Khamis, 11 Oktober 2012

Rakan Karib Saya

Sahabat Karib Saya
       Fazilah adalah sahabat karib saya. Saya mengenali dia sejak kami belajar di dalam darjah 1. Sekarang dia berumur 11 tahun dan tinggal di Kampong Kilanas. Dia merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Dia mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan.
      Fazilah mempunya hobi iaitu bermain badminton. Pada setiap waktu petang, dia bermain badminton bersama-sama bapa dan adik-beradiknya di kawasan lapang dekat rumahnya. Dia juga selalu menjemput saya untuk bermain bersama. Sekiranya ada masa lapang, saya dan Fazilah juga sering menonton rancangan televisyen bersama-sama.
     Saya menyukai Fazilah kerana dia seorang yang baik dan rajin. Dia selalu membantu saya sekiranya saya tidak memahami pelajaran yang telah cikgu ajar di sekolah. Sekiranya dia tidak memahami pelajaran yang telah diajarkan, saya akan membantu dia. Saya dan Fazilah adalah bagai aur dengan tebing.
      Dia juga suka menolong ayah dan ibunya di rumah. Dia selalu membantu orang tuanya membersihkan rumah seperti membuang sampah dan menyapu lantai.
      Itulah cerita ringkas mengenai sahabat karib saya. Saya berharap persahabatan saya dengan Fazilah akan kekal selama-lamanya.

SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI 2


                                                                          No.14, Jalan Sungai Congkak,
                                                                          40460, Shah Alam,
                                                                          Selangor Darul Ehsan.

                                                                          23 MEI 2009.



            Menemui sahabatku Ryan Peter Ortega yang kini berada di Jepun, semoga saudara sihat walafiat kehendaknya.

Saudara,

           Terlebih dahulu saya ingin mengucap terima kasih kerana telah mengirim sepucuk surat. Saya juga akan menerangkan saudara tentang keadaan di kampung nenda saya yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan .

          Nenda saya mempunyai sebuah dusun buah – buahan. Terdapat pelbagai jenis pokok buah – buahan seperti pokok durian, pokok rambutan, pokok mangga dan sebagainya. Buah-buahannya juga segar dan sedap. Suasana di dusun nyaman dan udaranya segar serta sunyi .Pokok-pokok menghijau dan subur.

          Terdapat juga sebatang sungai berhampiran dengan rumah datukku. Air di sungai itu jernih dan mengalir dengan deras. Terdapat banyak ikan di situ. Pada masa lapang, saya dan nendaku pergi memancing di sungai tersebut. Ikan di situ sedap dimakan apabila digoreng.

          Nenda saya juga mempunyai sebuah sawah padi. Terdapat banyak padi yang menguning di situ. Udara pula segar dan nyaman. Kita boleh bermain baling batu dan bermain kejar – kejar. Terdapat banyak orang yang menolong datuk menanam dan membaja padi di situ.

          Itu saja untuk sekarang. Semoga saudara telah terima semua maklumat yang saya sampaikan ini. Saya berharap saudara suka semua maklumat tentang keadaan di kampung dan balas balik surat ini.

Sekian, terima kasih.


                                                                             Yang benar,

                                                                             Ghaneassha.

 


Surat Kiriman Tidak Rasmi 1


                                                                                           17,Jalan Sungai Ramal
                                                                                           32/54, Bukit Rimau,
                                                                                           Shah Alam,
                                                                                           40460,Selangor.
                                                                                           19 MEI 2012

 


            Menemui sahabatku Nurul Syaza Salehuddin yang berada di Melaka. Harap saudari sekeluarga sihat walafiat.

Saudari,

            Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menceritakan keadaan di kampung saya. Antara tempat-tempatnya adalah di dusun, sawah dan sebatang sungai berdekatan kampung saya.

            Di dusun kepunyaan nenda , pokoknya hijau, buah-buah dan sayur-sayurannya banyak dan pemandangan dari atas pokok-pokok itu sungguh cantik. Pokok-pokoknya sungguh besar. Antara pokok-pokok yang terdapat di situ, terdapat pokok pisang, pokok kelapa dan pokok limau. Selain daripada pokok sayur dan buah, terdapat juga pokok bunga seperti pokok bom, pokok bunga kertas dan pokok bunga raya. Bunga-bunganya berkembang mekar.

            Sawah tempat yang udaranya sungguh segar dan nyaman. Sawah padinya menguning. Serangga terdapat di atas padi. Pelbagai jenis serangga. Sawah di sini sungguh sejuk. Terdapat lumpur dan sawah tersebut penuh dengan burung terbang dari sini ke sana. Sawah terletak di tepi jalan. Sawah itu sangat luas dan kaya dengan padi dan beberapa jenis tumbuhan-tumbuhan yang lain seperti pokok pisang dan pokok kelapa.

            Akhir sekali adalah keadaan di sebuah sungai berdekatan kampung saya. Di situ airnya kotor. Terdapat jambatan di sungai itu. Jambatan di sungai penuh dengan batu-bata. Di pinggir sungai itu ada pelbagai jenis tumbuhan dan juga buaian yang digantung dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Terdapat juga beberapa haiwan liar di situ seperti ular dan buaya. Kadangkala, terdapat itik yang tinggal dan mengeram di tepi sungai.

            Sekian sahaja buat kali ini. Semoga surat ini disampaikan kepada saudari. Pecah kaca, pecah gelas, sudah baca, harap balas.

                                                                                                            Yang benar ,

                                                                                                            Sharafina

PENGALAMAN BERCUTI DI KAMPUNG


KARANGAN PENGALAMAN BERCUTI  DI KAMPUNG

 

            Pada cuti sekolah yang lalu, saya dan keluarga telah pulang ke rumah nenek saya di kampung. Sehari sebelum ke sana, kami semua sibuk mengemas barang masing-masing untuk dimasukkan ke dalam beg sebelum diletakkan di dalam bonet kereta. Kakak saya mengemas rumah kerana kami akan bercuti lama di kampung.

            Keesokan harinya, kami bangun awal pagi untuk membersihkan diri. Setelah solat Subuh, kami segera bertolak ke rumah nenek saya. Disebabkan terlalu gembira, saya langsung tidak dapat melelapkan mata. Kami singgah di perhentian untuk bersarapan pagi. Saya agak terkejut apabila mendapati harga makanan- makanan yang dijual sangat mahal tidak standing dengan makanan yang disediakan. Setelah membeli sebungkus nasi lemak, saya makan bersama keluarga di tempat yang telah disediakan.

            Walaupun masih awal, tetapi perhentian itu semakin penuh. Mungkin mereka bertolak awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya pada sebelah petang. Kemudian, kami meneruskan perjalanan. Setelah empat jam perjalanan, kami pun tiba di rumah nenek.

            Nenek dan datuk kelihatan gembira dengan kedatangan kami semua. Mereka menyambut kami dengan mesra. Saya dan kakak berlumba untuk memeluk nenek. Kemudian kami mengangkat barang yang dibawa ke dalam kereta. Setelah semua selesai, kami makan tengah hari yang dimasak oleh nenek. Masakan nenek yang sungguh enak membuatkan saya dan kakak tidak berhenti makan. Ibu dan ayah hanya melihat tingkah laku kami sambil tergelak kecil.

            Pada petang itu ,datuk telah membawa kami ke dusun buahnya yang tidak jauh dari rumah. Di dusun datuk terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan seperti rambutan, durian, manggis dan banyak lagi. Saya dan kakak memakan buah rambutan yang dikait datuk. Kami membawa pulang beberapa ikat buah rambutan ke rumah.

            Keesokan harinya, kami bersama-sama pergi memancing ikan di sungai. Saya berasa sungguh seronok apabila mendapat banyak ikan. Kami memasak asam pedas menggunakan ikan-ikan tersebut. Setelah seminggu, kami pun berkemas-kemas untuk pulang ke rumah. Walaupun agak sedih, namun saya tetap gembira dapat bercuti di kampung.

Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum


Karangan Fakta : Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

            Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak faedah.

            Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu.Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

            Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

            Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.


            Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesamakita.

            Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.

Kesan Penyalahgunaan Dadah 2


            Penemuan dadah pada mulanya memberikan manfaat yang besar dalam dunia perubatan. Kajian demi kajian telah dilakukan untuk menghasilkan pelbagai jenis dadah. Sebagai hasil kajian-kajian tersebut, muncullah pelbagai jenis dadah seperti morfin, heroin, dan kokain. Walaupun bermanfaat dadah juga dapat mengakibatkan pelbagai keburukan apabila disalahgunakan sehingga menyebabkan ketagihan.

            Dadah mampu memusnahkan kebahagiaan hidup seseorang. Apabila seseorang menagih dadah, maka gelaplah masa depannya. Badan dan otaknya menjadi lemah kerana dadah meracuni tubuhnya. Hidupnya akan sentiasa terseksa oleh rasa loya, pening, sakit perut, kekejangan, muntah-muntah dan pelbagai gejala lagi. Gejala yang paling dahsyat akibat penyalahgunaan dadah ialah sindrom kurang daya tahan melawan penyakit (AIDS). Puncanya bukan disebabkan dadah tetapi akibat jangkitan virus kurang daya tahan melawan penyakit (HIV) kerana berkongsi jarum suntikan sesama penagih.

            Penagih dadah dianggap sebagai bangkai bernyawa yang hidup terkapai-kapai. Tidak ada sesiapa yang ingin menjadi temannya. Mereka dianggap sampah masyarakat. Akibat pengaruh dadah juga, para penagih dadah akan hilang harga diri dan kehilangan sifat-sifat kemanusiaan. Mereka juga sering berbalah, malah ada antaranya yang sanggup membunuh kerana berebutkan dadah. Selain itu, mereka juga mudah terjerumus ke dalam seribu satu macam kegiatan jenayah dan kemungkaran.

            Negara pula akan mengalami kerugian dari segi sumber tenaga manusia. Hal ini demikian kerana tenaga mereka tidak dapat digunakan untuk pembangunan negara. Di samping itu, tenaga para belia yang menagih dadah ini juga dapat digunakan untuk mempertahankan negara. Sebagai akibatnya, pertahanan negara mungkin menjadi lemah dan hal ini memungkinkan mana-mana kuasa asing melancarkan niat jahatnya terhadap negara kita. Dalam pada itu, masyarakat dan kerajaan terpaksa pula berbelanja besar untuk memberikan rawatan kepada para penagih dadah. Peruntukan terhadap pembangunan sosioekonomi negara terpaksa dikurangkan kerana terpaksa disalurkan usaha membiayai pembinaan serta pengurusan pusat-pusat pemulihan penagih dadah, melancarkan kempen antidadah dan sebagainya.

            Sesungguhnya, penyalahgunaan dadah banyak keburukannya. Oleh sebab itulah, kerajaan menganggap dadah sebagai musuh utama negara dan melancarkan pelbagai kempen untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah. Kita wajar menyokong segala usaha kerajaan demi keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat umumnya.

Kesan Penyalahgunaan Dadah 1

KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH
Sudah hampir 54 tahun negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Semenjak tahun 1957 sehinggalah kini,Malaysia telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Namun,di sebalik semua kemajuan ini,terdapat pelbagai masalah yang perlu dihadapi. Masalah nombor satu yang negara sedang hadapi kini ialah penyalahgunaan dadah. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga,dadah ditakrifkan sebagai ubat-ubatan. Dadah juga ditakrifkan sebagai bahan yang merosakkan atau membinasakan orang yang menggunakannya berlanjutan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semua penagih dadah telah merosakkan diri mereka sendiri baik dari segi fizikal,rohani,mental mahupun emosi. Kalau tiada angin,masakan pokok bergoyang;kalau tiada penyalahgunaan dadah,masakan ada kesan-kesannya. Terdapat banyak kesan yang berlaku akibat penyalahgunaan dadah di negara ini.

            Satu daripada kesan-kesan penyalahgunaan dadah boleh dilihat pada perempuan-perempuan yang sedang hamil. Kajian terperinci telah menunjukkan penyalahgunaan dadah semasa tempoh kehamilan boleh memudaratkan proses perkembangan janin. Dua risiko utama akibat kemudaratan tersebut ialah fenomena yang yang dikenali sebagai kecacatan rupa paras dan tingkah laku yang tidak normal. Penggunaan dadah juga boleh memberikan kesan terhadap mental para ibu yang mengandung dan membuatkan mereka ketagihan. Dadah-dadah yang boleh memberi kesan mental dengan memasuki bahagian otak ibu akan memasuki bahagian uri dan membawa kesan yang mudarat kepada janin. Selain itu,penggunaan kokain semasa tempoh trimester pertama kehamilan ( 3 bulan pertama ) boleh mengakibatkan keguguran secara spontan. Penggunaannya semasa trimester ketiga kehamilan ( 3 bulan terakhir ) pula boleh meningkatkan risiko ‘abruptio placentae’ dalam tempoh 30 minit selepas mengambilnya. ‘Abruptio placentae’ ialah satu keadaan di mana uri terpisah daripada rahim sebelum waktunya. Berdasarkan bukti-bukti berikut,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah memberikan kesan kepada perempuan hamil.

            Selain itu,penyalahgunaan dadah boleh memberi kesan kepada institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam usaha untuk membasmi penyalahgunaan dadah,tetapi jika institusi kekeluargaan itu sendiri terlibat dengan penyalahgunaan dadah,sudah pasti kesannya akan menjadi sangat teruk. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga akan menyebabkan rumahtangga menjadi tidak aman. Penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan perceraian jika penagihnya ialah suami ataupun isteri. Anak-anak yang melihat ibu bapa mereka menyalahgunakan dadah pasti akan mengikutinya juga kerana bapa borek,anak rintik. Berdasarkan huraian-huraian itu, jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah memberi kesan kepada institusi kekeluargaan.

            Penyalahgunaan dadah juga mengakibatkan peningkatan  kadar jenayah dan sindiket dadah. Sindiket-sindiket dadah ini mengedarkan dadah kepada para pembeli dan masalah pengedaran dadah oleh sindiket-sindiket ini telah berlaku sejak puluhan tahun lagi. Tambahan pula,kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah laluan antarabangsa menyebabkan Malaysia dijadikan pusat transit dadah sebelum diedarkan ke negara-negara lain. Sindiket-sindiket dadah di Malaysia pasti mengambil kesempatan ke atas peluang yang berada di hadapan mata mereka lalu mengedarkan dadah di sini. Akibat pengedaran dadah oleh mereka,10 peratus daripada 11 juta belia di Malaysia dikesan terlibat dengan dadah pada tahun 2006 yang lalu. Menurut kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia pada 21 Mac 2006,sindiket dadh juga terlibat dengan jenayah ganas yang lain. Kenyataan inijuga disokong oleh pengalaman para pegawai polis yang terlibat dengan usaha menentang sindiket-sindiket dadah. Jika kita tidak berupaya menangani sindiket-sindiket ini,sudah pasti jenayah akan berleluasa di negara kita bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sindiket-sindiket ini juga pasti akan menguasai negara kita. Berdasarkan bukti dan huraian di atas,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah dapat mengakibatkan peningkatan kadar jenayah dan sindiket dadah.

            Bukan setakat itu sahaja,penyalahgunaan dadah juga mengakibatkan pembaziran wang. Contoh pembaziran wang yang paling jelas dapat dilihat pada penagih dadah itu sendiri. Menurut sebuah sumber kajian,secara puratanya 100,000 penagih dadah telah membelanjakan RM 1 000,000 sehari dan RM 360,000,000 setahun. Selain itu,kerajaan telah membazirkan RM 100,000,000 setahun bagi pusat serenti,pusat pemulihan akhlak dan PUSPEN. Jumlah ini sudah cukup untuk membina 15 buah sekolah yang lengkap. Tambahan lagi,purata RM 138,000 sehari diperuntukkan kepada 11,500 pelatih di pusat-pusat serenti. Pihak polis pula terpaksa mengeluarkan RM 100,000 bagi mendapatkan maklumat tentang sindiket dadah. Bayangkan jika semua duit yang dibazirkan ini digunakan untuk keperluan negara,sudah tentu kita boleh membangunkan negara kita dan menjadi maju seperti negara Jepun dan Amerika Syarikat. Oleh itu,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah membawa kepada pembaziran wang.

            Walaubagaimana banyak kesan penyalahgunaan sekalipun,kesan yang paling jelas kelihatan ialah kesan kepada penagih itu sendiri. Sudah terang lagikan bersuluh,kalau sudah penagih itu menyalahgunakan dadah,tentulah penagih itu yang terkena kesannya dahulu. Tetapi,tidak semua dadah memberikan kesan yang sama kepada penagih. Sebagai contoh,candu pada peringkat awal akan memberi kesan mengantuk,badan menjadi lemah dan mengalami gangguan jiwa manakala kesan jangka panjangnya ialah ketagihan serta kelemahan fizikal dan mental. Selain itu,morfin memberi kesan jangka pendek yang berbeza iaitu rasa resah,cirit-birit,sakit perut,rasa sejuk dan berpeluh. Kesan jangka panjang bagi pengambilan morfin ialah gangguan jiwa,HIV dankematian. Bagi heroin pula,kesan jangka pendek pengambilannya ialah tanggapan menjadi kurang tenang,tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya,bingung,kekejangan dan berkelakuan seperti orang mabuk. Kesan jangka panjangnya pula ialah keracunan darah,hepatitis,kancing gigi,HIV dan kematian.Walau berjuta jenis dadah didapati sekalipun,kesannya pasti ada pada penagih itu sendiri.

            Konklusinya,terdapat banyak kesan penyalahgunaan dadah. Oleh itu semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing serta memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk bebas daripada penyalahgunaan dadah menjelang tahun 2015. Kita sudah semestinya tidak mahu negara kita yang telah dibangunkan sejak dahulu lagi musnah hanya kerana masalah penyalahgunaan dadah ini. Semoga segala usaha kita untuk menumpaskan musuh nombor satu negara ini akan menampakkan kejayaan. Akhir kata,sekadar memetik sebahagian daripada lagu Insya Allah yang dinyanyikan oleh Maher Zain dalam versi bahasa Malaysia:
“Insya-ALLAH,insya-ALLAH,insya-ALLAH,ada jalannya…”

Isnin, 1 Oktober 2012

PEPATAH

PEPATAH
Maksud  : Pepatah merupakan sejenis peribahasa berungkap. Biasanya terdapat pengulangan kata di dalamnya untuk penegasan atau unsur-unsur  pengajaran.
1.    Ada gula adalah semut.
= Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul.
2.    Ada ubi ada batas, ada budi ada balas.
= Seseorang yang membuat kebaikan atau kejahatan tetap mendapat balasannya.
3.    Air dicincang, tiada putus.
= Dua orang yang bersaudara tidak dapat dipisahkan oleh perselisihan
4.    Air pun ada pasang surutnya.
= Nasib manusia tidak dapat ditentukan
5.    Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
= Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.
6.    Alah bisa tegal biasa.
= Apabila telah biasa melakukannya, maka tiada terasa lagi kesukarannya; pengalaman praktis lebih baik daripada teori.
7.    Alah membeli menang memakai.
= Barang yang baik memang mahal, tetapi dapat lama dipakai.
8.    Alah sabung menang sorak.
= Biarpun kalah, tetapi masih tetap tinggi juga cakapnya. (Bandingkan dengan: Biar alah sabung, asalkan menang sorak
9.    Alang-alang mandi biar basah.
= Pekerjaan yang baik hendaklah disempurnakan sampai habis.
10. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
= Jika sudah terlanjur jahat, teruskanlah hingga mendapat hasilnya.
11. Anak di pangkuan dilepaskan, beruk di rimba disusui.
= melebihkan orang lain daripada keluarga sendiri.
12. Angguk bukan geleng ya.
= Lain di mulut lain di hati.
13. Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
= Kelakuan anak mengikut kelakuan ibu bapanya.
14. Bahasa menunjukkan bangsa.
= Budi bahasa seseorang menggambarkan kelakuan orang tersebut.
15. Bangkai gajah bolehkah ditudung dengan nyiru.
= Perbuatan jahat tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.
16. Banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya.
= Kegemaran, kemahuan, dan pendapat setiap orang adalah berlainan.
17. Belakang parang kalau diasah nescaya tajam.
= Seseorang yang pada mulanya bodoh, jika rajin berusaha, akhirnya akan berjaya.
18. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, berakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
= Biar susah dahulu sebelum mendapat kesenangan.
19. Berani kerana benar, takut kerana salah.
= Orang yang bersalah akan berasa takut sementara orang yang tidak bersalah berani menghadapi kenyataan.
20. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.
= Setaraf.
21. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
= Adik-beradik yang bergaduh akan berbaik semula.
22. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.
= Jika orang yang rapat dengan kita mendapat kesusahan, kita turut berasa susah.
23. Diam ubi berisi, diam penggali berkarat.
= Diam orang berilmu berfikir. Diam orang bodoh sia-sia sahaja.
24. Di mana bumi dipijak , di situ langit dijunjung.
= Kita hendaklah mengikut undang-undang atau peraturan tempat kita menetap.
25. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
= Pilihan yang terpaksa diambil sama penting.
26. Durian dengan mentimun, menggolek rosak, kena golek rosak.
= Orang yang lemah tidak berdaya melawan orang yang kuat.
27. Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
= Orang yang mementingkan diri sendiri.
28. Enggang sama enggang, pipit sama pipit baru dapat terbang sama.
= Perhubungan seseorang yang sama taraf.
29. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
= Orang yang berjasa apabila mati akan dikenang selama-lamanya.
30. Gigi dengan lidah ada kalanya tergigit juga.
= Suami isteri atau sanak-saudara ada kalanya berselisih faham juga.
31. Gunung yang tinggi pun akan runtuh jika setiap hari digali.
= Harta akan habis jika digunakan dengan boros tanpa ditambah.
32. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
= Kalau orang tua berperangai buruk, orang muda yang melihatnya akan berperangai lebih buruk.
33. Habis manis sepah dibuang.
= Setelah tidak berguna, ditinggalkan tidak pedulikan lagi.
34. Harapkan pagar, pagar makan padi.
= Orang yang diberi kepercayaan untuk menjaga sesuatu tetapi dia yang mengkhianatinya.
35. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
= Jika kita hendakkan sesuatu kita akan berusaha sehingga berjaya, jika tidak mahu kita akan mencari alasan untuk tidak melakukannya.
36. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
= Suka menonjol-nonjolkan diri walaupun tidak diperlukan.
37. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.
= Walau bagaimanan baik dan kaya negeri lain,lebih baik tinggal di negeri sendiri.
38. Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati.
= Budi seseorang tidak dapat dibayar dengan wang, melainkan diingat seumur hidup.
39. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
= Semakin banyak ilmu seseorang dan semakin tinggi pangkalnya, dia semakin merendah diri.
40. Indah khabar daripada rupa.
=Khabar yang dilebih-lebihkan daripada keadaan sebenar.
41. Itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan.
= Walaupun kaya tetapi hidup susah.
42. Jauh di mata, dekat di hati.
= Walaupun tinggal berjauhan tetapi sentiasa diingati.
43. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
= Kita hendaklah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati.
44. Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
= Jika tidak benar sesuatu perkara itu, tidak mungkin diceritakan orang.
45. Jika ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya.
= Orang yang mulia atau berpangkat tinggi tidak akan menjadi hina jika bergaul dengan orang biasa.
46. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
= Kehidupan orang miskin amat susah, pendapatannya pun hanya cukup untuk masa itu sahaja.
47. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
= Sesuatu pergaduhan sama ada menang atau kalah tidak membawa apa-apa keuntungan.
48. Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
= Orang yang berketurunan baik, ke mana sahaja  dia pergi akan baik juga jadinya.
49. Kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
=  Sesuatu perkara tidak akan berlaku jika sebelah pihak sahaja yang setuju.
50. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.
= Pengetahuan buka ada pada orang tua sahaja, tetapi juga ada pada orang muda.
51. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
= Peribadi anak akan mengikut peribadi ibu bapanya.
52. Ketam menyuruh anaknya berjalan betul.
= Orang yang menasihati orang lain tetapi dia sendiri tidak berbuat seperti yang dinasihatinya.
53. Lain dulang lain isinya, lain orang lain hatinya.
= Setiap orang ada kesukaannya sendiri.
54. Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getahnya.
= Orang lain yang berbuat salah, orang lain yang dituduh.
55. Lembu punya susu, sapi dapat nama.
= Orang lain yang berbudi, orang lain yang dapat nama.
56. Lempar batu sembunyi tangan.
= Orang yang cuba menyembunyikan kesalahannya.
57. Lukanya telah sembuh, parutnya tinggal jua.
= Perselisihan faham yang telah dimaafkan tetap akan teringat jua.
58. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
= kalau hendak mendidik anak biarlah dari kecil.
59. Membuka pekung di dada.
= Mendedahkan keburukan sendiri.
60. Menanti kucing bertanduk.
=Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin terjadi.
61. Mencurah air ke daun keladi.
= Nasihat yang diberi sia-sia sahaja.
62. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
= Menegur keburukan orang sedangkan keburukan sendiri lebih teruk.
63. Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
= Menceritakan keburukan keluarga tetapi diri sendiri yang dapat malu.
64. Nasi sudah menjadi bubur.
= Keterlanjuran yang tidak dapat dibaiki lagi.
65. Nasi tak dingin pinggan tak retak.
= Orang yang dapat melakukan kerja dengan baik walaupun kerja itu banyak.
66. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
= Kita hendaklah membalas pemberian orang lain dan perlu mengucapkan terima kasih.
67. Orang mengantuk disorong bantal.
= Mendapat sesuatu yang sangat-sangat dikehendaki
68. Patah tumbuh hilang berganti.
= Sesuatu yang pergi pasti ada pengganti.
69. Pucuk dicita ulam mendatang.
= Mendapat lebih daripada yang dikehendaki.
70. Pukul anak sindir menantu.
= Sindiran yang dikatakan bukan untuk orang yang dicakapkan tetapi untuk orang lain.
71. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
= Sikap tolong menolong.
72. Ringan tulang berat perut.
= Seseorang yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki.
73. Sambil menyelam minum air.
= Membuat dua pekerjaan dalam satu masa.
74. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk akibatnya.
= Jika kita tersilap kata kita tidak dapat menarik balik kata-kata tersebut dan kita akan menanggung akibat buruknya.
75. Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
= Sesuatu yang masih elok walaupun masa telah lama berubah.
76. Tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongkit.
= Menidakkan kebodohan sendiri.
77. Tidur tak lena mandi tak basah.
= Terlalu susah hati memikirkan sesuatu.
78. Tinggal kain sehelai sepinggang.
= Semua kerja hilang kerana ditimpa bencana.
79. Ukur baju di badan sendiri.
= Melakukan sesuatu mestilah mengikut kemampuan.
80. Ulat di dalam batu pun boleh hidup.
= Orang yang berusaha tetap akan mendapat rezeki.
81. Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.
= Kerana kejahatan yang sedikit, segala kebaikan tercemar.
82. Segan bertanya, sesat jalan.
= Orang yang tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan.
83. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
= Sepandai-pandai seseorang itu pasti akan membuat silap.
84. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
= Sebelum membuat keputusan fikirlah samasak-masaknya supaya tidak menyesal.
85. Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.
= Sudah dapat sesuatu yang baru, yang lama terus dibuang.
86. Tak mungkin pisang berbuah dua kali.
= Seseorang yang telah tertipu sekali akan sentiasa beringat pada masa akan datang.
87. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
= Jika bernasib baik akan mendapat kejayaan, jika bernasib malang akan mendapat kerugian.
88. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.
= Keuntungan yang didapati dengan mudah.
89. Yang dikejar tak dapat, yang dibendung keciciran.
= Sesuatu perkara yang diharap tidak diperolehi, yang ada hilang pula.