Rabu, 19 September 2012

PONTENG SEKOLAH


Mukadimah

Sejak kebelakangan ini sering diperkatakan tentang isu gejala-gejala sosial. Malah jika disebut sahaja tentang gejala sosial biasanya golongan remaja kerap dikaitkan serta menjadi sasaran topik perbincangan masyarakat umum. Kegiatan yang tidak diingini juga disebut sebagai masalah gejala sosial yang berlaku dikalangan masyarakat khususnya para remaja. Fenomena ini sukar untuk dibendung kerana remaja sering terdedah dengan pengaruh-pengaruh negatif sama ada melalui rakan sebaya, persekitaran, media massa dan sebagainya. Antara kegiatan-kegiatan yang tidak diingini itu adalah seperti penyalahgunaan dadah, merokok, menghidu gam, lepak, vandalisme, meminum minuman arak dan ponteng sekolah.

Sehubungan dengan itu, salah satu daripada isu tentang gejala sosial yang sering diperkatakan ialah isu gejala sosial ponteng sekolah. Secara umumnya, gejala ponteng sekolah pada dasarnya melibatkan para remaja sekolah. Rata-rata mereka ini adalah golongan remaja yang dikatakan untuk menjadi aset pelapis bagi menerajui serta menjana pembangunan negara di masa hadapan. Tambahan pula, akibat daripada gejala ponteng sekolah ini kebarangkalian untuk para pelajar terjebak ke arah gejala sosial adalah lebih luas.

 

DEFINISI PONTENG SEKOLAH

Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Ini bermaksud seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah.

Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Selain dari itu, ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.

Ponteng sekolah adalah salah satu isu gejala sosial terutamanya melibatkan para pelajar khususnya merujuk kepada golongan pelajar peringkat sekolah Menengah. Tidak disangkal bahawa isu gejala sosial sekolah boleh menjadi landasan lencongan untuk pelajar terlibat dengan gejala sosial lebih serius iaitu berunsur jenayah. Senario remaja sekolah yang pada mulanya hanya terbabit dengan isu gejala ponteng sekolah dan kemudian didapati sabit terlibat dengan kes-kes jenayah berat kerap berlaku.

Bagi setengah kes di Negara Brunei Darussalam sendiri ada di antara golongan remaja tersebut pernah disabitkan dengan kesalahan memiliki atau memakan atau mengedar dadah seperti syabu, kokain, ‘ecstacy’, atau bahan-bahan sejenis yang mengkhayalkan sama ada dalam bentuk cecair atau pil-pil kapsul dan sebagainya, merokok, meminum minuman keras atau arak, mencuri, bergaduh, terjerat dengan masalah cinta remaja atau ‘love affair’ , vandalism, terlibat dengan penubuhan kumpulan remaja nakal atau ‘gangsterism’.

KATEGORI PONTENG SEKOLAH

Fenomena gejala sosial adalah satu tabiat atau tingkahlaku yang tidak dapat diterima oleh masyarakat terutama oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Sehubungan dengan itu, ponteng sekolah dapat dibahagikan kepada 2 kategori iaitu:

1. Ponteng Sekolah dengan Kebenaran:

Pengertian ponteng sekolah dengan kebenaran ini lazimnya dikaitkan apabila didapati seorang pelajar yang tidak menghadirkan diri ke sekolah disebabkan oleh sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan di luar bidang kawalan sama ada secara sengaja atau tidak. Dengan syarat pelajar tersebut mestilah membuat kenyataan sama ada dalam bentuk bertulis iaitu melalui surat atau pemberitahuan secara lisan dibuat melalui panggilan telefon atau disampaikan terus oleh saudara terdekat seperti ibu bapa atau penjaga.

2. Ponteng Sekolah Tanpa Kebenaran
Pengertian ponteng sekolah tanpa kebenaran pula bertentangan dengan ponteng sekolah dengan kebenaran. Ponteng sekolah tanpa kebenaran ialah situasi pelajar yang tidak hadir kesekolah tanpa menyertakan sebarang apa jua bentuk penyataan sama ada secara bertulis atau pemberitahuan lisan.

 

KESAN PONTENG SEKOLAH

Ponteng sekolah sebenarnya tidak pernah menjanjikan kebaikan dan keseronokan kepada pelajar. Malah, ia mendatangkan keburukan pada diri pelajar itu sendiri. Antara kesan-kesan negative yang timbul ialah seperti berikut:

1. Pembaziran masa dan tenaga

Kesan yang dihadapi jika pelajar ponteng sekolah terutamanya adalah masa dan tenaga mereka akan dirugikan kerana masa yang dibazirkan tidak akan dipulang ataupun dikembalikan. Jika mereka dapat menggunakan masa mereka dengan baik iaitu tidak ponteng sekolah dan mementingkan pelajarannya, mereka akan berjaya dalam masa yang akan datang dan kerjayaannya dapat memberi kehidupan yang baik dan selesa kepada generasi seterusnya.

2. Masyarakat memandang serong kepada pelajar

Kesan kedua yang dihadapi adalah masyarakat akan memandang rendah ataupun hina kepada mereka dan ini secara tidak langsung mereka akan memalukan maruah keluarga. Sebagai contoh, apabila seseorang ternampak sekumpulan pelajar tengah ponteng sekolah, satu-satunya pendapat mereka terhadap pelajar tersebut adalah mereka adalah “sampah” masyarakat kerana mereka tidak dapat memberi perkhidmatan kepada masyarat pada masa depan. Masyarakat juga akan memarahi ibu bapa mereka kerana mereka tidak dapat mendidik anak-anaknya dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai penjaga.

3. Masa Depan tidak terjamin

Kesan lain yang akan dihadapi adalah pelajar tersebut adalah mereka akan ditertawakan oleh rakan-rakan lain sekiranya mereka gagal dan masa depan pelajar ini akan hancur kerana mereka tidak lagi dapat dipercayai oleh masyarakat dan negara akan kekurangan bakal peneraju yang berwawasan.

4. Menjejaskan Peratus Kedatangan Pelajar

Walaupun sudah dinyatakan kesan serta akibat daripada gejala ponteng sekolah namun risiko yang perlu ditanggung oleh para pelajar disebabkan gejala sosial ponteng sekolah lebih ditekankan kepada peratus kedatangan pelajar.

Lazimnya para pelajar yang kerap ponteng sekolah dengan sendirinya turut menjejaskan rekod kedatangan fail peribadi pelajar. Kesannya lebih meruncing sekiranya peratus kedatangan pelajar terbabit tidak mencapai syarat wajib kedatangan harian ke sekolah sebanyak 85%. Justeru, sekiranya tidak memenuhi syarat tersebut peluang bagi pelajar terbabit untuk mengikuti peperiksaan akhir tahun turut terjejas.

5. Kesan Gejala Ponteng Sekolah Kepada Guru

Selain melihat kesan gejala ponteng sekolah terhadap para pelajar sendiri perlu juga dititikberatkan berkaitan implikasi gejala ponteng sekolah kepada pihak sekolah terutamanya guru-guru. Diantara alasan guru-guru yang merasa tertekan dengan perlakuan para pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah.

1. Merasa kerugian kerana tidak dapat memberi ilmu setaraf dengan pelajar lainnya kepada pelajar yang kerap ponteng sekolah dan akibatnya memberi kesan kemerosotan terhadap corak pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

2. Mengangu proses pembelajaran pelajar-pelajar lain dan merumitkan lagi tugas seorang guru kerana terpaksa mencuri masa untuk mengulang kembali pelajaran yang tertinggal serta tidak difahami oleh pelajar ponteng.

3. Pelajar yang ponteng sering menganggu kelas dan pelajar lain serta memburukkan pencapaian mata pelajaran iaitu melibatkan keseluruhan tahap pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran tertentu.

 

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PONTENG SEKOLAH

1. Kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah.

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, matematik, sains, geografi dan sebagainya.

Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

2. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa
Pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang pemerhatian, kasih sayang daripada ibu bapanya dan ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu bapa. Dengan membuktikan keadaan tersebut, ibu bapa kini sentiasa bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah malam, masa mereka bersama dengan anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat menyampaikan perasaan mereka kepada ibu bapa. Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba menggunakan cara lain iaitu cara negatif seperti ponteng sekolah kerana mereka berjaya mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan berkawan dengan orang luar semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya “kawan baru” ini akan mengajak mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajarannya.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

3. Pengaruh rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir ke sekolah.

4. Mencari Keseronokan

Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di suatu tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan.

5. Peraturan sekolah yang terlalu ketat

Terdapat juga para pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi ataupun didenda oleh guru contohnya semasa mereka tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru, mereka akan pilih cara ponteng sekolah supaya mereka tidak dapat didenda oleh cikgu.
Selain daripada itu,pelajar yang datang lewat juga akan mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

6. Tekanan Ekonomi
Taraf ekonomi keluarga pelajar yang rendah juga menyebabkan mereka malu untuk pergi ke sekolah. Mereka sering ponteng sekolah bagi mengelakkan dipersenda oleh rakan-rakan. Apabila ponteng sekolah, mereka mula melakukan sesuatu yang negatif bagi memenuhi masa lapang mereka. Oleh kerana kedudukan ekonomi yang rendah, maka ibu bapa sibuk untuk mencukupkan perbelanjaan harian dan menyebabkan tanggungjawab anak terabai. Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana terpaksa bekerja secara sambilan dan oleh kerana terlalu keletihan mereka tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.

 

LANGKAH MENGATASI PONTENG SEKOLAH

1. Peranan Ibubapa

Sebagai penjaga, mereka perlu memberi perhatian kepada anak sama ada dalam soal memberi kasih sayang atau perhatian terhadap pelajaran mereka. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.

2. Peranan Sekolah

Pihak sekolah pula memainkan peranan yang penting dalam kes ponteng sekolah. Pihak sekolah perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Oleh yang demikian, guru haruslah mengubahkan cara mendidiknya ataupun menambahkan sedikit hiburan supaya pelajar tidak dapat berasa bosan dan mereka dapat menikmati keseronokan dalam pelajaran. Guru juga perlu melayan pelajarnya dengan ramah, penuh kasih sayang, ada perasaan empati dalam diri terhadap masalah yang dihadapi oleh pelajar.

3. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling

Dengan menolong pelajar yang selalunya lewat ke sekolah, pihak sekolah haruslah memberi kaunseling kepada pelajar, bukannya merotan mereka sebagai denda kerana tindakan tersebut mungkin akan memberi kesan yang negatif padanya. Sebaliknya, jika pelajar dapat dikaunselingkan, pihak sekolah dapat tahu sebabnya dan dapat memberi nasihat yang sewajarnya.

4. Sikap Masyarakat

Seharusnya masyarakat sekeliling mendukung konsep ummah atau kekitaan dalam menangani gejala ponteng sekolah, sikap mudah tegur-menegur, nasihat-menasihati apabila sesuatu kepincangan berlaku dalam masyarakat.

 

KESIMPULAN

Gejala ponteng sekolah ini dapat dihadapi dan dibendung dengan berkesan jika pelajar itu sendiri faham tentang kesannya ponteng sekolah dan kepentingnya dalam pelajaran. Jika pelajar itu sendiri dapat memahami bahawa pelajarannya dapat membawa kajayaan dalam masa depan, mereka tidak akan ponteng sekolah dan sebaliknya akan belajar bersungguh-sungguh.

Oleh yang demikian, dengan mengatasi masalah ponteng sekolah, ibu bapa, pihak sekolah dan pelajar memainkan peranan yang penting dan masalah ini harus dikenal pasti oleh mereka dengan segera supaya langkah-langkah untuk mengatasinya dapat dijalankan demi masa depan generasi pelajar kita pada masa akan datang.
 

2 ulasan: