Khamis, 10 Mei 2012


GAYA BAHASA, NADA, RIMA DAN BENTUK DALAM SAJAK


GAYA BAHASA

1. Anafora -Pengulangan kata pada awal baris
Terbang kenanga terbang pohon
Terbang burung sering dipohon

2. Responsi -Pengulangan kata pada tengah-tengah baris
Sayang indah pergi Johor
Dia yang kupinta pergi datang

3. Epifora -Pengulangan kata pada akhir baris
Sayang Salmah hatinya pedih
Teruja sakitnya hati pedih

4. Repitasi / Repitisi -Pengulangan kata pada baris yang sama
Pergilah sayang pergi jauh
Hati ini hati yang dilukai

5. Simplok -Pengulangan kata pada awal dan akhir baris yang sama
Sayang seribu kali sayang
Hanya aku yang kau kenali

6.
Sinkof / Sinkope -Penggunaan singkatan kata
Ku, mu, mau, tak, nak, mak

7.
Metafora -Perbandingan secara tidak langsung atau kiasan atau perbandingan yang mempunyai dua kata yang berisi konkrit dan abstrak.
Bukit-bukit harapan
*Bukit ( unsur konkrit)
*harapan ( unsur abstrak)

Hatinya mengalir sungai duka
*sungai (unsur konkrit)
*duka (unsur abstrak)



8. Simile -Perbandingan atau kiasan secara langsung yang bersendi laksana, seperti, bak, umpama, bagaikan dan sebagainya
Seperti kolek terdampar di pasir
Bagai buih kecil di air

9. Personifikasi -Penggunaan unsur kemanusiaan terhadap unsur bukan manusia
Kebosanan menggigit pangkal rasa
*kebosanan bukan manusia, kebosanan tidak boleh menggigit.

10. Hiperbola -Penggunaan unsur yang melampau
Cinta kepadanya cinta jutaan bunga-bungaan
*manusia tak mungkin dapat cinta akan berjuta-juta bunga

Sekarang Kumpulkan tenaga raksasa
*manusia tak mungkin dapat mengumpulkan tenaga seperti raksasa

Seribu tahun kembali juga
*manusia tak mungkin berjumpa selepas seribu tahun

11. Hybrid-Penyatuan dua kata menjadi satu kata
Bertanggungjawab
*Tanggung + jawab

Ketidakpastian
*Tidak + pasti

12. Inversi- Pembalikan kata
Aduhai adinda berpesan adik
*Sepatutnya ditulis Aduhai adinda adik berpesan

13. Paradoks -Penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi
Menangis dalam kegembiraan
*Menangis – unsur negatif
*Kegembiraan – unsur positif

14. Asonansi -Pengulangan bunyi vokal
Aduhai malang Pak Kaduk
*pengulangan huruf vokal "a"

15. Aliterasi- Pengulangan bunyi konsonan
Ayamnya menang kampung tergadai
*Pengulangan huruf konsonan "m"

16. Imejan -Penggunaan unsur alam
Sungai, laut, bukit, tasik

NADA DALAM SAJAK

Melankolik -sedih
Patriotisme -Cinta akan negara
Sinis -Mengejek / menyindir
Romantis/Romantik -Kegembiraan / kebahagiaan
Protes -Membangkang
Ironi -Keadaan yang menunjukkan penentangan
Ode / Oda -Memuji atau menyanjung

RIMA AKHIR
Sajak -Bebas
Syair -a,a,a,a
Pantun -a,b,a,b

BENTUK DALAM SAJAK
Distikhon -----Dua baris setiap rangkap
Terzina -----Tiga baris setiap rangkap
Kuatren -----Empat baris setiap rangkap
Kuantren -----Lima baris setiap rangkap
Sestet -----Enam baris setiap rangkap
Septet -----Tujuh baris setiap rangkap
Oktaf -----Lapan baris setiap rangkap
Soneta -----Empat belas baris setiap rangkap



Langkah-Langkah Memajukan Industri Pelancongan Negara

          Sepanjang panjang tahun 2008, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong menyumbangkan pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk memajukan lagi industri ini.

           Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong adalah dengan mengadakan prasarana pelancongan yang selesa, jimat, mencukupi dan mudah. Penyediaan hotel, chalet, tandas, pengangkutan, bekalan air dan elektrik adalah penting untuk pembangunan industri pelancongan. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara dan lain-lain destinasi di pedalaman. Kerap berlaku juga masalah tandas yang terhad dan berbau busuk, selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.

          Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia.

          Langkah seterusnya yang boleh diambil ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Kementerian Pelancongan boleh mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri. Pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus ditambah. Ini bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Manakala pelancong dalam negara pula boleh ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media ataupun risalah. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita. Ini sekali gus akan mendorong mereka untuk melancong dan berehat di sini.

          Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

          Langkah menarik pelancong juga boleh dilakukan dengan mengadakan pameran kejohanan sukan bertaraf dunia. Im termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita.

          Kesimpulannya, memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Namun, dalam keghairahan menarik pelancong, kita janganlah lupakan kesan buruk yang boleh menimpa masyarakat kita seperti gejala `black metal’, seks bebas dan minum arak.



KARANGAN: SESAT DI HUJUNG JALAN, BALIK KE PANGKAL JALAN


Karangan Jenis Peribahasa
Karangan Contoh

     Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan berbagai-bagai peribahasa.
Peribahasa ini digunakan orang sebagai kiasan, teladan, dan pengajaran. Setiap peribahasa mempunyai maksudnya yang tertentu. Dalam setiap peribahasa, lazimnya tersirat nasihat dan pengajaran yang sesuai dijadikan panduan hidup sepanjang zaman. Begitulah halnya dengan peribahasa “sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Peribahasa ini mempunyai maksud yang baik sekali dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita sehari-hari.

    
“Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan” bermaksud jika kita terlanjur dalam melakukan sesuatu perbuatan, eloklah kita menginsafinya dengan segera. Dari segi bahasa, kata sesat bermaksud tersalah jalan atau tidak mengikut jalan yang betul. Kata sesat dapat diertikan juga sebagai tidak mengikut ajaran yang benar atau menyimpang daripada kebenaran.

    
Peribahasa ini menganjurkan kita membetulkan langkah, perbuatan, atau kesilapan yang telah kita lakukan. Dalam hal ini kita perlu meneliti dan mengkaji punca atau sebab sesuatu kesilapan itu kita lakukan supaya kesilapan itu tidak kita ulangi. Oleh sebab itulah kita disuruh berpatah balik ke pangkal jalan apabila kita tersesat. Dari pangkal jalan kita dapat menemukan punca kesilapan kita. Dari situ jugalah kita dapat mencari jalan yang betul.

     Jauh atau dekat perjalanan kesesatan kita, bukanlah ukurannya. Selangkah kita tersesat jalan, kita akan mengalami kerugian yang berlarutan seandainya kesilapan itu tidak kita sedari. Kita tidak dapat mencari jalan yang betul kerana punca atau sebabnya tidak kita ketahui. Kita tidak dapat membetulkan kesilapan kita kerana caranya tidak kita ketahui. Oleh hal yang demikian, kita patut insaf dan mencari jalan yang betul itu semula.

     Dalam hal ini, natijah tersesat pemikiran adalah lebih buruk kesannya daripada keadaan di dalam hutan atau tersesat ketika mencari jalan pulang ke rumah. Hal ini dapat dijelaskan melalui pepatah “terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Seseorang yang tersesat pemikiran bermakna dia keliru ketika mencari arah kehidupan yang sebenarnya.
Dia akan bertindak sesuka hatinya dan terkeluar daripada batas-batas tatasusila dan moral manusia. Tindakannya bertentangan dan menyimpang daripada kebenaran.

     Gejala tersesat pemikiran ini jelas berlaku dalam kalangan remaja negara kita pada hari ini. Kebanyakan remaja kini hidup bagai anak ayam kehilangan induk. Mereka tidak mendapat bimbingan yang betul untuk meneruskan perjalanan hidup mereka. Lantaran itu mereka mudah tersesat. Mereka sesat dalam gaya hidup yang lumrah dengan pelbagai aktiviti yang meruntuhkan moral. Mereka sesat dalam kemungkaran dan lembah maksiat kerana mereka tiada ketahanan diri yang kental dan kukuh.

     Sesungguhnya, kesesatan tidak bermakna kehancuran.
Kehancuran hanya akan kita alami seandainya kita meneruskan perjalanan dalam keadaan yang sesat. Oleh sebab itu, apabila kita tersesat, kita seharusnya kembali ke pangkal jalan dan membetulkan kesilapan yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, kita akan selamat di sepanjang perjalanan pada masa depan.





Karangan Laporan



Soalan

Baru-baru ini, sekolah anda telah mengadakan larian merentas desa. Selaku Ketua Rumah Sukan, tulis laporan tentang larian merentas desa tersebut.



Laporan Larian Merentas Desa Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra 2012


            Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra telah mengadakan Larian Merentas Desa pada 28 April 2012, bersamaan dengan hari Sabtu. Larian tersebut telah diadakan di Hutan Lipur Sungai Udang. Larian yang bermula dari pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari itu telah disertai oleh sebahagian  besar pelajar sekolah ini.



            Oleh sebab Hutan Lipur Sungai Udang terletak kira-kira 8 kilometer dari sekolah, maka sebahagian besar pelajar dibawa ke sana dengan bas sekolah yang disewa khas. Ada juga pelajar yang dibawa ke sana oleh ibu bapa mereka.



            Sebaik-baik sahaja sampai di sana, para pelajar yang mengambil bahagian telah mendaftar diri di padang Hutan Lipur Sungai Udang. Guru-guru yang bertugas telah membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan mengikut umur. Jarak laluan   berbeza mengikut kumpulan umur. Mereka kemudiannya berkumpul di hadapan pejabat Hutan Lipur Sungai Udang, tempat permulaan untuk larian itu. Mereka diberikan taklimat keselamatan sebelum dilepaskan untuk berlari di laluan yang telah ditetapkan. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Tn Hj Zaid b. Md Saman diberikan penghormatan untuk menjadi pelepas larian tersebut.



            Pelajar-pelajar yang menjadi anggota Pandu Putri, Pergerakan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, dan Kadet Remaja Sekolah telah ditempatkan di tempat-tempat tertentu di sepanjang laluan bagi melicinkan perjalanan acara larian ini.



            Semua pelajar berjaya menamatkan larian mengikut jarak yang telah ditetapkan. Hadiah telah diberikan kepada 10 orang pemenang bagi setiap kumpulan umur. Hadiah disampaikan oleh Tuan Pengetua, En Md. Noor b. Awang.



            Larian Merentas Desa itu telah berjaya memupuk semangat kesukanan dan kerjasama antara pasukan beruniform. Pelajar-pelajar juga berasa seronok menyertai larian itu. Pelajar-pelajar yang diminta pendapat mereka telah meluahkan rasa gembira kerana dapat menyertai larian itu dan berharap Larian Merentas Desa itu akan dijadikan sebagai acara tahunan.



Laporan disediakan oleh,                                                                    30 APRIL 2012



…………………………

(RAZALI BIN  KASAH)

Ketua Rumah Sukan,

Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra.



Soalan

Sekolah anda telah mengadakan Larian Perdana 1 Malaysia SMK Ade Putra. Tulis laporan tentang Larian Perdana 1 Malaysia tersebut.


Karangan Berita

Soalan

Andaikan anda pemberita sukan sebuah akhbar tempatan. Anda telah diberikan tugasan menulis berita tentang suatu kejohanan bola tampar antara sekolah-sekolah menengah kawasan Masjid Tanah, Melaka.

Tulis berita tersebut selengkapnya.

MASJID TANAH, Selasa – Kejohanan Bola Tampar antara sekolah-sekolah menengah kawasan Masjid Tanah berlangsung di Dewan Serbaguna SMK Ghafar Baba pada Isnin lalu. Kejohanan ini berlangsung selama sehari iaitu pada 9 April 2012. Kejohanan ini disertai oleh 10 buah pasukan yang mewakili sekolah masing-masing.

                Pasukan bola tampar SMK Ade Putra telah muncul sebagai johan dalam kejohanan tersebut. Pasukan SMK Ade Putra telah mengalahkan pasukan SMK Ghafar Baba dalam perlawanan akhir semalam.

                Pasukan ini telah muncul sebagai johan untuk kali ketiga berturut-turut. Pada tahun lalu, pasukan ini muncul sebagai johan setelah menewaskan pasukan SMK Sultan Alauddin.

                Sebelum muncul sebagai johan, pasukan SMK Ade Putra telah berjaya mengalahkan pasukan SMK Hang Kasturi pada peringkat suku akhir. Pada peringkat separuh akhir, pasukan ini telah mengalahkan pasukan SMK Rahmat. Pasukan SMK Ade Putra menjadi pasukan pilihan kerana disertai   empat orang pemain negeri.

                “Saya berbangga dengan prestasi dan corak permainan yang ditunjukkan oleh pasukan ini,” kata Encik Razali Kasah, jurulatih dan pengurus pasukan SMK Ade Putra. Beliau bersyukur kerana latihan dan usaha selama tiga bulan membuahkan hasil. Beliau juga gembira kerana pasukannya berjaya mempertahankan kejuaraan untuk tahun yang ketiga berturut-turut.

                Jurulatih pasukan SMK Ghafar Baba, Encik Md. Isa Muhammad berpendapat bahawa persefahaman, kerjasama dan latihan yang berterusan telah menyebabkan pasukan SMK Ade Putra sukar untuk disaingi. Beliau berjanji bahawa pasukannya akan berlatih dengan lebih gigih untuk menjuarai kejohanan itu pada tahun hadapan.