Rabu, 28 Mac 2012

Karangan Rangsangan 3


Berdasarkan rajah di atas, huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk mengurangkan bebanan kos hidup. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pendahuluan:
*Kenaikan harga barang - berlaku di seluruh dunia - kenaikan harga petroleum dan komoditi utama - pelbagai langkah mengurangkan bebanan kos hidup.

Cadangan isi:
*Membeli barangan secara pukal - mengurangkan kos sampingan.
*Membuat perbandingan harga - lebih nilai bagi wang yang dibelanjakan.
*Mengawal penggunaan kad kredit - punca sikap boros berbelanja.
*Melakukan kerja sampingan - menambahkan pendapatan.

Penutup:
*Pengguna yang bijak - mampu mengurangkan bebanan kos hidup.

Karangan Rangsangan 2


Berdasarkan rajah di atas, huraikan pendapat anda tentang keburukan merokok. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Pendahuluan:
*Merokok - tabiat yang tidak baik - banyak keburukan.

Cadangan isi:
*Membahayakan kesihatan - 4000 jenis bahan kimia - 63 jenis - menyebabkan barah.
*Mencemarkan persekitaran - 10 hingga 15 peratus kesan pencemaran - orang-orang di sekeliling perokok - menghidu asap rokok - turut menanggung kesan.
*Membazirkan wang - kos membeli rokok - kos rawatan perubatan.
*Mendorong kepada penagihan dadah - penagih dadah bermula dengan merokok.

Penutup:
*Tabiat merokok memudaratkan - wajar dihentikan.


Karangan Rangsangan 1


Berdasarkan rajah di atas, huraikan pendapat anda tentang cara-cara menjimatkan elektrik.
Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pendahuluan:
*Penjimatan elektrik - antara langkah untuk memelihara bumi - pelbagai cara penjimatan elektrik.

Cadangan Isi:
*Memadamkan suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan - menjimatkan elektrik - memanjangkan jangka hayat peralatan.
*Mengurangkan kuasa elektrik yang digunakan - contohnya penyaman udara - 20 darjah celsius kepada 24 darjah celsius - menjimatkan 33 peratus tenaga elektrik.
*Menggantikan model peralatan lama - model yang menjimatkan kuasa elektrik.

Penutup:
*Penjimatan elektrik - menjimatkan sumber asli - meringankan bebanan kos hidup - mesra alam.

Selasa, 13 Mac 2012

Karangan Wawancara

Anda berkesempatan mewawancara seorang anggota polis berpangkat inspektor tentang gejala lumba haram yang sering dilakukan oleh remaja pada masa ini.

Tulis wawancara itu selengkapnya.



Saya :
Selamat pagi, Tuan Inspektor Azim Sidek. Saya Razali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian tuan diwawancara pada hari ini berhubung dengan gejala lumba haram dalam kalangan remaja, untuk dimuatkan dalam majalah sekolah kami.

Inspektor Azim :
Saya juga berterima kasih kepada pihak sekolah kerana mewawancara saya.

Saya:
Bolehkah Tuan Inspektor memberi penerangan lebih lanjut tentang kegiatan lumba haram yang kian menjadi-jadi sekarang?

Inspektor Azim:
Lumba haram merupakan satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kegiatan ini biasanya dilakukan pada waktu tengah malam dan salah di sisi undang-undang kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain dan nyawa pelumba itu sendiri. Kegiatan lumba haram ini umumnya melibatkan golongan remaja yang berlumba tanpa menghiraukan keadaan trafik dan tindakan ini amat berbahaya.

Saya:
Apakah faktor yang menyebabkan gejala ini?

Inspektor Azim:
Antara faktor utamanya ialah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja mudah menerima ajakan rakan untuk berlumba kerana ingin dianggap berani. Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pergaulan anak-anak juga menjadikan gejala ini berleluasa. Pengaruh filem seperti filem-filem aksi lumba serta penerbitan majalah kenderaan ubah suai, permainan video,  serta komik yang mengetengahkan aksi lumba, turut memainkan peranan. Perkara yang lebih buruk, ada pihak yang menjadi penganjur perlumbaan haram dengan menyediakan hadiah bagi pemenang.
Saya:
Bagaimanakah pihak polis menangani kegiatan lumba haram ini?

Inspektor Azim:
Pihak polis telah meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa. Jabatan kami juga kini dilengkapi dengan kereta atau motosikal yang lebih laju dan berkuasa kerana selama ini pihak polis hanya dibekalkan dengan kenderaan talaan kilang yang kurang berkuasa dan tidak cukup laju untuk mengejar pelumba haram.  Kempen pemanduan berhemah turut diadakan di sekolah dan kawasan tumpuan awam. Selain itu, pihak polis juga mengenakan tindakan ke atas penonton perlumbaan haram kerana menggalakkan kegiatan ini.

Saya:
Apakah nasihat Tuan Inspektor untuk menangani kegiatan lumba haram?

Inspektor Azim:
Saya menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat terhadap tingkah laku anak-anak untuk memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat. Masyarakat setempat juga diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kegiatan lumba haram yang berlaku di tempat mereka kepada pihak polis. Pihak polis juga mencadangkan agar aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysian Cub Prix dan Pesta Pasti Honda diperbanyak untuk menggalakkan remaja menyertainya.

Saya:
Memandangkan masa tidak mengizinkan, saya rasa cukup setakat ini wawancara kita. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Inspektor kerana sudi diwawancara.

Inspektor Azim:
Sama-sama.

Karangan Berita

Kejohanan olahraga sukan tahunan telah diadakan di sekolah anda. Sebagai ketua sidang redaksi majalah sekolah, anda telah diminta menulis berita tentang kejohanan tersebut untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.

Sediakan berita tersebut selengkapnya.


Masjid Tanah, 8 Mac – Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang hari ini. Kejohanan tahunan kali ke-21 ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Daerah Alor Gajah, Tn. Hj. Lazis bin Jaffar. Dalam kejohanan ini. Rumah Hang Jebat yang juga merupakan johan 5 tahun berturut-turut, sekali lagi menjadi juara. Tempat kedua disandang oleh Rumah Hang Tuah sementara tempat ketiga disandang oleh Rumah Rentap dan tempat keempat disandang oleh Rumah Tun Perak. Anugerah Olahragawan harapan pula dimenangi oleh atlet acara pecut Rumah Hang Jebat, iaitu Ramli bin Saidi.

            Menurut Tn. Hj. Lazis bin Jaffar, kalah menang merupakan adat pertandingan. Dalam apa-apa kejohanan sekalipun, semangat kesukanan yang tinggi adalah diperlukan. Kekalahan bukan bererti gagal sebaliknya langkah untuk berjaya. Menurut beliau lagi, sukan tahunan yang diadakan di peringkat sekolah merupakan gelanggang untuk mengasah bakat para pelajar dalam melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara pada masa hadapan. Beliau juga berharap agar pelajar dapat menjayakan acara sukan dengan cemerlang dan bekerja dalam pasukan apabila terlibat dalam acara berkumpulan.

            Sebelum acara sukan bermula, acara perbarisan yang disertai oleh semua kontinjen unit beruniform dan pasukan daripada semua rumah sukan membuka tirai persembahan. Setiap kontinjen dinilai dan kontinjen yang terpilih menerima hadiah semasa sesi penutupan sukan diadakan. Hanya beberapa acara balapan dipertandingkan memandangkan banyak acara telah disempurnakan sebelum ini dalam pertandingan yang diadakan seminggu lebih awal. Cuaca yang cerah memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. Selain acara sukan yang dipertandingkan, diadakan juga pelbagai jualan ringan yang dikendalikan oleh pihak kantin dan koperasi sekolah.

Kejohanan sukan tahunan ini diakhiri dengan acara penyampaian pingat kepada para pemenang, diikuti dengan acara penyerahan bendera kejohanan kepada pengetua sekolah. Para atlet  yang berjaya dalam sukan kali ini terpilih untuk mewakili sdekolah di peringkat kawasan Masjid Tanah.

Karangan Laporan

Baru-baru ini, Kelab Komputer sekolah anda telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang komputer. Selaku setiausaha, anda dikehendaki menulis satu laporan lengkap tentang lawatan tersebut.
Sediakan laporan itu selengkapnya.


Lawatan ke Kilang Komputer

            Pada 3 Mac 2012 yang lalu, Kelab komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra telah mengadakan lawatan ke sebuah kilang komputer Intel yang terletak di kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim. Lawatan sambil belajar yang disertai oleh 40 ahli kelab komputer dan diiringi oleh 3 orang guru ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dirancangkan pada tahun ini.

            Lawatan bermula pada jam 7.30 pagi apabila semua berkumpul di perkarangan sekolah. Peserta kemudian menaiki sebuah bas yang disewa khas dan tiba di kilang komputer Intel pada jam 11.30 pagi. Rombongan kami disambut oleh pegawai yang bertugas, Encik Wong. Encik Wong menerangkan operasi kilang secara ringkas. Kami dibawa melawat ke seluruh kawasan kilang. Semua kakitangan memakai pakaian seragam khas. Peralatan kilang amat sensitif, maka kebersihan amat dititikberatkan. Kebanyakan kakitangan di kilang tersebut terdiri daripada golongan remaja.

            Menurut Encik Wong, kilang komputer Intel itu didirikan pada tahun 2000. Kilang ini membuat pelbagai peralatan komputer termasuk monitor, papan kekunci, dan unit pemprosesan pusat atau CPU. Barangan yang dihasilkan ini dipasarkan di dalam dan luar negara. Kilang ini juga menampung sebahagian besar daripada keperluan komputer di negara ini. Selain lawatan ke semua unit dalam kilang berkenaan, kami juga menonton tayangan multimedia yang dikendalikan oleh unit khas di kilang tersebut. Pada sesi akhir lawatan, pihak pengurusan kilang telah mengadakan jamuan makan tengah hari untuk kami.

            Lawatan berakhir pada jam 4.30 petang apabila peserta bertolak ke sekolah sebelum kembali ke rumah masing-masing. Walaupun berasa agak letih, tetapi pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi amat berharga.

Dilaporkan oleh,


…………………………
(Salmah binti Daud)
Setiausaha Kelab Komputer,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra,
Melaka.

Karangan Surat Tidak Rasmi

Seorang sahabat ingin mengetahui lebih lanjut gejala gengsterisme di sekolah anda.
Anda menulis surat kepadanya untuk menceritakan perkembangan gejala tersebut.
Tulis surat anda itu selengkapnya.

 
                                                                                                  ST 12, Taman Permai,
                                                                                                  78300 Masjid Tanah,
                                                                                                  Melaka.

                                                                                                  21 MAC 2012

            Menemui sahabatku, Danial yang berada di Sandakan, Sabah, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Danial,
            Terima kasih kerana sudi menulis surat kepada saya. Saya telah membaca surat tersebut dan berasa gembira akan perhatian yang diberikan terhadap keadaan di sekolah saya. Bagaimanakah saudara mendapat berita tentang kejadian tersebut sedangkan jarak antara kita beratus-ratus batu jauhnya?

            Sebenarnya kejadian samseng atau gengsterisme bukan suatu perkara yang luar biasa di sekolah-sekolah, terutama sekolah menengah, lebih-lebih lagi sekolah di pinggir bandar seperti sekolah saya. Segelintir pelajar di sekolah ini mudah terpengaruh oleh budaya-budaya yang tidak sihat dari bandar.

            Pergaduhan yang berlaku antara dua kumpulan pelajar baru-baru ini adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati sesama mereka. Hasil siasatan yang dijalankan, didapati beberapa orang pelajar senior sering membuli pelajar junior. Dalam suatu kejadian, keadaan menjadi tidak terkawal apabila seorang pelajar telah mengeluarkan sebilang pisau dan mengugut seorang pelajar lain. Mujurlah kejadian yang berlaku di kawasan sekolah itu disedari oleh pengawas yang segera memaklumkan kejadian tersebut kepada guru sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Pihak sekolah telah bertindak pantas dengan menyoal siasat pelajar-pelajar yang terlibat. Pihak sekolah juga meminta ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar yang berkenaan datang ke sekolah dengan segera. Setelah perbincangan diadakan, akhirnya pelajar yang terlibat telah mengakui kesalahan sebelum diberi amaran supaya berkelakuan baik. Pengetua sekolah mengingatkan pelajar-pelajar tersebut bahawa tindakan buang sekolah akan diambil jika pergaduhan seumpama itu berulang.

            Saya amat berharap agar kejadian buruk yang berlaku menjadi teladan kepada semua pelajar. Perbuatan samseng atau gengsterisme bukan sahaja mencemarkan maruah pelajar itu sendiri, malahan menjejaskan imej sekolah dan nama baik  keluarga.

            Setakat inilah yang dapat saya maklumkan kepada suadara. Semoga bertemu lagi dalam lembaran yang lain, diharap kita dapat terus menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan dari segi sahsiah. Sekian, terima kasih.  

                                                                                                    Sahabatmu,



                                                                                                    ……………………
                                                                                                   (ABU HANIFAH)

Karangan Surat Rasmi

 
Pasukan Badan Beruniform Pengakap Sekolah anda bercadang untuk mengadakan perkhemahan di sebuah kem milik persendirian.
Tulis sepucuk surat kepada pemilik kem tersebut untuk memohon kebenaran.



Badan Beruniform Pengakap,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putrta,
78300 Masjid Tanah,
Melaka.
­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­__________________________________________________________________________________

Pengurus,
Kem Rekreasi Alor Gajah,
78500 Alor Gajah,
Melaka.                                                                                                              13 Mac 2012.

Tuan,

Memohon Kebenaran Mengadakan Minggu Perkhemahan.

Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk.

2.     Pasukan pengakap sekolah kami akan mengadakan minggu perkhemahan sebagai satu daripada aktiviti tahunan persatuan. Kami bercadang untuk mengadakan program tersebut di kem rekreasi tuan memandangkan kem tersebut terletak berhampiran dengan sekolah kami. Butir-butir tentang perkhemahan tersebut adalah seperti yang berikut:

            Tarikh                                       : 23 hingga 26 Mac 2012 
            Hari                                          : Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin
            Bilangan Peserta                       : 60 orang
Bilangan Guru Pengiring            : 6 orang

3.     Banyak aktiviti yang telah dirancangkan bagi minggu perkhemahan ini. Antara aktiviti tersebut ialah aktiviti meredah halangan, bermalam di hutan, ikhtiar hidup, berkayak, serta ceramah motivasi kepimpinan. Atur cara bagi aktivit yang akan dijalankan disertakan bersama-sama surat ini untuk rujukan tuan.

4.     Oleh hal yang demikian, kami amat berbesar hati sekiranya pihak tuan dapat menyediakan tapak bagi perkhemahan kami ini serta khidmat pegawai atau jurulatih untuk membantu kami, terutamanya dalam menyelia aktiviti meredah hutan. Hal ini bertujuan mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti sesat di dalam hutan dan seumpamanya memandangkan kami kurang arif akan kawasan tersebut.

5.     Besarlah harapan kami agar permohonan ini mendapat maklum balas segera daripada tuan. Kerjasama tuan dalam menjayakan aktiviti badan beruniform kami amat kami hargai.


Sekian, terima kasih.

Saya yang menjalankan tugas,


…………………………………….
(SALIM BIN ABU)
Setiausaha,
Badan Beruniform Pengakap,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra,
Melaka.

Khamis, 1 Mac 2012

Ringkasan Karangan 4

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca berlakunya pembuangan bayi. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Sejak belakangan ini, kes pembuangan bayi di Malaysia semakin serius. Saban hari kita dikejutkan dengan kes pembuangan sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia ditinggalkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam tong sampah, tandas, dan longkang. Pergaulan bebas merupakan pemangkin utama kes ini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama boleh menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil anak luar nikah

            Lebih buruk lagi pihak lelaki tidak bertanggungjawab sehingga membawa titik hitam dalam kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk mengelakkan rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan. Perempuan yang menerima anak juga takut dimarahi atau dipulau oleh keluarga akibat keterlanjuran dalam pergaulan. Selain itu, gejala ini juga berpunca daripada faktor kemiskinan keluarga yang mempunyai anak yang ramai sedangkan suami tidak bekerja. Kurang didikan agama juga merupakan salah satu punca berlakunya kes pembuangan bayi.

            Selain cetek pengetahuan agama, mereka juga cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Mereka mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahala. Bagi mereka, perbuatan keji ini adalah perkara baru yang perlu dicuba. Mereka yang melakukan perbuatan salah ini tidak menerima maklumat yang betul dari pihak tertentu untuk menyelesaikan masalah yang diterima sebagai contoh tidak mengetahui terdapat badan sukarela dan agensi tertentu yang menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji ini berlaku dengan sikap masyarakat yang memandang keji mereka yang mempunyai anak tanpa berkahwin.

            Isu pembuangan bayi amat serius dan perlu ditangani segera. Oleh yang demikian pegangan agama yang utuh dalam kalangan remaja penting untuk membendung masalah ini. Keluarga dan masyarakat harus bersikap membantu mangsa, bukan menambah beban yang ditanggung. Pada waktu yang sama, ibu bapa hendaklah prihatin dengan anak-anak mereka yang meningkat remaja, selain itu individu sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga tatasusila apabila berhadapan dengan masyarakat.

Bahagian A (ii): Pemahaman

1.Apakah maksud rangkai kata menambah beban yang ditanggung?
2.Berdasarkan petikan, apakah langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi?
3.Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan oleh pihak sekolah untuk mengurangkan berlakunya kes pembuangan bayi?





JAWAPAN RINGKASAN KARANGAN

* Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat.

* Kemiskinan keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

* Ibu bapa yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak.

*Kurang didikan agama juga merupakan salah satu punca.

*Mereka juga cetek pengetahuan dalam pergaulan serta mengambil  tindakan yang melulu.


JAWAPAN PEMAHAMAN
1. Maksud rangkai kata menambah beban yang ditanggung ialah membiarkan mereka menyelesaikan masalah sendiri tanpa memberi nasihat.


2. Langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi ialah ibu bapa hendaklah memberi didikan agama kepada anak mereka secukupnya dan sentiasa memberi perhatian yang sewajarnya terhadap anak yang meningkat dewasa.


3. Bagi pendapat saya, langkah-langkah  yang patut dilakukan oleh pihak sekolah untuk mengurangkan berlakunya kes pembuangan bayi ialah pihak sekolah hendaklah mengadakan program-program kesedaran, jati diri, motivasi dan kerohanian kepada murid-murid sekolah supaya mereka dapat memahami dan mengetahui bahawa perkara pembuangan bayi ini adalah satu jenayah yang berat.


Ringkasan Karangan 3

Bahagian A(i): Ringkasan
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis suatu ringkasan tentang usaha memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Amalan membaca dapat mewujudkan masyarakat yang bijaksana. Hal ini demikian kerana mereka mampu menguasai ilmu sesuatu pengetahuan seterusnya memanfaatkannya pada jalan yang baik. Tradisi membaca yang kukuh adalah bermula pada peringkat kanak-kanak. Justeru, ibu bapa hendaklah bijak memilih masa yang sesuai untuk membacakan buku cerita kepada anak-anak. Misalnya, sebelum anak-anak tidur. Bak kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Begitulah juga usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Namun demikian, cara sesebuah buku dipersembahkan kepada kanak-kanak perlu dititikberatkan juga. Contohnya, dengan banyak menggunakan ilustrasi atau gambar yang menarik.

Di Malaysia, tradisi membaca cukup memberangsangkan ketika gelombang saingan daripada media elektronik melanda dengan hebatnya. Oleh itu, usaha-usaha menanam minat membaca dalam kalangan rakyat mestilah dijalankan secara berterusan dan dilipatgandakan dari semasa ke semasa Kempen membaca pula mestilah dilaksanakan sepanjang tahun. Usaha ini hendaklah melibatkan pelbagai peringkat umur pembaca, iaitu golongan kanak-kanak, remaja, dan dewasa, serta mencakupi pelbagai bidang yang sesuai dengan keperluan pembaca. Sementara itu, Kempen Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap bulan Julai perlu disesuaikan dan disusun semula programnya.

Dalam usaha menggalakkan pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelbagai jenis buku wajar mengisi ruang perpustakaan awam atau pusat sumber sekolah. Buku-buku itu pula hendaklah ditulis dalam bahasa Malaysia dan diterbitkan di Malaysia. Syarikat penerbitan juga digalakkan menganjurkan pertandingan yang melibatkan aktiviti membaca. Misalnya, pertandingan menulis cerpen atau esei, pertandingan ulasan novel, dan sebagainya. Dalam hal ini, semua pihak berperanan penting untuk membantu usaha memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bahagian A(ii): Pemahanan
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah maksud rangkai kata “berterusan dan dilipatgandakan”?
2. Nyatakan usahusaha yang harus dilakukan untuk memupuk meminat menbaca dalam kalangan kanak-kanak.
3. Pada pendapat anda, apakah punc-punca yang menyebabkan budaya membaca rakyat Malaysia rendah

Ringkasan Karangan 2

Baca petikan di bawah  dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara  meningkatkan tahap kesihatan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kesihatan amat penting kepada manusia. Kekayaan yang melimpah-ruah atau pangkat yang tinggi  tidak berguna jika tubuh kita menanggung  pelbagai penyakit.  Kita mestilah menjaga kesihatan kerana jika kesihatan kita terjejas, usaha untuk memulihkannya mungkin agak sukar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
            Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa makanan sangat penting kepada kita.  Kita perlu makan untuk hidup tetapi janganlah kita makan mengikut rasa dan selera sehingga menimbulkan mudarat kepada badan.  Kita mesti mengambil makanan seimbang setiap hari.  Makanan seimbang mengandungi semua zat dan vitamin yang diperlukan oleh badan.  Selain makan daging atau ikan, kita perlu juga makan sayur-sayuran serta buah-buahan.  Masalahnya, pada masa ini ramai orang, khususnya remaja dan kanak-kanak tidak suka makan sayur-sayuran atau buah-buahan.  Mereka lebih meminati coklat atau aiskrim yang mengandungi lemak dan boleh menyebabkan kegemukan.  Pengetahuan tentang piramid makanan boleh membantu kita menguruskan pengambilan makanan yang betul.
            Kita juga perlu memastikan kebersihan makanan yang dimakan.  Makanan yang dihidangkan hendaklah sentiasa tertutup daripada habuk dan tidak dihinggapi lalat.  Makanan yang kotor atau yang telah tercemar boleh menyebabkan keracunan.  Dalam kalangan remaja zaman sekarang, menikmati makan segera di restoran makanan segera sudah menjadi seperti satu kemestian.  Makanan di restoran berkenaan memang sedap tetapi di sebalik kesedapan itu tersembunyi kesan sampingan yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.  Makanan segera seperti ayam goreng atau kentang goreng perlu dikurangkan kerana mengandungi lebihan garam dan lemak yang akan menyebabkan penyakit darah tinggi dan sakit jantung.
                        Kita perlu juga melakukan senaman untuk meningkatkan tahap kesihatan.  Tujuan kita bersenam adalah untuk mengeluarkan peluh yang mengandungi bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh badan.  Untuk bersenam atau mengeluarkan peluh, kita tidak memerlukan sebarang perbelanjaan.  Cara mengeluarkan peluh yang paling mudah adalah berjoging.  Pemeriksaan doktor secara berkala juga perlu bagi memastikan kesihatan kita berada pada tahap yang baik.  Melalui pemeriksaan doktor, kita mungkin dapat mengesan sebarang penyakit yang baru hendak bermula.  Dengan itu langkah pencegahan akan lebih mudah.  Masalah yang kerap timbul ialah kebanyakan orang bertemu dengan doktor setelah penyakit sudah berada di peringkat kronik. 
            Kesihatan ialah anugerah Tuhan yang tidak dapat dijual beli.  Kita perlu sentiasa prihatin terhadap tahap kesihatan kita.  Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada merawat penyakit


.
Bahagian A(ii): Pemahaman 
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 1.  Apakah maksud rangkai kata Pemeriksaan doktor secara berkala                   (2 markah)
 2.  Berdasarkan petikan, nyatakan empat jenis makanan yang disukai oleh golongan remaja.                 (4 markah)
 3.  Pada pendapat anda, apakah cara terbaik untuk menggalakkan masyarakat mementingka penjagaan kesihatan?                                                  (4 markah)

Ringkasan Karangan 1

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah penglibatan rakyat Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Misi menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas yang bermula pada tahun 2003 akhirnya sempurna sekembalinya Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Bumi selepas 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) semalam. Walaupun detik bersejarah itu tercatat 46 tahun selepas kejayaan angkasawan pertama Yuri Gagari dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi Bumi, namun beliau dikatakan lewat. Malah, catatan Sheikh Muszaphar sebagai angkasawan ke-141 amat bermakna kepada negara kerana berlangsung bersempena dengan 50 tahun usia kemerdekaan tanah air.
   
            Penglibatan ini memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan negara untuk menyertai penerokaan angkasa lepas dengan menghantar angkasawan pertama selepas tiga tahun ditawarkan berbuat demikian. Tiada siapa boleh menidakkan betapa kejayaan angkasawan pertama negara menjadi kebanggaan kita sekali gus melonjakan nama Malaysia di arena antarabangsa. Kejayaan menjadikan Program Angkasawan Negara satu realiti pastinya membuka mata dunia betapa negara kecil di peta dunia ini amat serius membangunkan industri angkasa lepas. Kejayaan ini telah menutup tanggapan orang ramai bahawa program ini membazirkan wang rakyat. Malah sebelum ini ramai yang tidak yakin misi ini akan membuahkan hasil. Selain itu, tanggapan negara maju yang usaha Malaysia menyertai misi tersebut untuk menandingi negara lain dapat dihapuskan.
            Sesungguhnya selepas mencatat rekod kejayaan ini ialah kelangsungan program angkasawan negara terutama dari sudut penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar. Minat generasi muda baik di peringkat tadika terhadap penerokaan angkasa lepas akan berkembang. Disebabkan Sheikh Muszaphar selamat kembali ke Bumi maka program-program untuk mendidik rakyat Malaysia tentang angkasa lepas akan menarik perhatian masyarakat. Begitu juga dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan pelan tindakan pembangunan angkasa negara sebagai susulan kepada penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke ISS akan menerima respon yang baik daripada orang ramai.

           Kita berharap Sheikh Muszaphar akan memberi ceramah di seluruh pelosok negara tentang pengalamannya di angkasa untuk menarik minat masyarakat tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan hasil penyelidikan Sheikh Muszaphar di ISS bakal membuka lembaran baharu bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit kronik. Pelaburan untuk meneroka angkasa lepas yang besar jumlahnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya kelak bakal angkasawan yang dilahirkan di negara kita mampu bersaing dengan calon-calon dari negara luar. Sesungguhnya kejayaan angkasawan pertama kita mesti ada susulannya sebagai bukti bahawa negara serius menyertai masyarakat antarabangsa meneroka angkasa.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana pengarang
“Meneruskan Kejayaan Teroka Angkasa Lepas”, Utusan Malaysia, 22 Oktober 2007)

 Bahagian A (ii): Pemahaman
[10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan–soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1 Berikan maksud rangkai kata kelangsungan program. [2 markah]

2 Apakah tanggapan negatif sebelum misi ke angkasa lepas dijalankan? [4 markah]

3 Pada pendapat anda, mengapakah Malaysia mengambil masa yang lama untuk melahirkan seorang angkasawan iaitu 46 tahun setelah angkasawan Rusia berjaya menerokai angkasa lepas? [4 markah]



JAWAPAN A(i)

          Faedah-faedah penglibatan rakyat Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas ialah menunjukkan kesungguhan negara untuk menyertai penerokaan ke angkasa lepas. Malah misi meneroka angkasa lepas turut dapat menaikkan nama Malaysia ke arena antarabangsa. Di samping itu, dapat menyebarkan ilmu di kalangan pelajar terhadap penerokaan angkasa lepas. Selain itu, mereka dapat membuka lembaran baharu dalam bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit kronik. Pelaburan untuk meneroka angkasa lepas dapat dimanfaatkan supaya bakal angkasawan di negara kita mampu bersaing dengan negara luar.

JAWAPAN A(ii)
1) Maksud rangkai kata kelangsungan program ialah menyebarkan ilmu yang dimiliki setelah mendapat kejayaan.

2) Tanggapan negatif sebelum misi ke angkasa lepas dijalankan ialah bahawa program ini membazirkan wang rakyat kerana tidak yakin misi ini akan membuahkan hasil.

3) Pada pendapat kami, Malaysia mengambil masa yang lama untuk melahirkan seorang angkasawan iaitu 46 tahun setelah angkasawan Rusia berjaya menerokai angkasa lepas ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak yakin akan kebolehan yang dimiliki.