Seorang sahabat ingin mengetahui lebih lanjut gejala gengsterisme di sekolah anda.
Anda menulis surat kepadanya untuk menceritakan perkembangan gejala tersebut.
Tulis surat anda itu selengkapnya.
ST 12, Taman Permai,
78300 Masjid Tanah,
Melaka.
21 MAC 2012
21 MAC 2012
Menemui sahabatku, Danial yang berada di Sandakan, Sabah, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Danial,
Terima kasih kerana sudi menulis surat kepada saya. Saya telah membaca surat tersebut dan berasa gembira akan perhatian yang diberikan terhadap keadaan di sekolah saya. Bagaimanakah saudara mendapat berita tentang kejadian tersebut sedangkan jarak antara kita beratus-ratus batu jauhnya?
Sebenarnya kejadian samseng atau gengsterisme bukan suatu perkara yang luar biasa di sekolah-sekolah, terutama sekolah menengah, lebih-lebih lagi sekolah di pinggir bandar seperti sekolah saya. Segelintir pelajar di sekolah ini mudah terpengaruh oleh budaya-budaya yang tidak sihat dari bandar.
Pergaduhan yang berlaku antara dua kumpulan pelajar baru-baru ini adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati sesama mereka. Hasil siasatan yang dijalankan, didapati beberapa orang pelajar senior sering membuli pelajar junior. Dalam suatu kejadian, keadaan menjadi tidak terkawal apabila seorang pelajar telah mengeluarkan sebilang pisau dan mengugut seorang pelajar lain. Mujurlah kejadian yang berlaku di kawasan sekolah itu disedari oleh pengawas yang segera memaklumkan kejadian tersebut kepada guru sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Pihak sekolah telah bertindak pantas dengan menyoal siasat pelajar-pelajar yang terlibat. Pihak sekolah juga meminta ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar yang berkenaan datang ke sekolah dengan segera. Setelah perbincangan diadakan, akhirnya pelajar yang terlibat telah mengakui kesalahan sebelum diberi amaran supaya berkelakuan baik. Pengetua sekolah mengingatkan pelajar-pelajar tersebut bahawa tindakan buang sekolah akan diambil jika pergaduhan seumpama itu berulang.
Saya amat berharap agar kejadian buruk yang berlaku menjadi teladan kepada semua pelajar. Perbuatan samseng atau gengsterisme bukan sahaja mencemarkan maruah pelajar itu sendiri, malahan menjejaskan imej sekolah dan nama baik keluarga.
Setakat inilah yang dapat saya maklumkan kepada suadara. Semoga bertemu lagi dalam lembaran yang lain, diharap kita dapat terus menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan dari segi sahsiah. Sekian, terima kasih.
Sahabatmu,
……………………
(ABU HANIFAH)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan