotong-royong, kerja yang kita lakukan akan lebih senang. Di kampung, majlis yang diadakan biasanya dibuat secara gotong-royong seperti majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis yang diadakan itu,, penduduk kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan mendirikan khemah.
                Selain itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam membersihkan kawasan balai raya atau sekolah. Apabila kerja yang kita lakukan cepat siap, secara tidak langsung kita dapat menjimatkan masa dan tenaga.
                Amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam sesetengah keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh peratus. Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong, kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan. Selain itu, kita juga boleh menjimatkan perbelanjaan membina tempat menunggu bas, jika dibuat secara gotong-royong.
                Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan kita. Amalan nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Antara nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan kerajinan. Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam masyarakat.
                Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong-royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan kaum di kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.
                Sebagai kesimpulan, aktiviti gotong-royong mempunyai beberapa faedah kepada masyarakat dan negara. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu ‘Maufakat Membawa Berkat’. Pada pendapat saya, pihak kerajaan boleh juga memupuk amalan gotong-royong melalui kempen yang diadakan di televisyen dan surat khabar secara berterusan. Aktiviti gotong-royong ini wajar diamalkan semula. Oleh itu, semua pihak mestilah memainkan peranan dengan mengamalkan budaya hidup bergotong-royong ini dalam kehidupan seharian.