Selasa, 13 Mac 2012

Karangan Wawancara

Anda berkesempatan mewawancara seorang anggota polis berpangkat inspektor tentang gejala lumba haram yang sering dilakukan oleh remaja pada masa ini.

Tulis wawancara itu selengkapnya.



Saya :
Selamat pagi, Tuan Inspektor Azim Sidek. Saya Razali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian tuan diwawancara pada hari ini berhubung dengan gejala lumba haram dalam kalangan remaja, untuk dimuatkan dalam majalah sekolah kami.

Inspektor Azim :
Saya juga berterima kasih kepada pihak sekolah kerana mewawancara saya.

Saya:
Bolehkah Tuan Inspektor memberi penerangan lebih lanjut tentang kegiatan lumba haram yang kian menjadi-jadi sekarang?

Inspektor Azim:
Lumba haram merupakan satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kegiatan ini biasanya dilakukan pada waktu tengah malam dan salah di sisi undang-undang kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain dan nyawa pelumba itu sendiri. Kegiatan lumba haram ini umumnya melibatkan golongan remaja yang berlumba tanpa menghiraukan keadaan trafik dan tindakan ini amat berbahaya.

Saya:
Apakah faktor yang menyebabkan gejala ini?

Inspektor Azim:
Antara faktor utamanya ialah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja mudah menerima ajakan rakan untuk berlumba kerana ingin dianggap berani. Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pergaulan anak-anak juga menjadikan gejala ini berleluasa. Pengaruh filem seperti filem-filem aksi lumba serta penerbitan majalah kenderaan ubah suai, permainan video,  serta komik yang mengetengahkan aksi lumba, turut memainkan peranan. Perkara yang lebih buruk, ada pihak yang menjadi penganjur perlumbaan haram dengan menyediakan hadiah bagi pemenang.
Saya:
Bagaimanakah pihak polis menangani kegiatan lumba haram ini?

Inspektor Azim:
Pihak polis telah meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa. Jabatan kami juga kini dilengkapi dengan kereta atau motosikal yang lebih laju dan berkuasa kerana selama ini pihak polis hanya dibekalkan dengan kenderaan talaan kilang yang kurang berkuasa dan tidak cukup laju untuk mengejar pelumba haram.  Kempen pemanduan berhemah turut diadakan di sekolah dan kawasan tumpuan awam. Selain itu, pihak polis juga mengenakan tindakan ke atas penonton perlumbaan haram kerana menggalakkan kegiatan ini.

Saya:
Apakah nasihat Tuan Inspektor untuk menangani kegiatan lumba haram?

Inspektor Azim:
Saya menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat terhadap tingkah laku anak-anak untuk memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat. Masyarakat setempat juga diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kegiatan lumba haram yang berlaku di tempat mereka kepada pihak polis. Pihak polis juga mencadangkan agar aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysian Cub Prix dan Pesta Pasti Honda diperbanyak untuk menggalakkan remaja menyertainya.

Saya:
Memandangkan masa tidak mengizinkan, saya rasa cukup setakat ini wawancara kita. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Inspektor kerana sudi diwawancara.

Inspektor Azim:
Sama-sama.

2 ulasan: