Rabu, 1 Februari 2012

KARANGAN WAWANCARA

Soalan:
Sebagai pengarang majalah sekolah anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar di sekolah anda yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan PMR tentang rahsianya mencapai kejayaan untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis teks wawancara anda selengkapnya.

Kerangka Karangan
Pendahuluan
- Pengenalan tentang orang yang akan diwawancara, tempat, masa dan tujuan wawancara.
- Ucapan salam dan tahniah kepada pelajar yang mencapai kejayaan.

Cadangan isi.
Soalan dan jawapan tentang rahsia kejayaan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM- Jadual pembelajaran dan cara mengatur jadual mengulang kaji pelajaran.
- Aspek penting yang perlu semasa pembelajaran di dalam bilik darjah.
- Kaedah pembelajaran lain yang diikuti oleh pelajar bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan.
- Aktiviti lain yang diikuti bagi menambahkan pengetahuan.

Penutup :
- Nasihat kepada pembaca untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan.- Ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara.


Soalan
Berdasarkan kerangka karangan yang ditulis secara ringkas, teliti contoh karangan lengkap di bawah.

Pada 16 Februari 2012 yang lalu, saya, iaitu Nur Amanina Abdul Halim sebagai pengarang Majalah SUARA SMKAP telah menjalankan wawancara dengan seorang pelajar cemerlang dalam Peperiksaan PMR yang baru lalu, iaitu saudari Esther Wee. Wawancara yang dijalankan di bilik kauseling sekolah ini bertujuan untuk dimuatkan dalam majalah SUARA SMKAP keluaran tahun 2012. Yang berikut ialah wawancara saya dengan beliau.


Amanina : Selamat pagi Saudari Esther.

Esther : Selamat pagi.

Amanina : Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudari kerana sudi diwawancara pada pagi ini. Selain itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Saudari kerana Saudari telah mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang dalam peperiksaan PMR yang baru lalu.

Esther : Terima kasih.

Amanina : Saudari, saya difahamkan Saudari memperoleh 8 A dalam peperiksaan PMR yang diumumkan baru-baru ini.

Esther : Ya, benar. Saya telah berjaya memperoleh 8 A dalam peperiksaan PMR yang saya duduki pada tahun lepas. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa saya, semua guru saya dan rakan-rakan saya yang turut sama berusaha sehingga saya mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang dalam PMR pada tahun lalu. Tanpa bantuan dan dorongan daripada mereka semua, amat sukar bagi saya mencapai kejayaan ini. Bagi saya, kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang malahan merupakan kejayaan mereka juga.

Amanina : Siapakah yang menjadi pendorong kepada Saudari sehingga mencapai kejayaan yang mengharumkan nama sekolah kita?

Esther : Selain kedua-dua orang ibu bapa saya, orang yang paling banyak mendorong saya mencapai kejayaan ialah Guru Tingkatan saya, iaitu Cikgu Razali. Beliau begitu prihatin dengan pencapaian saya dalam sebarang peperiksaan yang saya tempuhi sejak saya menjadi anak muridnya. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada beliau.

Amanina : Bagaimanakah Saudari mengatur jadual sehingga berjaya mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang ini?

Esther : Sebenarnya tiada jadual khusus yang saya ikuti dalam mengulang kaji pelajaran. Saya mengulang kaji pelajaran mengikut masa lapang saya. Bagi saya, penetapan jadual yang khusus akan menyebabkan kita mudah berasa bosan kerana mengikuti perkara yang sama pada setiap hari. Kebiasaannya, pada waktu petang saya mengikuti kelas bimbingan bagi mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Selepas itu, sekiranya ada masa lapang saya akan berlari-lari anak di sekitar kawasan perumahan yang saya duduki sekadar mengeluarkan peluh. Pada waktu malam pula, sekiranya tiada kerja rumah yang dibekalkan oleh guru, saya mula mengulang kaji pelajaran dari pukul lapan malam sehingga pukul sepuluh malam.

Amanina : Bagaimanakah caranya Saudari mengikuti pembelajaran yang dijalankan semasa di kelas?

Esther : Kita tidak dapat menafikan kepentingan pembelajaran di dalam kelas. Semasa guru mengajar saya akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya perkara-perkara yang disampaikan oleh guru. Tumpuan yang penuh semasa pembelajaran membolehkan saya mengingati sesuatu aspek dalam pelajaran berkenaan bagi jangka masa yang lebih lama. Saya juga membiasakan diri saya bangun pada awal pagi sekitar jam lima pagi. Selepas mandi saya akan membaca tajuk-tajuk yang akan diajar oleh guru pada hari berkenaan. Hal ini bertujuan untuk membolehkan saya memahami pelajaran yang akan diajarkan dengan lebih mudah. Sekiranya timbul kekeliruan, saya tidak akan menunggu lama untuk bertanya kepada guru tentang perkara tersebut.

Amanina : Adakah Saudari mengikuti pembelajaran secara berkumpulan sebagaimana yang dijalankan oleh pelajar-pelajar yang lain?

Esther : Ya, benar. Saya juga mengikuti pembelajaran secara berkumpulan bersama-sama tiga orang rakan karib saya seperti Yew Hong, Hazidah dan Najwa. Aktiviti belajar secara berkumpulan ini biasanya kami lakukan pada hujung minggu, iaitu pada pagi Ahad dari pukul lapan pagi sehingga pukul sebelas pagi. Pembelajaran secara berkumpulan juga penting bagi menilai kemampuan kami mengingati fakta yang telah kami pelajari dalam masa seminggu. Semasa perbincangan, kami akan mengemukakan fakta yang telah diajarkan oleh guru secara lisan. Kaedah ini dapat menguji daya ingatan kami. Sekiranya ada fakta yang tersilap, salah seorang daripada kami akan membetulkan fakta berkenaan. Dengan cara ini, kami dapat mengingati fakta berkenaan dengan tepat.

Amanina : Saya difahamkan Saudari juga aktif dalam kegiatan persatuan, kelab dan permainan di sekolah. Tidakkah perkara ini mengganggu pembelajaran Saudari?

Esther : Tidak sama sekali. Kegiatan yang saya lakukan ini hanyalah pada hari Sabtu sahaja. Saya merupakan Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan mewakili sekolah dan daerah dalam permainan ping pong. Sebagai pengerusi persatuan akademik saya dan rakan-rakan saya kerap menganjurkan aktiviti persatuan yang dapat memantapkan penguasaan kami dalam sesuatu mata pelajaran. Misalnya, kami akan menganjurkan pertandingan syarahan, perbahasan ataupun berbalas pantun. Dengan cara ini, saya dapat meningkatkan penguasaan saya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Bagi saya, aktif dalam sesuatu kegiatan di luar bilik darjah tidak akan mengganggu pelajaran kita selagi kita bijak membahagikan masa dan menggunakan masa dengan berkesan.

Amanina : Soalan saya yang terakhir. Apakah nasihat Saudari kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini?

Esther : Nasihat saya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini ialah selain tekun mengulang kaji pelajaran, kita perlu menurut segala nasihat ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih tua daripada kita. Kita juga perlu menghormati dan sentiasa memohon restu daripada mereka. Restu daripada ibu bapa dan guru amat penting bagi mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran. Akhirnya, kita juga perlu berdoa kepada Tuhan setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Sekiranya perkara ini dapat kita lakukan dengan ikhlas, kejayaan sudah pasti berada dalam genggaman kita.

Amanina : Baiklah Saudari Esther, akhir kata saya mengucapkan tahniah sekali lagi dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama-sama dengan saya pada pagi ini.

Esther : Terima kasih kembali.


Soalan latihan 
  1. Sebabagai wartawan salah sebuah akhbar perdana di negara kita, anda ingin menemu bual salah seorang ketua penduduk sebuah taman tentang usaha-usaha untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk. Tulis teks wawancara tersebut dengan lengkap.
  2. Salah seorang pelajar di sekolah anda telah menerima anugerah sebagai Olahragawan Negeri dalam kejohanan sukan di peringkat negeri. Anda sebagai salah seorang anggota sidang redaksi majalah sekolah dikehendaki mewawancara pelajar tersebut tentang kejayaannya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Tulis teks wawancara anda selengkapnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan