Khamis, 10 Mei 2012


Karangan Berita

Soalan

Andaikan anda pemberita sukan sebuah akhbar tempatan. Anda telah diberikan tugasan menulis berita tentang suatu kejohanan bola tampar antara sekolah-sekolah menengah kawasan Masjid Tanah, Melaka.

Tulis berita tersebut selengkapnya.

MASJID TANAH, Selasa – Kejohanan Bola Tampar antara sekolah-sekolah menengah kawasan Masjid Tanah berlangsung di Dewan Serbaguna SMK Ghafar Baba pada Isnin lalu. Kejohanan ini berlangsung selama sehari iaitu pada 9 April 2012. Kejohanan ini disertai oleh 10 buah pasukan yang mewakili sekolah masing-masing.

                Pasukan bola tampar SMK Ade Putra telah muncul sebagai johan dalam kejohanan tersebut. Pasukan SMK Ade Putra telah mengalahkan pasukan SMK Ghafar Baba dalam perlawanan akhir semalam.

                Pasukan ini telah muncul sebagai johan untuk kali ketiga berturut-turut. Pada tahun lalu, pasukan ini muncul sebagai johan setelah menewaskan pasukan SMK Sultan Alauddin.

                Sebelum muncul sebagai johan, pasukan SMK Ade Putra telah berjaya mengalahkan pasukan SMK Hang Kasturi pada peringkat suku akhir. Pada peringkat separuh akhir, pasukan ini telah mengalahkan pasukan SMK Rahmat. Pasukan SMK Ade Putra menjadi pasukan pilihan kerana disertai   empat orang pemain negeri.

                “Saya berbangga dengan prestasi dan corak permainan yang ditunjukkan oleh pasukan ini,” kata Encik Razali Kasah, jurulatih dan pengurus pasukan SMK Ade Putra. Beliau bersyukur kerana latihan dan usaha selama tiga bulan membuahkan hasil. Beliau juga gembira kerana pasukannya berjaya mempertahankan kejuaraan untuk tahun yang ketiga berturut-turut.

                Jurulatih pasukan SMK Ghafar Baba, Encik Md. Isa Muhammad berpendapat bahawa persefahaman, kerjasama dan latihan yang berterusan telah menyebabkan pasukan SMK Ade Putra sukar untuk disaingi. Beliau berjanji bahawa pasukannya akan berlatih dengan lebih gigih untuk menjuarai kejohanan itu pada tahun hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan