Jumaat, 26 Julai 2013

Punca berlakunya gengsterisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Soalan: Gejala samseng dan gengster di sekolah menengah di seluruh negara membuktikan bahawa pelajar telah berani mencabar undang-undang negara dan peraturan sekolah.
Huraikan punca berlakunya gengsterisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Jawapan cadangan:
       Hakikat bahawa gejala samseng dan gengster di sekolah menengah di seluruh negara membuktikan pelajar telah berani mencabar undang-undang negara dan peraturan sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak.
       Pengaruh rakan sebaya merupakan punca utama berlakunya gengsterisme di sekolah menengah. Hal ini demikian, kerana kumpulan gengster akan mendorong pelajar lain terlibat dalam gejala gengster. Malahan, perbuatan samseng dan gengster adalah menjadi syarat terhadap ahli sesuatu kumpulan. Mereka bukan sahaja mengugut secara berkumpulan, tetapi juga membuli, bergaduh malah mencederakan pelajar lain di sekolah. Selain itu, mereka turut melakukan kegiatan gengster demi mempertahankan maruah kumpulan. Mereka sanggup menyahut cabaran dari kumpulan lain supaya bertapak kukuh dalam sekolah. Jelasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya gengsterisme.
       Kekurangan pendidikan agama dan moral turut menjadi punca berlakunya gengsterisme. Pendidikan agama dan moral bukan sahaja dapat membentuk modal insan yang berakhlak mulia pada masa hadapan tetapi juga dapat menerapkan nilai-nilai murni pada diri seseorang pelajar. Nilai-nilai murni yang dapat diterapkan oleh pelajar membolehkan mereka bertindak berdasarkan amalan yang baik. Malangnya, guru-guru di sekolah kurang memberi pendidikan agama dan moral kepada pelajar kerana menganggap pendidikan ini kurang penting berbanding subjek lain.
      Pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah gengsterisme di sekolah. Pihak sekolah harus melibatkan semua pelajar dalam aktiviti persatuan mahupun kelab. Kebanyakan pelajar terlibat dalam gejala gengster berpunca daripada masa yang terluang. Dengan mempelbagaikan aktiviti persatuan di sekolah, hal ini dapat menarik perhatian dan penyertaan daripada semua pelajar dalam sekolah. Oleh itu, guru penasihat wajar menambahkan aktiviti yang dapat menarik penyertaan para pelajar untuk mengatasi gejala gengster di sekolah menengah.
       Selain itu, kempen cegah jenayah wajar dilaksanakan. Pihak sekolah boleh menjemput bekas-bekas penjenayah datang ke sekolah untuk memberi ceramah. Hal ini merupakan langkah yang paling berkesan kerana bekas-bekas penjenayah dapat menyampaikan pengalaman dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka kepada para pelajar di sekolah. Dengan ini, pelajar-pelajar di sekolah akan mendapat kesedaran malah menanam azam yang tinggi supaya meninggalkan kegiatan gengsterisme. Jelasnya, kempen cegah jenayah wajar dijalankan untuk membendung masalah gengsterisme.
        Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu supaya masalah gengsterisme di sekolah menengah dapat diatasi. Hal ini bukan sahaja mewujudkan keamanan sekolah, malah kemajuan turut dicapai.

7 ulasan: