Rabu, 23 Januari 2013

LATIAHN 2A (iii)


Baca petikan di bawah dengan teliti. berdasarkan petikan tersebut, tulis suatu ringkasan tentang punca-punca remaja terjebak dalam gejala sosial. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kebelakangan ini, pelbagai laporan tersiar tentang pembabitan remaja dalam gejala penagihan dadah, rogol, curi, samseng sekolah, lumba haram dan lepak. Tidak kurang juga remaja terbabit dalam kes pembunuhan rakan sekolah dan membuang bayi hasil hubungan haram. Dalam mencari pokok pangkal remaja bermasalah itu, kita perlu menerima hakikat remaja hari ini menghadapi pelbagai tekanan daripada keluarga dan persekitaran. Keluarga mengharapkan anak-anak mencapai kejayaan, manakala persekitaran menggamit remaja untuk terlibat dalam pelbagai perkara. Keadaan ini bertambah parah apabila remaja pada hari ini lebih terdedah kepada pengaruh media massa, termasuk dari Barat yang membawa nilai asing dan pengaruh tersendiri. Perlakuan ganas dan kejam yang dibawa terus ke rumah melalui televisyen dan stesen satelit sememangnya mampu memporak-perandakan remaja dan masyarakat kita. Keadaan diburukkan lagi apabila ibu bapa masa ini tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama-sama dengan anak-anak. Dalam desakan memenuhi tuntutan mencari nafkah dan mencukupkan wang, ibu bapa keluar bekerja lantas tidak dapat meluangkan masa secukupnya dengan anak mereka.
Selain itu, apabila ibu bapa membiarkan anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan rakan-rakan sebaya. Apabila remaja berada dalam kumpulan, mereka suka melakukan perbuatan yang mencabar. Oleh itu, banyak kejadian seperti vandalisme, peras ugut, buli , dan sebagainya yang dilakukan oleh mereka. Tidak syak lagi jika keadaan sebegini dibiarkan, institusi kekeluargaan bakal menjadi lemah dan rapuh, Di sinilah ibu bapa perlu tampil dan memainkan peranan sebagai contoh kepada anak mereka. Ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar duit dan kemewahan hidup sudah pasti tidak ada masa untuk membina dan membentuk sahsiah dan jati diri anak yang memerlukan belaian dan kasih sayang. Pendidikan agama dan moral yang begitu tandus dalam kalangan remaja juga menjadi punca mereka begitu rapuh untuk mengelakkan diri daripada gejala sosial, Aspek ini perlu diberikan perhatian semula oleh ibu bapa demi memastikan anak mereka bersiap sedia menghadapi cabaran, tekanan dan perubahan sambil mengelakkan diri terjebak dalam pelbagai gejala sosial.
Di sekolah pula, remaja semakin bosan untuk meneruskan pelajaran lantaran ketidakmampuan otak mereka menerima pelajaran, Oleh sebab mereka sering tidak memahami pengajaran guru dan kadangkala mereka malu jika dimarahi, mereka bertindak untuk ponteng sekolah. Apabila mereka ponteng sekolah dan menghabiskan masa bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, mereka akan terdedah dengan pelbagai gejala yang negatif. Bagi mereka yang bercinta pula, mereka begitu sensitif dan tidak boleh ditegur oleh ibu bapa. Mereka begitu mudah tersinggung. Apabila berlaku perbalahan dalam keluarga atau cinta mereka dilarang, mereka akan mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Sebagai akibatnya, tindakan mereka itu telah menyebabkan mereka hendak lari daripada mulut harimau, namun mereka terperangkap di dalam mulut buaya.


Soalan pemahaman

1. Beri maksud rangkai kata pelbagai perkara daripada petikan di atas?

2. Apakah kesan yang akan berlaku jika remaja terjebak dalam gejala sosial?

3. Beri pendapat anda, bagaimanakah caranya kerajaan menangani masalah gejala sosial ini?

Selasa, 15 Januari 2013

LATIHAN 2A (ii)



Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang faedah membaca surat khabar. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan


Surat khabar merupakan bahan bercetak yang memaparkan pelbagai berita dan rencana dan diterbitkan pada setiap hari. Masyarakat digalakkan membaca surat khabar agar dapat memperoleh pelbagai manfaat.
           
              Membaca surat khabar dapat meluaskan pengetahuan kita tentang perkara-perkara yang berlaku sama ada di dalam atau pun di luar negara. Membaca surat khabar juga merupakan aktiviti masa lapang yang berfaedah dan dapat menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang meroskkan akhlak.
          
           Selain itu, kita dapat meningkatkan kemahiran berbahasa dan meluaskan kosa kata melalui surat khabar. Secara tidak langsung, kita dapat menghasilkan penulisan karangan yang menarik dan bermutu. Faedah seterusnya ialah kita dapat berkomunikasi dengan orang lain terutamanya tertang isu-isu semasa. 
         
          Konklusinya, kita perlu menyemai tabiat membaca dalam diri masing-masing kerana membaca akan menjadikan kita sebagai manusia yang berfikiran matang dan terbuka.

Selasa, 8 Januari 2013

LATIHAN 2A (i)

LATIHAN BAHASA MELAYU UNTUK MURID TINGKATAN 2 ARIF
KARANGAN BAHAN RANGSANGAN
Soalan:
Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah berkebun sayur. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan
Faedah-Faedah Berkebun Sayur
                                ---Menyihatkan tubuh badan
                                ---Hubungan kekeluargaan dapat dieratkan
                                ---Menjadi sumber pendapatan
                                ---Membekalkan kita sayur-sayuran



        Aktiviti berkebun sayur merupakan kegiatan yang digalakkan oleh pihak kerajaan. Kegiatan ini bukan sahaja boleh dilakukan secara kemersil tetapi juga untuk keperluan diri sendiri.                    


         Melalui aktiviti berkebun sayur, kita dapat menyihatkan tubuh badan. Kerja-kerja seperti menyangkul, menggemburkan tanah dan menyiram tanaman akan menyebabkan seseorang itu berpeluh dan boleh mengeluarkan toksin daripada tubuh badan. 

        Selain itu, apabila aktiviti ini dilakukan bersama-sama keluarga, secara tidak langsung hubungan kekeluargaan dapat dieratkan.                    

         Seandainya kegiatan berkebun sayur dilakukan secara komersil, aktiviti ini akan memberikan pulangan yang lumayan serta boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan keluarga. 

         Di samping itu, aktiviti berkebun sayur juga dapat membekalkan kita sayur-sayuran yang segar dan terhindar daripada penggunaan bahan-bahan kimia seperti baja dan racun serangga.                

         Konklusinya, semua pihak perlulah menyahut seruan kerajaan untuk mewujudkan bumi hijau di negara kita.                                                                                                                                                                                                                              ( 129 patah perkataan)

Ahad, 6 Januari 2013

LANGKAH MENJAWAB KOMSAS PMR


BAHAGIAN D ( KOMSAS ) 10 MARKAH.

 

1.   Jumlah isi- 3 isi sahaja. 1 isi = 2 markah.

2.   Perenggan- 3 perenggan.

3.   Setiap isi wajib/mesti disertai dengan huraian atau contoh. 

      PENTING !!!!! Tanpa contoh tiada markah.

4.   Permarkahan- Isi         ( 6 markah )

                           - Bahasa ( 4 markah ).

5. Topik penting dalam Komsas

1. Huraikan tema yang terdapat dalam novel yang anda kaji (10 markah)

2. Jelaskan persoalan-persoalan yang terkandung dalam novel yang

     anda kaji  ( 10 markah ).

      3. Huraikan perwatakan watak utama dalam novel yang anda kaji.

           ( 10 markah ).

     4.  Bandingkan perwatakan watak utama dengan watak sampingan

          dengan memberikan  contoh yang sesuai. ( 10 markah ).

5. Huraikan mesej/amanat/pengajaran yang anda peroleh dalam novel

    yang anda kaji ( 10 markah ).

6. Nyatakan nilai-nilai kemanusiaan  yang anda ketahui dan huraikan

    dengan memberi contoh yang sesuai ( 10 markah ).

7.   Jelaskan citra masyarakat yang terkandung dalam novel yang anda  

      kaji 9 10 markah ).

8.   Huraikan citra wanita yang dapat dilihat dalam novel yang anda kaji

     ( 10 markah ).

9.   Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda kaji

     dan nyatakan contoh yang sesuai ( 10 markah )

10.   Jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan latar dan huraikan jenis

      latar yang anda ketahui ( 10 markah ).

11. Jelaskan teknik plot yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji

      ( 10 markah ).

 

 

FORMULA MENJAWAB SOALAN KOMSAS

(    BARNIAT    YANG  HORJIN    )

 

BAR = SABAR

NI= BERANI

AT= TAAT

YANG= SAYANG

HOR= HORMAT

JIN= RAJIN.


MERENANG GELORA

FOKUS NOVEL 2013

Soalan1:

Merenang Gelora: Persoalan- Tanggungjawab Terhadap Tugas

Berdasarkan novel di atas berikan tiga contoh peristiwa yang dapat  menggambarkan persoalan di atas?

 

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan tanggungjawab terhadap tugas dalam novel ini.

            Peristiwa yang pertama ialah Badri bertanggungjawab terhadap tugasnya untuk membenteras salah laku disiplin pelajar di sekolahnya.

            Selain itu, peristiwa Siew Mei mencari Badri untuk meminta pertolongan Badri bagi menyiasat perbuatan Meng Kong bagi mengelakkan abangnya dibuang kerja oleh bapa Meng Kong.

            Akhir sekali, peristiwa Cikgu Jailani bertanggungjawab sebagai seorang guru disiplin untuk memberi denda kepada pelajar yang melanggar disiplin sekolah.

 

Soalan 2:

NILAI – KEGIGIHAN

Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan.

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan dalam novel ini.

            Peristiwa yang pertama, Badri gigih menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas yang menghadapi banyak cabaran.

            Selain itu, peristiwa Badri telah disimbah dengan air mangkuk tandas. Oleh yang demikian Badri meminta izin untuk pulang awal.

            Akhir sekali, peristiwa Badri dirempuh oleh seseorang sehingga tersungkur. Peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat Badri sebagai seorang pengawas.

 

 

Soalan 3:

NILAI- KEBERANIAN

Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian.

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian dalam novel ini.

            Peristiwa yang pertama ialah Badri tidak takut untuk menyiasat aktiviti Shahrul dan kawan-kawannya demi memastikan salah laku pelajar berjaya dibanteras.

            Selain itu, peristiwa Badri berhadapan dengan Shahrul yang menyerangnya. Namun kehandalan Badri dalam ilmu silat berjaya menewaskan Shahrul sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.

            Akhir sekali, peristiwa Badri membawa Kumar ke guru disiplin kerana Badri mengesyaki Kumar yang menyimbah air mangkuk tandas terhadapnya.

 

Soalan 4:

NILAI- KASIH SAYANG

Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang.

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang dalam novel ini.

            Peristiwa yang pertama Badri mahu membahagiakan kedua-dua ibu bapanya sebagai tanda kasih saying mereka membesarkannya.

            Selain itu, peristiwa Siew Mei saying akan abangnya, Siew Mei berjumpa Badri di sebuah restoran untuk meminta bantuan agar abangnya tidak dibuang kerja oleh bapa Meng Kong.

            Akhir sekali, peristiwa Jamil berpindah dan bersekolah di Sarawak kerana diminta berbuat demikian oleh ibu bapanya.

 

Soalan 5:

PERWATAKAN WATAK UTAMA – BADRI SEORANG YANG BERANI

Berdasarkan novel :Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan perwatakan watak utama dalam seperti yang ditetapkan di atas?

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Watak utama dalam novel ini ialah Badri. Badri digambarkan seorang yang berani.

            Peristiwa pertama ialah Badri berani membawa Kumar ke bilik guru disiplin kerana Badri mengesyaki Kumar yang menyimbah air mangkuk tandas terhadapnya.

            Selain itu, peristiwa Badri tidak takut untuk menyiasat aktiviti Shahrul dan kawan-kawannya demi memastikan salah laku pelajar berjaya dibanteras.

            Akhir sekali, peristiwa Badri berani berhadapan dengan Shahrul yang menyerangnya. Namun kehandalan Badri dalam ilmu silat berjaya menewaskan Shahrul sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.

 

Soalan 6:

PERWATAKAN WATAK UTAMA- BADRI SEORANG YANG GIGIH

Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan perwatakan watak utama dalam seperti yang ditetapkan di atas?

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Watak utama dalam novel ini ialah Badri. Badri digambarkan seorang yang gigih.

            Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Badri dirempuh oleh seseorang sehingga tersungkur. Peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat Badri sebagai seorang pengawas.

            Selain itu, peristiwa gigih menjalankan tugas sebagai seorang pengawas yang menghadapi banyak cabaran.

            Akhir sekali, peristiwa Badri telah disimbah dengan air mangkuk tandas. Oleh yang demikian, Badri meminta izin untuk pulang awal.

 

Soalan 7:

PERBANDINGAN WATAK-

            Watak utama- Badri

            Watak sampingan- Shahrul

Berdasarkan novel di atas nyatakan 3 perbandingan antara watak utama dan watak sampingan?

Jawapan:

            Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak perbandingan antara watak utama dan watak sampingan.

            Perbandingan yang pertama ialah Badri seorang yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawas sekolah manakala Shahrul seorang yang tidak bertanggungjawab kerana dia telah meninggalkan Nadira ketika diserbu polis.

            Selain itu, Badri tidak suka berfoya-foya dan hidup bebas kerana tidak mendatangkan faedah kepadanya manakala Shahrul sentiasa berfoya-foya bersama rakan-rakannya dan sering terlibat dalam lumba haram.

            Akhir sekali, Badri seorang yang rajin kerana dia selalu mengulang kaji pelajaran ketika peperiksaan SPM semakin hampir manakala Shahrul menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak.

 

Soalan 8:

Berdasarkan novel “Merenang Gelora” jelaskan tiga latar tempat setiap tempat tersebut berikan contoh tiga peristiwa yang berlaku?

Jawapan:

            Novel yang saya pilih ialah “Merenag Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak latar tempat dalam novel ini.

            Latar tempat yang pertama ialah di rumah Badri iaitu ibu Badri, Mak Siti menyediakan sarapan untuk keluarganya.

            Selain itu, di kompleks beli belah iaitu  tempat Shahrul, Kumar, dan Meng Kong melepak  selepas selesai sesi persekolahan dan pada hujung minggu.

            Akhir sekali, ialah di kedai Encik Tan, ayah Meng Kong iaitu peristiwa Meng Kong mencuri telefon bimbit di stor kedai ayahnya untuk dijual  kepada pelajar-pelajar di sekolahnya. Meng Kong datang ke kedai ayahnya pada setiap hari Sabtu.

 

Soalan 9:

Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga latar masyarakat. Bagi setiap tempat tersebut berikan contoh tiga peristiwa yang berlaku.

Jawapan:

            Novel yang saya pilih ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak latar masyarakat dalam novel ini.

            Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat yang prihatin terhadap anak. Contohnya, Encik Tan menghantar Meng Kong ke asrama supaya Meng Kong lebih berdisiplin dan mengubah sikapnya.

            Selain itu, masyarakat yang bijak mengurus masa. Contohnya, Badri dan Badrul berada di tempat menunggu bas seawal pukul 6.40 pagi agar tidak ketinggalan bas.

            Akhir sekali ialah masyarakat yang rajin belajar. Contohnya, Badri, Siew Mei, dan Taufik bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

 

PANDUAN MEMBINA KARANGAN BAHAGIAN C PMR



BAHAGIAN C ( KARANGAN UMUM ) 40 MARKAH.

 

1.   Jumlah perkataan- Melebihi 180  patah perkataan . ( tulis di bahagian
       bawah sebelah kanan ).

2.   Perenggan- 5/6 perenggan.

1 Perenggan- Pendahuluan.

4 Perenggan- Isi/huraian/contoh/bukti- angka,pendapat tokoh,
   hasil kajian dll

1 Perenggan- Penutup.  

3.   Jumlah isi- 3   /   4  isi sahaja.

4.   Sintaksis- ringkas & padat.

5.   Mesti ada 3 penanda wacana atau lebih 

 ( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru, Di samping itu,  dll ).

6.   Pemarkahan – pemeriksaan keseluruhan dan markah karangan akan
       ditentukan berdasarkan gred markah yang telah ditetapkan.

7.   Kesalahan tatabahasa akan menyebabkan markah  pelajar akan ditolak.

 

PEMBINAAN KARANGAN.

 

Contoh Soalan – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara kita telah banyak mengorbankan nyawa manusia. Huraikan cara-cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.

 

i. Cara menulis pendahuluan.

-     Pastikan 1 perenggan sahaja.

-     Gambaran awal tentang karangan yang hendak ditulis.

-     Mecetuskan isu yang hendak dikemukakan dengan pernyataan yang
      merangsang pemikiran dan menarik  perhatian pemeriksa.

-     Boleh  selitkan pendapat tokoh ternama, bukti dan angka sesuatu
      peristiwa, persoalan berjawab dll. 

Contoh pendahuluan- 

            Kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara kita acap kali mendatangkan kerugian. Banyak nyawa yang terkorban dan harta benda musnah ditimpa tanah runtuh. Sikap suka menuding jari menyalahkan pihak lain adalah perkara biasa jika kejadian seumpama ini berlaku. Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini? Semua pihak harus memain peranan masing-masing dalam menanggani masalah ini. Hal ini menyebabkan pihak berkuasa digesa untuk mencari jalan yang sesuai bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.
 

ii. Cara menulis isi karangan.  

          - Setiap perenggan mesti ada ISI UTAMA + ISI SAMPINGAN + CONTOH.

          - Setiap perenggan mesti ada pertalian dengan menggunakan penanda
             wacana.

          - Pastikan tidak berlaku pengulangan isi.

          - Formula ( Isi Utama + Mengapa / Bagaimana + Kesan/
          Contoh )

 

Contoh Isi karangan

            Selain itu, pembinaan rumah atau bangunan di kawasan lereng bukit perlulah dilarang. Hal ini demikian kerana  tanah di kawasan tersebut mudah runtuh akibat hakisan tanah. Perkara  ini membahayakan nyawa sesiapa saja yang tinggal di kawasan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan kejadian runtuhnya  Highland Tower  yang mengorbankan banyak  nyawa.  Yang terbaharu, kejadian di Bukit  Antarabangsa  tahun  2009 juga  telah merosakkan banyak harta benda.

 

iii. Cara menulis penutup karangan

-     Buat satu rumusan atau kesimpulan yang anda huraikan.

-     Jangan ulangi fakta yang telah anda gunakan dalam perenggan isi.

-   Formula ( Rumusan utama  +  Bagaimana + Kesan )

 

Contoh-
           Kesimpulannya, ( RUMUSAN UTAMA ). kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh . ( BAGAIMANA ). Masyarakat perlu memupuk kesedaran terhadap pentingnya pemuliharaan alam sekitar. ( KESAN )Usaha ini diharapkan dapat mencegah kejadian tanah runtuh daripada berulang lagi pada masa akan datang.  

Soalan karangan yang popular.  

1.   Soalan berbentuk pengalaman seseorang- aktiviti di sekolah.

2.   Surat Rasmi dan Tidak Rasmi.

3.   Karangan Laporan.

4.   Karangan Perbincangan/Pendapat.

5.   Karangan Bertajuk Peribahasa.

6.   Karangan Cereka/keperihalan.

7.   Karangan Syarahan/perbahasan