Khamis, 10 Mei 2012




Karangan Laporan



Soalan

Baru-baru ini, sekolah anda telah mengadakan larian merentas desa. Selaku Ketua Rumah Sukan, tulis laporan tentang larian merentas desa tersebut.



Laporan Larian Merentas Desa Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra 2012


            Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra telah mengadakan Larian Merentas Desa pada 28 April 2012, bersamaan dengan hari Sabtu. Larian tersebut telah diadakan di Hutan Lipur Sungai Udang. Larian yang bermula dari pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari itu telah disertai oleh sebahagian  besar pelajar sekolah ini.



            Oleh sebab Hutan Lipur Sungai Udang terletak kira-kira 8 kilometer dari sekolah, maka sebahagian besar pelajar dibawa ke sana dengan bas sekolah yang disewa khas. Ada juga pelajar yang dibawa ke sana oleh ibu bapa mereka.



            Sebaik-baik sahaja sampai di sana, para pelajar yang mengambil bahagian telah mendaftar diri di padang Hutan Lipur Sungai Udang. Guru-guru yang bertugas telah membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan mengikut umur. Jarak laluan   berbeza mengikut kumpulan umur. Mereka kemudiannya berkumpul di hadapan pejabat Hutan Lipur Sungai Udang, tempat permulaan untuk larian itu. Mereka diberikan taklimat keselamatan sebelum dilepaskan untuk berlari di laluan yang telah ditetapkan. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Tn Hj Zaid b. Md Saman diberikan penghormatan untuk menjadi pelepas larian tersebut.



            Pelajar-pelajar yang menjadi anggota Pandu Putri, Pergerakan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, dan Kadet Remaja Sekolah telah ditempatkan di tempat-tempat tertentu di sepanjang laluan bagi melicinkan perjalanan acara larian ini.



            Semua pelajar berjaya menamatkan larian mengikut jarak yang telah ditetapkan. Hadiah telah diberikan kepada 10 orang pemenang bagi setiap kumpulan umur. Hadiah disampaikan oleh Tuan Pengetua, En Md. Noor b. Awang.



            Larian Merentas Desa itu telah berjaya memupuk semangat kesukanan dan kerjasama antara pasukan beruniform. Pelajar-pelajar juga berasa seronok menyertai larian itu. Pelajar-pelajar yang diminta pendapat mereka telah meluahkan rasa gembira kerana dapat menyertai larian itu dan berharap Larian Merentas Desa itu akan dijadikan sebagai acara tahunan.



Laporan disediakan oleh,                                                                    30 APRIL 2012



…………………………

(RAZALI BIN  KASAH)

Ketua Rumah Sukan,

Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra.



Soalan

Sekolah anda telah mengadakan Larian Perdana 1 Malaysia SMK Ade Putra. Tulis laporan tentang Larian Perdana 1 Malaysia tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan