Isnin, 27 Ogos 2012

Cara menghargai jasa warga tua


Cara-Cara Menghargai Jasa Warga Tua.
 

Warga tua telah banyak berjasa kepada keluarga dan negara. Namun, banyak jasa mereka telah dilupakan. Terdapat anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua-tua.

Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua orang tua mereka. Hal ini kerana ibu bapa telah mendidik dan menyara kehidupan mereka. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak-anak janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua. Warga tua akan berasa sedih jika dihantar ke rumah orang tua-tua.

Selain itu, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak. Mereka perlu menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa perlu mewujudkan hubungan mesra dalam keluarga. Anak-anak akan menghargai dan menghayati kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka. Anak-anak akan tetap menyayangi mereka,

Di sekolah, guru boleh menasihati pelajar agar menghormati warga tua. Guru-guru perlu menasihati pelajar mereka supaya sayang dan hormati warga tua. Pelajar-pelajar perlu bercakap dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka. Guru-guru boleh menerapkan nilai ini melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral. Peranan guru penting untuk mendidik para pelajar.

Kerajaan boleh menghargai warga tua. Kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua perlu diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun dikenakan kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta. Warga tua akan berasa gembira dan dihargai. Kerajaan perlu mengadakan hari mengingati warga tua.

         Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita
 

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR



LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah di kecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya. Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jika hal ini tidak dibendung, masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu sahaja, majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein.

Bukan itu sahaja, program kitar semula yang di uar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu. Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini, sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu, negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar. Tegasnya,  program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Konklusi, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Oleh itu, sikap bagai aur dengan tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020. Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggembleng tenaga menjaga kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”. 

Langkah mengatasi masalah pencemaran air sungai .


Langkah mengatasi pencemaran sungai.

 

Dalam usaha mengekalkan tahap pencemaran semasa supaya tidak menjadi lebih teruk maka langkah-langkah yang wajar perlu diambil supaya punca pencemaran dapat dikurangkan dan antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:-

 

a) Menyediakan tangki takungan bawah tanah yang dirawat.

Untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu disediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi selaras dengan usaha negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air (Utusan Malaysia, 2006).Malah, pihak kerajaan seharusnya memperuntukkan sejumlah wang supaya sistem perparitan daripada kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan perlu dibina saluran paip khas supaya air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.

 

b) Menambah bilangan tong sampah di pusat pengumpulan sampah.

Hasil tinjauan juga mendapati bahawa pengurusan sampah yang lemah bukan sahaja pada peringkat sekolah tetapi juga peringkat majlis perbandaran yang menyebabkan sampah sarap bertaburan merata tempat. Oleh itu, di peringkat sekolah pengurusan peletakan tong sampah perlu diambil kira. Tong sampah perlu ditambah di tempat strategik sebagai pusat pengumpulan sampah supaya sampah tidak melimpah.

c) Pemasangan perangkap sampah.

 

Untuk mengatasi sampah sarap dialirkan oleh air melalui longkang, adalah perlu supaya perangkap sampah dipasang di tempat-tempat strategik di sepanjang parit utama untuk memerangkap sampah sarap juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan.

 

d) Penyelenggaraan sistem perparitan berkala.

Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tidak tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu 1 atau 2 kali sebulan.  Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.

 

e) Kempen kesedaran melalui iklan TV.

Untuk mengatasi masalah sikap kebanyakan penduduk yang bersikap 'tidak apa' perlu ditangani. kempen kesedaran melalui Iklan TV mengenai kesan sikap individu yang membuang sampah tanpa memikirkan kesannya. Oleh itu, adalah perlu setiap individu berubah kita seharusnya tidak mementingkan diri sendiri. Kita harus fikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil tindakan yang kita buat hari ini. Adalah menjadi harapan agar individu mula mencerminkan diri. Sudah tiba masanya kita kembali siapa kita sebenar yang memerlukan 'soul reawakening'.

 

Rumusan.

August 26th, 2008 by Augustine Towonsing Sebagai rumusan, didapati bahawa sungai di kawasan kajian ini telah tercemar dan jika kita melihat bacaan TDS meter iaitu 130 ppm yang meletakkan sungai di kawasan kajian ini sebagai sungai 'air keras' sekali gus kehilangan fungsi sebagai sumber kegunaan air domestik. Persoalannya, siapa yang menyebabkan semua ini berlaku? Aktiviti manusialah yang membuat air sungai ini tercemar dan kotor. Jika pencemaran berterusan air sungai ini tidak boleh digunakan lagi. Penduduk di sekitar kawasan sungai membuang sampah dan tidak memikirkan akibatnya.

 

Manakala, sistem perparitan sekolah dan sistem perparitan utama di Taman Seri Utama dilihat menghadapi masalah untuk menyalirkan air. Keadaan yang tidak terurus ini membawa kesan yang besar ke atas sistem saliran. Namun begitu, adalah menjadi harapan agar penduduk di kawasan kajian mengambil mengambil inisiatif untuk memikirkan supaya pencemaran yang ada dapat ditangani atau kita biarkan sahaja dan terpaksa menanggung kesan negatif berpanjangan pada masa hadapan. Oleh itu kita perlu menjaga sistem perparitan dan kebersihan sungai untuk bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga sungai adalah sumber air percuma. 

Ahad, 26 Ogos 2012

Langkah Menghargai Warga Tua

Warga tua semakin ramai di negara ini ekoran tahap kesihatan negara yang semakin baik. Cuma jumlah yang banyak ini telah menimbulkan pelbagai masalah pula.

Nyatakan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan warga tua semakin baik.


     Warga emas merupakan golongan yang semakin ramai di negara ini kerana tahap kesihatan negara yang semakin baik. Jadi tidak hairanlah kalau kita sering ternampak warga emas ini. Namun, keadaan ini turut menyebabkan kita terdesak untuk mencari jalan membantu golongan ini semakin ramai supaya mereka mampu menikmati kehidupan dengan lebih baik. Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan dalam isu ini?

     Kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Tambang separuh harga untuk pengangkutan awam negara merupakan satu langkah awal. Begitu juga dengan pengangkutan udara dan kereta api. Dalam perkhidmatan kesihatan, kerajaan seharusnya memberikan potongan harga atau rawatan percuma kepada golongan ini dalam penyakit-penyakit tertentu. Maka, langkah ini mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.

     Malah, kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk warga tua ini. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan.

     Selain itu, kerajaan harus mengadakan satu majlis khas atau tarikh untuk warga emas ini. Pada hari yang sudah diumumkan cuti umum itu, kerajaan perlulah mengadakan pelbagai aktiviti yang bercorak warga emas. Aktiviti beramah mesra dengan generasi muda harus dijalankan terutama untuk memberi kesedaran betapa warga emas dan muda saling memerlukan antara mereka. Interaksi ini turut memberi remaja satu peluang mendengar pengalaman yang dialami oleh warga emas.

     Lantaran itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.

     Jadi, warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang. Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama ini.
Anda menyertai suatu perkhemahan pengakap. Tuliskan pengalaman anda.
Pada cuti penggal sekolah yang lalu, pasukan pengakap sekolah saya telah mengadakan perkhemahan di Hutan Bandar. Perkhemahan ini diadakan selama tiga hari dua malam.

Perkhemahan ini disertai oleh 40 orang murid dan 8 orang guru penasihat. Kami ke sana dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas.Kami membawa khemah, barang-barang untuk memasak, lampu suluh dan sebagainya.

Setelah tiba di tapak perkhemahan, guru penasihat membahagikan tugas. Pengakap lelaki mendirikan lima buah khemah.Pengakap perempuan pula ditugaskan untuk mencari kayu api dan memasak. Pelbagai aktiviti seperti pertandingan memasak, kawad kaki, pertolongan cemas, dan mencari harta karun diadakan.

Pada waktu petang pula diadakan permainan sukaneka dan aktiviti mendaki gunung. Pada waktu malam pula diadakan unggun api. Peserta perkhemahan membuat persembahan seperti nyanyian, lakonan, tarian dan sebagainya.

Pada hari terakhir perkhemahan, peserta diberi sijil dan cenderahati. Sebelum pulang kami bergotong-royong membersihkan tapak perkhemahan. Perkhemahan ini banyak memberi pengetahuan dan pengalaman kepada kami.

Walaupun penat, kami berasa sungguh seronok. Perkhemahan seumpama ini dapat mengeratkan perhubungan.

Amalan Gaya Hidup Sihat

Masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam usaha menjaga kesihatan diri.
Jelaskan amalan gaya hidup sihat ini.


     Gaya hidup sihat dikaitkan dengan konsep mengamalkan satu corak kehidupan yang baik dalam diri seseorang itu. Antara contoh gaya hidup sihat ini meliputi aspek pemakanan yang betul dan mengamalkan senaman yang berkala. Media massa telah banyak kali menyiarkan berita tentang gaya hidup sihat ini kerana sudah ada kajian yang menyatakan bahawa kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah. Jelaslah, ada banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan oleh masyarakat Malaysia.

     Aspek pemakanan yang seimbang menjadi penentu dalam menjalani satu kehidupan yang sihat. Rakyat telah banyak kali diingatkan bahawa mereka hendaklah mengambil diet yang betul terutama mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka itu. Pemakanan yang seimbang memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden yang penuh dengan masalah ini. Jadi, diet yang baik menjadikan kehidupan seseorang manusia itu lebih sihat untuk jangka masa yang panjang.

     Selain itu, pemeriksaan doktor yang berkala untuk menjamin satu kehidupan yang sihat. Langkah ini baik untuk diamalkan agar pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak doktor itu mampu untuk mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Kejayaan mengesan penyakit berbahaya pada peringkat awal memastikan cara pencegahan dan rawatan yang terperinci mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan seseorang itu. Sesungguhnya, sikap suka bertemu dengan doktor menjadi satu ciri utama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

     Bukan sahaja diet yang seimbang dan pemeriksaan doktor tetapi senaman yang berjadual juga memainkan peranan utama dalam kehidupan yang sihat. Senaman setiap pagi atau petting menjamin peluh keluar daripada badan dengan banyaknya. Keadaan ini menyebabkan semua toksik badan keluar dan tekanan stres yang dialami terus dapat dihilangkan jua. Oleh itu, senaman menjadi aktiviti yang paling baik untuk memiliki satu gaya hidup yang baik buat manusia.

     Malah, rehat yang cukup juga memainkan peranan penting dalam gaya hidup yang sihat ini. Manusia perlulah berehat antara 6-8 jam sehari dengan tidur yang berkualiti dan juga kaedah rehat yang lainnya. Manusia memerlukan rehat kerana ketika rehat inilah seluruh sistem badan manusia akan mampu memulihkan tenaganya untuk meneruskan kehidupan pada esok harinya. Jadi, rehat yang meliputi tindakan yang berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan oleh seseorang itu boleh memberi pemulihan tenaga yang amat diperlukan oleh badan manusia.

     Aspek pemikiran minda juga hendaklah positif jika manusia ingin memiliki gaya hidup yang sihat ini. Pemikiran positif ini penting kerana kehidupan zaman modern begitu banyak tekanan baik di pejabat dan juga di rumah bersama-sama alam kebendaan yang begitu ketara itu. Mereka yang memahami diri sendiri dan melihat sesuatu peristiwa itu dengan persepsi yang positif sudah pasti akan mampu menerima cabaran hidup dengan lebih matang lagi rasional. Sesungguhnya, minda yang positif sahaja mampu mengatasi tekanan kehidupan moden yang begitu mendesak ini.

     Kesimpulannya, semua langkah tadi membuktikan satu gay a hidup yang sihat boleh dicapai oleh manusia. Kerjasama semua amat diperlukan terutama kesedaran diri sendiri agar kesihatan menjadi keutamaan dalam hidup semua pihak. Kegagalan untuk bertindak dengan segera bakal menyaksikan masyarakat kita searing dilanda penyakit demi penyakit yang boleh membawa impak buruk pula. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan betapa pentingnya aspek kesihatan dalam diri manusia yang ingin sejahtera kehidupannya.

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang,  gemilang  dan  terbilang.  Bincangkan.

Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakanoleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapanmasa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukandisiplin anak-anak.
Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri merekadengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparaninsaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang mencontengarang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat.Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama danmoral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi. Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan.Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Keburukan sikap anak-anak mestilah dikekangdaripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.

PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI MASALAH SOSIAL REMAJA

Dasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat Malaysia isu kebejatan moral dan keruntuhan akhlak para remaja harapan bangsa yang semakin meruncing. Sering terpampang di dada akhbar, berita-berita yang menguris hati melibatkan remaja seperti pergaulan bebas, merokok, melepak dan membuang anak. Masyarakat menuding jari sesama sendiri menyalahkan orang lain. Masakan pokok bergoyang, oleh itu pasti terdapat faktor-faktor yang menyebabkan hal ini terus membarah dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun, ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri apabila ada yang ingin menyalahkan remaja yang baru berumur setahun jagung setampuk pinang. Setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Maka, jawapan yang dicari-cari untuk permasalahan ini ialah keluarga memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah yang semakin hari semakin parah ini.


Antara peranan keluarga dalam menangani polemik ini termasuklah memperkukuh institusi keluarga. Institusi keluarga sebagai institusi tertua di dunia seyogianya mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Hal ini berlaku demikian kerana nilai-nilai murni adalah vital kepada seseorang agar tidak terjebak dengan perkara atau unsur-unsur yang negatifnya. Misalnya , seorang remaja yang berbudi bahasa dan jujur pasti tidak akan merokok kerana kejujurannya dan janjinya terhadap ibu bapa. Dengan sifat amanah, remaja itu pasti tidak akan terikut-ikut dengan anasir negatif kerana berpegang pada amanatnya kepada nusa dan bangsa untuk menjadi pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja yang mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan pasti menyedari tanggungjawabnya dalam mendukung dan seterusnya melestarikan Wawasan 2020. Tokoh ilmuwan, Hamka pernah mengatakan bahawa, kekayaan seseorang itu terletak pada tingginya akhlak dan budi bahasanya bukan pada harta dan pakaiannya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa nilai-nilai murni merupakan elemen penting dalam diri setiap insan yang wajar dipupuk dari kecil oleh institusi keluarga kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nilai-nilai murni dapat menjadi benteng ampuh dan utuh sekukuh Tembok Besar China daripada sebarang anasir-anasir luar yang menerjah.

Selain itu, ahli keluarga terutamanya ibu bapa berperanan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Hal ini demikian kerana, ibu bapa seyogianya membetulkan kekhilafan diri sebelum membetulkan anak-anak agar tidak seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. Bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya dan jika alur di hulunya bersih, pasti air di muaranya bersih. Hal ini secara eksplisitnya menunjukkan bahawa jika ibu bapanya baik maka anak-anaknya juga baik, kerana bapa borek anak rintik. Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain wajar menunjukkan contoh dan teladan yang wajar diikuti dan mampu dibanggakan. Selain itu, seorang ayah tidak wajar menegur anaknya yang merokok jika mereka sendiri yang menunjukkan contoh sedemikian. Masakan anaknya mendengar nasihat yang boleh ditujukan semula kepada bapanya. Namun, itulah realitinya, ayah dan anak sama-sama pula merokok di luar rumah. Oleh hal demikian, ibu bapa sewajarnya menjalankan tanggungjawabnya sebagai suri teladan yang unggul dengan menunjukkan contoh yang berhemah dan berwibawa .

Kasih sayang daripada ibu bapa

Seterusnya, peranan keluarga bagi menangani masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membarah dalam masyarakat ialah memberikan kasih sayang yang secukupnya. Dalam era globalisasi ini, ibu bapa berlumba-lumba mencari kekayaan duniawi sehingga mengabaikan tugasnya sebagai pendidik kepada anak-anak mereka yang belum mengenal yang mana intan, yang mana kaca. Selain itu, mereka menyangka dapat membeli kasih sayang anak-anak dengan material yang mewah seperti Ipad, Iphone, computer riba dan telefon mudah alih yang tidak tergambar kecanggihannya. Anak-anak yang hidup dalam bayang-bayang arus pemodenan yang rancak berlari berasa terabai dan tidak disayangi, lalu mencari alternatif lain yang boleh mengundang bahaya dan derita. Sebagai tamsilan, membuli orang untuk melepaskan geram dan mencari perhatian, rentetan kurangnya kasih sayang yang diperlukan untuk mengharungi hidup yang penuh mencabar pada era langit terbuka ini. Dengan kasih sayang ibu bapa yang bagaikan menatang minyak yang penuh, hidup remaja akan lebih ceria tanpa mencari alternatif yang lain bagi merawat dan menampal lubang-lubang kosong di hati anak-anak. Oleh hal demikian, kasih sayang merupakan eleman yang penting dalam diri anak-anak agar tidak berasa diabaikan dan tidak disayangi, sesungguhnya, anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya dan menentukan sama ada ingin menjadikan anak-anak mereka Majusi, Nasrani mahupun Yahudi. Ibu bapa tidak sewajarnya membiarkan anak-anak mereka seperti layang-layang terputus talinya. Berdampinglah dan lakukan perubahan bersama-sama dengan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak yang sentiasa dahagakan perhatian daripada orang tua mereka.

Dalam pada itu, ibu bapa juga berperanan mengawal perilaku anak-anak di samping mengetahui pergaulan anak bersama-sama rakannya. Hal ini demikian kerana rakan merupakan orang yang sangat berpengaruh dalam diri remaja. Setiap kata rakan-rakannya menjadi ubat yang mujarab serta azimat penting. Begitulah yang dapat digambarkan betapa besarnya pengaruh insan yang bernama rakan. Pepatah Arab ada mengatakan jika berkawan dengan si pembuat besi, maka kita akan terasa bahang api kepanasannya manakala jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka akan melekat bau kewangiannya kepada diri kita secara tidak langsung. Eksplisitnya, hal ini menunjukkan bahawa jika kita berkawan dengan rakan yang baik akhlaknya, dia juga akan turut bersahsiah baik tetapi sebaliknya jika tersalah pilih rakan maka akan terjebaklah ia ke kancah yang hina. Gurindam Melayu ada menyebut, carilah olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan ubat, cari olehmu kawan, pilih segala orang setia kawan. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam mengawal pergaulan anak-anak dengan rakannya kerana menurut seorang cendekiawan, pengaruh rakan sebaya dalam hidup seseorang remaja ialah 90 peratus, suatu angka yang besar dan dominan. Cegahlah sebelum terlambat kerana mencegah lebih baik daripada merawat kerana mantan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr. Mahathir pernah mengatakan bahawa bahayanya dadah bukan kepada penagihnya, tetapi kepada orang di sekitarnya.

Didikan agama yang secukupnya

Selain itu, ahli keluarga perlu memberikan didikan agama yang cukup untuk menangani masalah kebejatan moral dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku demikian kerana agama merupakan benteng yang ampuh dan jitu dan nescaya dapat menghalang kemasukan anasir-anasir jahat. Selain itu, agama adalah perisai yang kuat agar remaja tidak terdengarkan bisikan syaitan durjana. Sesungguhnya, dengan agama akan melahirkan jati diri yang kukuh dan akhlak yang mulia jauh daripada perlakuan negatif dan tidak bermoral. Sebagai contoh, seorang remaja yang mempunyai moral yang tinggi tidak akan tergengaruh dengan panggilan-panggilan ke arah kejahatan kerana keyakinannya yang tinggi terhadap balasan perbuatan yang jahat dan balasan bagi yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya, dengan iman yang tinggi dapat dijadikan benteng landaan ombak besar pengaruh Barat yang banyak membawa unsur negatif seperti keganasan, pergaulan bebas, minum arak dan lain-lain. Oleh itu, ibu bapa seyogianya memberikan didikan agama yang sempurna sama ada secara formal ataupun tidak formal seperti menghantar anak mereka ke kelas agama agar tidak terjebak ke dalam kancah yang penuh kemaksiatan.


Peranan keluarga dalam menangani masalah ini juga ialah dari aspek penyediaan persekitaran yang harmonis. Hal ini demikian kerana tokoh dari China, Mao Tzu pernah mengatakan bahawa kejadian asal seseorang itu ialah baik dan suci dan akan berubah disebabkan persekitarannya. Dapatlah diambil iktibar di sini, persekitaran yang selamat atau tidak selamat memberikan impak kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya memilih kawasan perumahan yang selamat daripada masyarakat yang mengambil enteng isu negatif seperti pergaulan bebas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya memilih persekitarannya yang kondusif untuk kepentingan seluruh ahli keluarga.

Natijahnya, semua pihak terutama keluarga memainkan peranan yang signifikan dalam mendepani masalah dalam dunia yang mencabar ini. Semua pihak harus bersatu padu bagai aur dengan tebing agar tidak terhantuk baru tengadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, semua pihak harus menyedari dan membuat anjakan paradigma untuk melahirkan remaja pascamerdeka yang berkualiti ke arah Wawasan 2020. Sasterawan Negara Dato' Dr Usman Awang ada menyebut, kalau ingin hidup merdeka, tidak tercapai dengan hanya berkata-kata tetapi ke hadapan maju sekata, maju bersama. Marilah bersama-sama bergabung tenaga melahirkan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang disegani dan bersahsiah tinggi.