TING 5

Sutera Dalam Lukisan - Sinopsis

Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda iaitu Bujei yang mengalami kepayahan hidup dan konflik jiwa selepas kematian ibunya, Fatimah ekoran daripada kebakaran di rumah mereka. Kebakaran tersebut berlaku apabila bapa tirinya, Harun yang panas baran dan kejam telah menyepak pelita sehingga akhirnya rumah mereka terbakar. Bujei tidak mampu menyelamatkan ibunya, malah dituduh menjadi penyebab kebakaran itu.


Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dan dipermain-mainkan oleh masyarakat kampung. Bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.

Hidupnya keseorangan dan kesepian. Dia selalu pergi ke sungai untuk bersendirian dan mengingati semula pelbagai kenangan pahit yang dilaluinya.

Kehadiran Adila yang banyak membantunya memulihkan keyakinan diri telah beransur-ansur mengubah perwatakan Bujei dan dia mulai merasai erti kehidupan yang sebenar. Namun banyak dugaan yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama Adila.

Bujei dibuli dan dipermain-mainkan oleh Alias dan kawan-kawannya. Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila. Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila. Alias sanggup merayu kepada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya. Bujei turut diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana kononnya terlibat dalam perbuatan maksiat semasa menuntut di luar negara. Tujuannya supaya Bujei membenci dan menjauhkan diri daripada Adila.

Kegagalan rancangannya menyebabkan dendam Alias kian membara. Alias meminta bantuan daripada neneknya yang selalu sahaja menurut kemahuannya iaitu Opah Arah untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya. Alias akhirnya telah menjadi tidak siuman.

Adila turut menolak hasrat Faizal yang mahu memujuknya kerana dia kecewa dengan sikap Faizal yang berkahwin dengan orang lain.

Orang kampung telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei menjadi orang yang tidak siuman.

Apabila yakin dan berpuas hati bahawa Bujei telah kembali normal dan mampu berdikari, Adila berhasrat untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Kuala Lumpur kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di sebuah institut swasta. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya, Mak Lamah tentang keputusannya untuk menerima Bujei sebagai pasangan hidupnya.





SINOPSIS MENGIKUT BAB -  NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN

 
BAB 1               Bujei berada di sungai sehingga senja. Dia sudah biasa berada di sungai itu. Bujei sentiasa terkenangkan bapanya yang meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia dan ibunya berpindah ke kampung. Ibunya berkahwin dengan Harun. Akibat daripada sikap buruk Harun, ibunya meninggal dalam tragedi kebakaran rumah mereka.

 
BAB 2               Bujei pulang ke rumah arwah neneknya setelah hari gelap. Dia menyalakan pelita minyak tanah. Selepas itu dia makan pisang sambil menonton televisyen yang tidak kelihatan apa-apa gambar. Kemudian dia tidur di dalam kelambu yang bertampal-tampal. Menjelang waktu Subuh dia bangun mandi dan bersiap. Dia terus ke simpang jalan dengan harapan ada orang yang akan mengupahnya di kebun getah. Dia tertidur. Dia dikejutkan oleh Kasim dan Husin ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah. Bujei membawa beg mereka dengan upah sedikit makanan dai minuman. Selepas itu dia ke kedai Pak Sulong dengan harapan ada orang yang akan mempelawanya bersarapan. Dia hampa dan tertidur di kaki lima kedai.

 
BAB 3               Adila melihat Bujei tertidur di kaki lima kedai semasa dia dan Same’ah dalam perjalanan ke bandar. Adila meluahkan rasa simpatinya kepada Bujei. Dia berpendapat bahawa Bujei tidak harus dilayan sebegitu rupa oleh masyarakat kampung. Adila dan Same’ah teringatkan  peristiwa Adila mula-mula berjumpa dengan Bujei. Adila berasa amat takut kepada Bujei.

 
BAB 4               Alias menyuruh Bujei membersihkan motosikalnya dan berjanji untuk memberi upah satu ringgit. Setelah selesai, Bujei menuntut janji. Alias ingkar malah Bujei mahu ditamparnya. Perbuatan Alias dihalang oleh ibunya sendiri, Mak Som. Mak Som memberikan Bujei minum, sarapan dan wang satu ringgit. Mak Som menasihatkan Bujei agar tidak menurut perintah Alias lagi.

 
BAB 5               Same’ah dan Adila sedang menyiapkan bunga telur di serambi. Mak Lamah, ibu Same’ah berada di dapur. Sidang Saman, ayah Same’ah pulang dari kebun getah. Dia memberitahu Mak Lamah bahawa Harun, bapa tiri Bujei telah pulang ke kampung itu. Sidang Saman dan Mak Lamah risau. Malam itu Same’ah dan Adila bermalam di rumah ibu saudara mereka, Mak Usu Bakyah. Adila menjelaskan bahawa dia pulang kampung kerana kecewa dengan kekasihnya yang telah berkahwin semasa dia menuntut di England.

 
BAB 6               Harun datang ke rumah Sidang Saman untuk meminta Sidang Saman memujuk Bujei supaya menyerahkan kuasa terhadap tanah pusaka milik arwah ibu Bujei kepadanya. Harun juga mahu mengambil balik tanah yang dijual kepada Wak Senen. Harun cuba menyogok Sidang Saman.

 
BAB 7               Bujei telah mendapat tahu tentang kepulangan Harun. Dia cuba mengelak daripada bertemu dengan Harun. Adila meminta Bujei datang ke rumah Sidang Saman. Dengan perasaan malu Bujei bertemu dengan Adila. Mereka berkenalan. Adila menjelaskan tujuannya ingin berbual dengan Bujei. Adila melayan Bujei dengan baik.

 
BAB 8               Pertemuan Adila dengan Bujei diketahui oleh Alias. Alias marah dan datang ke rumah Sidang Saman lalu menghalau Bujei. Alias berkenalan dengan Adila. Dia memburuk-burukkan Bujei membuatkan perasaan Adila terhadap Bujei terganggu. Setelah meninggalkan Adila dan Alias, Bujei pergi ke sungai dan tertidur. Dia dikejutkan oleh Harun untuk memujuk Bujei menurunkan cap jari pada surat menyerahan kuasa atas tanah pusaka ibunya. Cap jari itu rosak dan Bujei dibelasah oleh Harun hingga pengsan di tebing sungai.

 
BAB 9               Petang itu Adila menunggu kedatangan Bujei. Namum Bujei tidak muncul. Tiba-tiba Faizal datang untuk berbincang dengan Adila tentang masa depan mereka. Permintaan Faizal tidak dilayan oleh Adila. Faizal pulang dengan hampa. Bujei sedar daripada pengsan setelah hari malam. Dia pulang dan tidur dalam kesakitan. Keesokan harinya dia semakin sakit dan demam. Dia tidak dapat bangkit  hingga ke malam.

 
BAB 10             Adila risau kerana Bujei tidak datang seperti yang dijanjikan. Namun dia ditenangkan oleh Same’ah. Same’ah menceritakan kenangan lucu tentang Bujei semasa remajanya. Kononnya Bujei jumpa dan membawa bom dalam keadaan marah kepada Alias dan rakan-rakan.

 
BAB 11             Adila meminta Samsul mencari Bujei. Alias meminta Samsul menyampaikan pesan kepada Adila. Dia ingin berjumpa dan mengajak Adila ke bandar. Sidang Saman telah membawa Bujei pulang pada malam itu. Bujei tidur di bangsal. Dia memberitahu Samsul bahawa Harun telah memukulnya. Keesokan hari Adila membawa Same’ah, Bujei, Samsul dan Saniah ke bandar. Samsul menemani Bujei memotong rambut, membeli radio dan pakaian. Apabila pulang ke rumah, Bujei mengemas rumah dan berjanji pada dirinya untuk berubah.

 
Pada pagi besoknya Alias datang ke rumah Bujei untuk membuli. Bujei melawan menyebabkan Alias marah dan menghempaskan radio Bujei ke lantai. Bujei amat marah lalu menumbuk dan menyerang Alias dengan parang dan meminta ganti rugi. Alias pulang. Tidak lama kemudian orang kampung datang bersama Sidang Saman. Sidang Saman terpengaruh dengan kata-kata Alias menyebabkan dia memarahi Bujei. Setelah mengetahui perkara sebenar, Sidang Saman memaksa Alias membayar ganti rugi sebanyak RM 80 kepada Bujei.

 
BAB 12             Perubahan yang berlaku pada Bujei meyakinkan Adila bahawa Bujei boleh dipulihkan. Mak Lamah mengingatkan Adila tentang hubungan dengan Bujei. Mak Lamah takut Adila difitnah. Pak Imam datang ke rumah Sidang Saman untuk merisik Adila bagi pihak Opah Arah, nenek Alias. Adila menolak. Berita itu sampai ke pengetahuan Bijei menyebabkan dia rasa gelisah.

 
BAB 13             Perasaan Bujei terus gelisah memikirkan hubungannya dengan Adila. Namun dia menyedari dirinya tidak layak bersama Adila. Samsul datang menjemputnya ke rumah Sidang Saman untuk menolong menyiapkan astaka. Keluarga Adila tiba dari Kuala Lumpur. Ayah Adila diperkenalkan kepada Bujei. Pada malam majlis perkahwinan Same’ah, Bujei dijemput untuk menyanyi. Nyanyian yang lancar dan suaranya yang merdu membuatkan hadirin terpegun. Dia meninggalkan majlis selepas nyanyian itu.

 
BAB 14             Samsul datang membawa makanan kepada Bujei. Dia menyampaikan pesan ayah Adila, Pak Lang Dahlan supaya datang ke rumah Sidang Saman. Di rumah Sidang Saman, Bujei dilayan dengan baik oleh Pak Lang Dahlan. Faizal datang menghantar Adila.

 
Pada malam itu Wak Senen datang ke rumah Bujei. Dia menjelaskan kedudukan sebenar tentang tanah pusaka ibu Bujei yang dujual oleh Harun kepadanya. Dia ingin menyerahkannya semula kepada Bujei. Dia juga menasihatkan Bujei supaya jangan jual tanah itu.

 
Pada keesokan harinya Bujei datang ke rumah Sidang Saman untuk membantu Samsul mengemas. Dia bertanyakan Samsul tentang kedudukan Adila dengan Faizal dan Alias. Selepas mengemas mereka makan laksa.

 
BAB 15             Adila kesunyian setelah Same’ah tiada. Dia memikirkan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun dia keberatan untuk meninggalkan Bujei. Dalam masa yang sama, dia rasa hatinya lebih sakit sekiranya dia kembali ke Kuala Lumpur setelah mengenangkan hubungannya dengan Faizal.

 
BAB 16             Alias datang ke rumah Bujei. Dia memfitnah Adila. Dia memberitahu Bujei bahawa Adila menghidap penyakit AIDS menyebabkan dia membatalkan peminangannya. Bujei percaya dengan fitnah Alias. Bujei tidak berani lagi untuk pergi ke rumah Sidang Saman. Pada hari yang sama Adila mendapat surat layang yang mengandungi fitnah yang sama. Dia tidak dapat menahan kesedihan dan menangis. Adila pulang ke Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun dia bercadang untuk kembali semula ke kampung.

 
BAB 17             Bujei menunggu Samsul pulang dari sekolah dan mengikut Samsul ke rumah Sidang Saman. Samsul menjelaskan kepadanya bahawa Adila tidak sakit. Namun Bujei masih ragu-ragu. Bujei menceritakan kenangan semasa dia dibuli oleh Alias di kedai Pak  Sulong.

 
BAB 18             Dua minggu kemudian Samsul datang ke rumah Bujei. Dia mengajak Bujei ke hospital kononnya untuk melawat Adila yang sakit tenat. Dengan berat hati Bujei datang ke rumah Sidang Saman untuk sama-sama pergi ke hospital. Bujei terkejut berjumpa dengan Adila dalam keadaan sihat di rumah Sidang Saman. Mereka pergi ke hospital untuk melawat Sahak yang cedera kerana kemalangan akibat lumba haram. Adila menderma darahnya kepada Sahak.

 
BAB 19             Alias datang lagi ke rumah Bujei. Dia sekali lagi menghasut Bujei supaya menjauhi Adila yang dikatakan menghidap AIDS. Alias memberi amaran kepada Bujei tentang penyakit Adila yang akan berjangkit kepada Bujei. Bujei akan dihalau dari kampung itu sekiranya dijangkiti. Bujei mencabar Alias menghalau Adila dari kampung itu. Gagal menghasut Bujei, Alias merancang untuk menculik Adila. Kemudian dia memujuk neneknya Opah Arah mendapatkan ilmu pengasih. Alias menjadi tidak siuman.

 
BAB 20             Adila memberitahu hasratnya kepada Mak Lamah dan Sidang Saman bahawa dia ingin memilih Bujei sebagai bakal suaminya. Sebagai menghormati pilihan Adila, mereka setuju. Perkara itu masih dirahsiakan daripada orang lain. Sidang Saman menjelaskan bahawa Bujei belum bersedia menjadi suami kepada Adila. Adila menasihatkan Bujei supaya belajar ilmu agama daripada Sidang Saman. Adila pulang ke Kuala Lumpur untuk mula bekerja.