Selasa, 13 Mac 2012

Karangan Laporan

Baru-baru ini, Kelab Komputer sekolah anda telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang komputer. Selaku setiausaha, anda dikehendaki menulis satu laporan lengkap tentang lawatan tersebut.
Sediakan laporan itu selengkapnya.


Lawatan ke Kilang Komputer

            Pada 3 Mac 2012 yang lalu, Kelab komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra telah mengadakan lawatan ke sebuah kilang komputer Intel yang terletak di kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim. Lawatan sambil belajar yang disertai oleh 40 ahli kelab komputer dan diiringi oleh 3 orang guru ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dirancangkan pada tahun ini.

            Lawatan bermula pada jam 7.30 pagi apabila semua berkumpul di perkarangan sekolah. Peserta kemudian menaiki sebuah bas yang disewa khas dan tiba di kilang komputer Intel pada jam 11.30 pagi. Rombongan kami disambut oleh pegawai yang bertugas, Encik Wong. Encik Wong menerangkan operasi kilang secara ringkas. Kami dibawa melawat ke seluruh kawasan kilang. Semua kakitangan memakai pakaian seragam khas. Peralatan kilang amat sensitif, maka kebersihan amat dititikberatkan. Kebanyakan kakitangan di kilang tersebut terdiri daripada golongan remaja.

            Menurut Encik Wong, kilang komputer Intel itu didirikan pada tahun 2000. Kilang ini membuat pelbagai peralatan komputer termasuk monitor, papan kekunci, dan unit pemprosesan pusat atau CPU. Barangan yang dihasilkan ini dipasarkan di dalam dan luar negara. Kilang ini juga menampung sebahagian besar daripada keperluan komputer di negara ini. Selain lawatan ke semua unit dalam kilang berkenaan, kami juga menonton tayangan multimedia yang dikendalikan oleh unit khas di kilang tersebut. Pada sesi akhir lawatan, pihak pengurusan kilang telah mengadakan jamuan makan tengah hari untuk kami.

            Lawatan berakhir pada jam 4.30 petang apabila peserta bertolak ke sekolah sebelum kembali ke rumah masing-masing. Walaupun berasa agak letih, tetapi pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi amat berharga.

Dilaporkan oleh,


…………………………
(Salmah binti Daud)
Setiausaha Kelab Komputer,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra,
Melaka.

1 ulasan:

  1. Assalammualikum cikgu,
    Saya dari Kolej Komuniti Gerik berminat juga untuk membawa pelajar saya ke Intel Kulim.Mohon jasa baik cikgu untuk mendapatkan alamat bagi permohonan lawatan ke sana.
    Segala kerjasama cikgu saya ucapkan ribuan terima kasih.Mohon dapat menghantar ke alamat email saya hazilas@yahoo.com
    terima kasih cikgu

    BalasPadam