Khamis, 11 Oktober 2012

Kesan Penyalahgunaan Dadah 1

KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH
Sudah hampir 54 tahun negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Semenjak tahun 1957 sehinggalah kini,Malaysia telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Namun,di sebalik semua kemajuan ini,terdapat pelbagai masalah yang perlu dihadapi. Masalah nombor satu yang negara sedang hadapi kini ialah penyalahgunaan dadah. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga,dadah ditakrifkan sebagai ubat-ubatan. Dadah juga ditakrifkan sebagai bahan yang merosakkan atau membinasakan orang yang menggunakannya berlanjutan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semua penagih dadah telah merosakkan diri mereka sendiri baik dari segi fizikal,rohani,mental mahupun emosi. Kalau tiada angin,masakan pokok bergoyang;kalau tiada penyalahgunaan dadah,masakan ada kesan-kesannya. Terdapat banyak kesan yang berlaku akibat penyalahgunaan dadah di negara ini.

            Satu daripada kesan-kesan penyalahgunaan dadah boleh dilihat pada perempuan-perempuan yang sedang hamil. Kajian terperinci telah menunjukkan penyalahgunaan dadah semasa tempoh kehamilan boleh memudaratkan proses perkembangan janin. Dua risiko utama akibat kemudaratan tersebut ialah fenomena yang yang dikenali sebagai kecacatan rupa paras dan tingkah laku yang tidak normal. Penggunaan dadah juga boleh memberikan kesan terhadap mental para ibu yang mengandung dan membuatkan mereka ketagihan. Dadah-dadah yang boleh memberi kesan mental dengan memasuki bahagian otak ibu akan memasuki bahagian uri dan membawa kesan yang mudarat kepada janin. Selain itu,penggunaan kokain semasa tempoh trimester pertama kehamilan ( 3 bulan pertama ) boleh mengakibatkan keguguran secara spontan. Penggunaannya semasa trimester ketiga kehamilan ( 3 bulan terakhir ) pula boleh meningkatkan risiko ‘abruptio placentae’ dalam tempoh 30 minit selepas mengambilnya. ‘Abruptio placentae’ ialah satu keadaan di mana uri terpisah daripada rahim sebelum waktunya. Berdasarkan bukti-bukti berikut,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah memberikan kesan kepada perempuan hamil.

            Selain itu,penyalahgunaan dadah boleh memberi kesan kepada institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam usaha untuk membasmi penyalahgunaan dadah,tetapi jika institusi kekeluargaan itu sendiri terlibat dengan penyalahgunaan dadah,sudah pasti kesannya akan menjadi sangat teruk. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga akan menyebabkan rumahtangga menjadi tidak aman. Penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan perceraian jika penagihnya ialah suami ataupun isteri. Anak-anak yang melihat ibu bapa mereka menyalahgunakan dadah pasti akan mengikutinya juga kerana bapa borek,anak rintik. Berdasarkan huraian-huraian itu, jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah memberi kesan kepada institusi kekeluargaan.

            Penyalahgunaan dadah juga mengakibatkan peningkatan  kadar jenayah dan sindiket dadah. Sindiket-sindiket dadah ini mengedarkan dadah kepada para pembeli dan masalah pengedaran dadah oleh sindiket-sindiket ini telah berlaku sejak puluhan tahun lagi. Tambahan pula,kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah laluan antarabangsa menyebabkan Malaysia dijadikan pusat transit dadah sebelum diedarkan ke negara-negara lain. Sindiket-sindiket dadah di Malaysia pasti mengambil kesempatan ke atas peluang yang berada di hadapan mata mereka lalu mengedarkan dadah di sini. Akibat pengedaran dadah oleh mereka,10 peratus daripada 11 juta belia di Malaysia dikesan terlibat dengan dadah pada tahun 2006 yang lalu. Menurut kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia pada 21 Mac 2006,sindiket dadh juga terlibat dengan jenayah ganas yang lain. Kenyataan inijuga disokong oleh pengalaman para pegawai polis yang terlibat dengan usaha menentang sindiket-sindiket dadah. Jika kita tidak berupaya menangani sindiket-sindiket ini,sudah pasti jenayah akan berleluasa di negara kita bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sindiket-sindiket ini juga pasti akan menguasai negara kita. Berdasarkan bukti dan huraian di atas,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah dapat mengakibatkan peningkatan kadar jenayah dan sindiket dadah.

            Bukan setakat itu sahaja,penyalahgunaan dadah juga mengakibatkan pembaziran wang. Contoh pembaziran wang yang paling jelas dapat dilihat pada penagih dadah itu sendiri. Menurut sebuah sumber kajian,secara puratanya 100,000 penagih dadah telah membelanjakan RM 1 000,000 sehari dan RM 360,000,000 setahun. Selain itu,kerajaan telah membazirkan RM 100,000,000 setahun bagi pusat serenti,pusat pemulihan akhlak dan PUSPEN. Jumlah ini sudah cukup untuk membina 15 buah sekolah yang lengkap. Tambahan lagi,purata RM 138,000 sehari diperuntukkan kepada 11,500 pelatih di pusat-pusat serenti. Pihak polis pula terpaksa mengeluarkan RM 100,000 bagi mendapatkan maklumat tentang sindiket dadah. Bayangkan jika semua duit yang dibazirkan ini digunakan untuk keperluan negara,sudah tentu kita boleh membangunkan negara kita dan menjadi maju seperti negara Jepun dan Amerika Syarikat. Oleh itu,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah membawa kepada pembaziran wang.

            Walaubagaimana banyak kesan penyalahgunaan sekalipun,kesan yang paling jelas kelihatan ialah kesan kepada penagih itu sendiri. Sudah terang lagikan bersuluh,kalau sudah penagih itu menyalahgunakan dadah,tentulah penagih itu yang terkena kesannya dahulu. Tetapi,tidak semua dadah memberikan kesan yang sama kepada penagih. Sebagai contoh,candu pada peringkat awal akan memberi kesan mengantuk,badan menjadi lemah dan mengalami gangguan jiwa manakala kesan jangka panjangnya ialah ketagihan serta kelemahan fizikal dan mental. Selain itu,morfin memberi kesan jangka pendek yang berbeza iaitu rasa resah,cirit-birit,sakit perut,rasa sejuk dan berpeluh. Kesan jangka panjang bagi pengambilan morfin ialah gangguan jiwa,HIV dankematian. Bagi heroin pula,kesan jangka pendek pengambilannya ialah tanggapan menjadi kurang tenang,tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya,bingung,kekejangan dan berkelakuan seperti orang mabuk. Kesan jangka panjangnya pula ialah keracunan darah,hepatitis,kancing gigi,HIV dan kematian.Walau berjuta jenis dadah didapati sekalipun,kesannya pasti ada pada penagih itu sendiri.

            Konklusinya,terdapat banyak kesan penyalahgunaan dadah. Oleh itu semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing serta memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk bebas daripada penyalahgunaan dadah menjelang tahun 2015. Kita sudah semestinya tidak mahu negara kita yang telah dibangunkan sejak dahulu lagi musnah hanya kerana masalah penyalahgunaan dadah ini. Semoga segala usaha kita untuk menumpaskan musuh nombor satu negara ini akan menampakkan kejayaan. Akhir kata,sekadar memetik sebahagian daripada lagu Insya Allah yang dinyanyikan oleh Maher Zain dalam versi bahasa Malaysia:
“Insya-ALLAH,insya-ALLAH,insya-ALLAH,ada jalannya…”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan