PEPATAH
Maksud : Pepatah merupakan sejenis peribahasa berungkap. Biasanya terdapat pengulangan kata di dalamnya untuk penegasan atau unsur-unsur pengajaran.
1. Ada gula adalah semut.
= Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul.
2. Ada ubi ada batas, ada budi ada balas.
= Seseorang yang membuat kebaikan atau kejahatan tetap mendapat balasannya.
3. Air dicincang, tiada putus.
= Dua orang yang bersaudara tidak dapat dipisahkan oleh perselisihan
4. Air pun ada pasang surutnya.
= Nasib manusia tidak dapat ditentukan
5. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
= Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.
6. Alah bisa tegal biasa.
= Apabila telah biasa melakukannya, maka tiada terasa lagi kesukarannya; pengalaman praktis lebih baik daripada teori.
7. Alah membeli menang memakai.
= Barang yang baik memang mahal, tetapi dapat lama dipakai.
8. Alah sabung menang sorak.
= Biarpun kalah, tetapi masih tetap tinggi juga cakapnya. (Bandingkan dengan: Biar alah sabung, asalkan menang sorak
9. Alang-alang mandi biar basah.
= Pekerjaan yang baik hendaklah disempurnakan sampai habis.
10. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
= Jika sudah terlanjur jahat, teruskanlah hingga mendapat hasilnya.
11. Anak di pangkuan dilepaskan, beruk di rimba disusui.
= melebihkan orang lain daripada keluarga sendiri.
12. Angguk bukan geleng ya.
= Lain di mulut lain di hati.
13. Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
= Kelakuan anak mengikut kelakuan ibu bapanya.
14. Bahasa menunjukkan bangsa.
= Budi bahasa seseorang menggambarkan kelakuan orang tersebut.
15. Bangkai gajah bolehkah ditudung dengan nyiru.
= Perbuatan jahat tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.
16. Banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya.
= Kegemaran, kemahuan, dan pendapat setiap orang adalah berlainan.
17. Belakang parang kalau diasah nescaya tajam.
= Seseorang yang pada mulanya bodoh, jika rajin berusaha, akhirnya akan berjaya.
18. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, berakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
= Biar susah dahulu sebelum mendapat kesenangan.
19. Berani kerana benar, takut kerana salah.
= Orang yang bersalah akan berasa takut sementara orang yang tidak bersalah berani menghadapi kenyataan.
20. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.
= Setaraf.
21. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
= Adik-beradik yang bergaduh akan berbaik semula.
22. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.
= Jika orang yang rapat dengan kita mendapat kesusahan, kita turut berasa susah.
23. Diam ubi berisi, diam penggali berkarat.
= Diam orang berilmu berfikir. Diam orang bodoh sia-sia sahaja.
24. Di mana bumi dipijak , di situ langit dijunjung.
= Kita hendaklah mengikut undang-undang atau peraturan tempat kita menetap.
25. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
= Pilihan yang terpaksa diambil sama penting.
26. Durian dengan mentimun, menggolek rosak, kena golek rosak.
= Orang yang lemah tidak berdaya melawan orang yang kuat.
27. Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
= Orang yang mementingkan diri sendiri.
28. Enggang sama enggang, pipit sama pipit baru dapat terbang sama.
= Perhubungan seseorang yang sama taraf.
29. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
= Orang yang berjasa apabila mati akan dikenang selama-lamanya.
30. Gigi dengan lidah ada kalanya tergigit juga.
= Suami isteri atau sanak-saudara ada kalanya berselisih faham juga.
31. Gunung yang tinggi pun akan runtuh jika setiap hari digali.
= Harta akan habis jika digunakan dengan boros tanpa ditambah.
32. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
= Kalau orang tua berperangai buruk, orang muda yang melihatnya akan berperangai lebih buruk.
33. Habis manis sepah dibuang.
= Setelah tidak berguna, ditinggalkan tidak pedulikan lagi.
34. Harapkan pagar, pagar makan padi.
= Orang yang diberi kepercayaan untuk menjaga sesuatu tetapi dia yang mengkhianatinya.
35. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
= Jika kita hendakkan sesuatu kita akan berusaha sehingga berjaya, jika tidak mahu kita akan mencari alasan untuk tidak melakukannya.
36. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
= Suka menonjol-nonjolkan diri walaupun tidak diperlukan.
37. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.
= Walau bagaimanan baik dan kaya negeri lain,lebih baik tinggal di negeri sendiri.
38. Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati.
= Budi seseorang tidak dapat dibayar dengan wang, melainkan diingat seumur hidup.
39. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
= Semakin banyak ilmu seseorang dan semakin tinggi pangkalnya, dia semakin merendah diri.
40. Indah khabar daripada rupa.
=Khabar yang dilebih-lebihkan daripada keadaan sebenar.
41. Itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan.
= Walaupun kaya tetapi hidup susah.
42. Jauh di mata, dekat di hati.
= Walaupun tinggal berjauhan tetapi sentiasa diingati.
43. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
= Kita hendaklah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati.
44. Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
= Jika tidak benar sesuatu perkara itu, tidak mungkin diceritakan orang.
45. Jika ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya.
= Orang yang mulia atau berpangkat tinggi tidak akan menjadi hina jika bergaul dengan orang biasa.
46. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
= Kehidupan orang miskin amat susah, pendapatannya pun hanya cukup untuk masa itu sahaja.
47. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
= Sesuatu pergaduhan sama ada menang atau kalah tidak membawa apa-apa keuntungan.
48. Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
= Orang yang berketurunan baik, ke mana sahaja dia pergi akan baik juga jadinya.
49. Kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
= Sesuatu perkara tidak akan berlaku jika sebelah pihak sahaja yang setuju.
50. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.
= Pengetahuan buka ada pada orang tua sahaja, tetapi juga ada pada orang muda.
51. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
= Peribadi anak akan mengikut peribadi ibu bapanya.
52. Ketam menyuruh anaknya berjalan betul.
= Orang yang menasihati orang lain tetapi dia sendiri tidak berbuat seperti yang dinasihatinya.
53. Lain dulang lain isinya, lain orang lain hatinya.
= Setiap orang ada kesukaannya sendiri.
54. Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getahnya.
= Orang lain yang berbuat salah, orang lain yang dituduh.
55. Lembu punya susu, sapi dapat nama.
= Orang lain yang berbudi, orang lain yang dapat nama.
56. Lempar batu sembunyi tangan.
= Orang yang cuba menyembunyikan kesalahannya.
57. Lukanya telah sembuh, parutnya tinggal jua.
= Perselisihan faham yang telah dimaafkan tetap akan teringat jua.
58. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
= kalau hendak mendidik anak biarlah dari kecil.
59. Membuka pekung di dada.
= Mendedahkan keburukan sendiri.
60. Menanti kucing bertanduk.
=Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin terjadi.
61. Mencurah air ke daun keladi.
= Nasihat yang diberi sia-sia sahaja.
62. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
= Menegur keburukan orang sedangkan keburukan sendiri lebih teruk.
63. Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
= Menceritakan keburukan keluarga tetapi diri sendiri yang dapat malu.
64. Nasi sudah menjadi bubur.
= Keterlanjuran yang tidak dapat dibaiki lagi.
65. Nasi tak dingin pinggan tak retak.
= Orang yang dapat melakukan kerja dengan baik walaupun kerja itu banyak.
66. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
= Kita hendaklah membalas pemberian orang lain dan perlu mengucapkan terima kasih.
67. Orang mengantuk disorong bantal.
= Mendapat sesuatu yang sangat-sangat dikehendaki
68. Patah tumbuh hilang berganti.
= Sesuatu yang pergi pasti ada pengganti.
69. Pucuk dicita ulam mendatang.
= Mendapat lebih daripada yang dikehendaki.
70. Pukul anak sindir menantu.
= Sindiran yang dikatakan bukan untuk orang yang dicakapkan tetapi untuk orang lain.
71. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
= Sikap tolong menolong.
72. Ringan tulang berat perut.
= Seseorang yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki.
73. Sambil menyelam minum air.
= Membuat dua pekerjaan dalam satu masa.
74. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk akibatnya.
= Jika kita tersilap kata kita tidak dapat menarik balik kata-kata tersebut dan kita akan menanggung akibat buruknya.
75. Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
= Sesuatu yang masih elok walaupun masa telah lama berubah.
76. Tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongkit.
= Menidakkan kebodohan sendiri.
77. Tidur tak lena mandi tak basah.
= Terlalu susah hati memikirkan sesuatu.
78. Tinggal kain sehelai sepinggang.
= Semua kerja hilang kerana ditimpa bencana.
79. Ukur baju di badan sendiri.
= Melakukan sesuatu mestilah mengikut kemampuan.
80. Ulat di dalam batu pun boleh hidup.
= Orang yang berusaha tetap akan mendapat rezeki.
81. Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.
= Kerana kejahatan yang sedikit, segala kebaikan tercemar.
82. Segan bertanya, sesat jalan.
= Orang yang tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan.
83. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
= Sepandai-pandai seseorang itu pasti akan membuat silap.
84. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
= Sebelum membuat keputusan fikirlah samasak-masaknya supaya tidak menyesal.
85. Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.
= Sudah dapat sesuatu yang baru, yang lama terus dibuang.
86. Tak mungkin pisang berbuah dua kali.
= Seseorang yang telah tertipu sekali akan sentiasa beringat pada masa akan datang.
87. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
= Jika bernasib baik akan mendapat kejayaan, jika bernasib malang akan mendapat kerugian.
88. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.
= Keuntungan yang didapati dengan mudah.
89. Yang dikejar tak dapat, yang dibendung keciciran.
= Sesuatu perkara yang diharap tidak diperolehi, yang ada hilang pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan