Selasa, 13 Mac 2012

Karangan Surat Rasmi

 
Pasukan Badan Beruniform Pengakap Sekolah anda bercadang untuk mengadakan perkhemahan di sebuah kem milik persendirian.
Tulis sepucuk surat kepada pemilik kem tersebut untuk memohon kebenaran.



Badan Beruniform Pengakap,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putrta,
78300 Masjid Tanah,
Melaka.
­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­__________________________________________________________________________________

Pengurus,
Kem Rekreasi Alor Gajah,
78500 Alor Gajah,
Melaka.                                                                                                              13 Mac 2012.

Tuan,

Memohon Kebenaran Mengadakan Minggu Perkhemahan.

Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk.

2.     Pasukan pengakap sekolah kami akan mengadakan minggu perkhemahan sebagai satu daripada aktiviti tahunan persatuan. Kami bercadang untuk mengadakan program tersebut di kem rekreasi tuan memandangkan kem tersebut terletak berhampiran dengan sekolah kami. Butir-butir tentang perkhemahan tersebut adalah seperti yang berikut:

            Tarikh                                       : 23 hingga 26 Mac 2012 
            Hari                                          : Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin
            Bilangan Peserta                       : 60 orang
Bilangan Guru Pengiring            : 6 orang

3.     Banyak aktiviti yang telah dirancangkan bagi minggu perkhemahan ini. Antara aktiviti tersebut ialah aktiviti meredah halangan, bermalam di hutan, ikhtiar hidup, berkayak, serta ceramah motivasi kepimpinan. Atur cara bagi aktivit yang akan dijalankan disertakan bersama-sama surat ini untuk rujukan tuan.

4.     Oleh hal yang demikian, kami amat berbesar hati sekiranya pihak tuan dapat menyediakan tapak bagi perkhemahan kami ini serta khidmat pegawai atau jurulatih untuk membantu kami, terutamanya dalam menyelia aktiviti meredah hutan. Hal ini bertujuan mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti sesat di dalam hutan dan seumpamanya memandangkan kami kurang arif akan kawasan tersebut.

5.     Besarlah harapan kami agar permohonan ini mendapat maklum balas segera daripada tuan. Kerjasama tuan dalam menjayakan aktiviti badan beruniform kami amat kami hargai.


Sekian, terima kasih.

Saya yang menjalankan tugas,


…………………………………….
(SALIM BIN ABU)
Setiausaha,
Badan Beruniform Pengakap,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra,
Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan