Isnin, 30 Januari 2012

KESIHATAN ASAS KEBAHAGIAAN

KESIHATAN ASAS KEBAHAGIAAN

            “Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.

            Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein.
Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.

            Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat.
Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.

            Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.
            Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.

Karangan Jenis Peribahasa “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”.

Karangan Jenis  Peribahasa “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”.
Karangan Contoh


            Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan berbagai-bagai peribahasa. Peribahasa ini digunakan orang sebagai kiasan, teladan, dan pengajaran. Setiap peribahasa mempunyai maksudnya yang tertentu. Dalam setiap peribahasa, lazimnya tersirat nasihat dan pengajaran yang sesuai dijadikan panduan hidup sepanjang zaman.
Begitulah halnya dengan peribahasa “sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Peribahasa ini mempunyai maksud yang baik sekali dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita sehari-hari.

            “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan” bermaksud jika kita terlanjur dalam melakukan sesuatu perbuatan, eloklah kita menginsafinya dengan segera. Dari segi bahasa, kata sesat bermaksud tersalah jalan atau tidak mengikut jalan yang betul. Kata sesat dapat diertikan juga sebagai tidak mengikut ajaran yang benar atau menyimpang daripada kebenaran.
            Peribahasa ini menganjurkan kita membetulkan langkah, perbuatan, atau kesilapan yang telah kita lakukan. Dalam hal ini kita perlu meneliti dan mengkaji punca atau sebab sesuatu kesilapan itu kita lakukan supaya kesilapan itu tidak kita ulangi. Oleh sebab itulah kita disuruh berpatah balik ke pangkal jalan apabila kita tersesat. Dari pangkal jalan kita dapat menemukan punca kesilapan kita. Dari situ jugalah kita dapat mencari jalan yang betul.

            Jauh atau dekat perjalanan kesesatan kita, bukanlah ukurannya. Selangkah kita tersesat jalan, kita akan mengalami kerugian yang berlarutan seandainya kesilapan itu tidak kita sedari. Kita tidak dapat mencari jalan yang betul kerana punca atau sebabnya tidak kita ketahui. Kita tidak dapat membetulkan kesilapan kita kerana caranya tidak kita ketahui. Oleh hal yang demikian, kita patut insaf dan mencari jalan yang betul itu semula.

            Dalam hal ini, natijah tersesat pemikiran adalah lebih buruk kesannya daripada keadaan di dalam hutan atau tersesat ketika mencari jalan pulang ke rumah. Hal ini dapat dijelaskan melalui pepatah “terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Seseorang yang tersesat pemikiran bermakna dia keliru ketika mencari arah kehidupan yang sebenarnya.
Dia akan bertindak sesuka hatinya dan terkeluar daripada batas-batas tatasusila dan moral manusia. Tindakannya bertentangan dan menyimpang daripada kebenaran.

            Gejala tersesat pemikiran ini jelas berlaku dalam kalangan remaja negara kita pada hari ini. Kebanyakan remaja kini hidup bagai anak ayam kehilangan induk. Mereka tidak mendapat bimbingan yang betul untuk meneruskan perjalanan hidup mereka. Lantaran itu mereka mudah tersesat. Mereka sesat dalam gaya hidup yang lumrah dengan pelbagai aktiviti yang meruntuhkan moral. Mereka sesat dalam kemungkaran dan lembah maksiat kerana mereka tiada ketahanan diri yang kental dan kukuh.

            Sesungguhnya, kesesatan tidak bermakna kehancuran.
Kehancuran hanya akan kita alami seandainya kita meneruskan perjalanan dalam keadaan yang sesat. Oleh sebab itu, apabila kita tersesat, kita seharusnya kembali ke pangkal jalan dan membetulkan kesilapan yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, kita akan selamat di sepanjang perjalanan pada masa depan.

Punca-Punca Berlakunya Kemalangan Jalan Raya

Punca-Punca Berlakunya Kemalangan Jalan Raya

            Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.

            Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

            Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

            Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

            Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

            Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.

BULI DI SEKOLAH

BULI DI SEKOLAH – IBU BAPA DAN GURU PERLU MAINKAN PERANAN



          Sekolah merupakan sebuah institusi yang amat penting bagi sesebuah negara. Di sinilah generasi pemimpin dan peneraju negara pada masa hadapan, dididik dan dibentuk. Begitu juga, institusi sekolah merupakan tempat memupuk dan membentuk jati diri dan semangat patriotisme anak bangsa, di samping berfungsi sebagai tempat pendidikan akademik dan kemahiran.

         Namun begitu laporan-laporan akhbar menunjukkan kes jenayah juvana dalam kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi, yang sedikit sebanyak menjejaskan peranan sekolah sebagai pembentuk jati diri dan pendidikan generasi masa hadapan negara.
         Kebanyakan masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan melalui perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan diri. Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal seperti memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit. Manakala, buli mental lebih kepada ejek-mengejek, mengusik dan menghina. Secara umumnya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, sama ada secara individu atau berkumpulan.
        Namun begitu perlakuan buli dalam kalangan pelajar perempuan tidak harus diketepikan, malah ia semakin meningkat. Bermula dengan kes Sherman Mohd Jaafar, 14, yang mengalami kecederaan parah di tengkuk serta belakang badan selepas dibelasah oleh lima orang pelajar seniornya di asrama sebuah sekolah menengah di Tumpat, Kelantan. Baru-baru ini, kes buli di Kuching yang melibatkan lima pelajar perempuan sekolah menengah yang melakukan kekerasan terhadap mangsa secara beramai-ramai telah melahirkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya para ibu bapa. Keadaan ini menimbulkan suasana yang tidak aman dan selamat di sekolah.

       Sesungguhnya isu buli di sekolah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja. Ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik guru, ibu bapa atau pelajar itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng. Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci dan ingin membalas dendam, tidak sewajarnya menjadi budaya yang menunjangi institusi sekolah.

       Pelbagai faktor mempengaruhi seorang pelajar terlibat dalam gejala buli. Antaranya, latar belakang keluarga, rakan sebaya, kurang didikan agama, persekitaran dan budaya sekolah serta media massa. Maka, jelaslah bahawa latar belakang sesebuah keluarga dan persekitaran serta budaya sekolah amat mempengaruhi perkembangan seseorang individu. Ibu bapa perlulah meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Ibu bapa perlulah senantiasa peka terhadap pemilihan rakan sebaya oleh anak-anak mereka, mengambil tahu akan setiap aktiviti yang anak-anak mereka terlibat.

        Selain itu, pelajar meluangkan lebih banyak masa di sekolah berbanding di rumah. Guru merupakan ibu dan bapa kepada pelajar di sekolah. Sebagai seorang guru dan ibu bapa kepada pelajar di sekolah, para guru haruslah arif dengan dapat mengesan sebarang tanda-tanda negatif atau perubahan dalam diri seseorang itu. Seumpamanya, melihat gelagat pelajar yang sentiasa periang di sekolah telah berubah identitinya dengan mendiamkan diri dan mengasingkan diri. Ia mungkin memaparkan tanda-tanda seseorang pelajar itu mungkin dibuli atau terlibat dalam sebarang masalah. Justeru, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang setanding dalam pembentukkan seseorang individu. Dengan ini,  ia dapat membanteras anak-anak muda pada hari ini daripada terjebak dalam kancah gejala seperti ini.

        Walaupun, semua faktor ini mempengaruhi emosi dan pembentukan seorang individu, namun individu itu sendiri seharusnya menyedari kesan yang akan wujud pada masa akan datang akibat daripada tindak-tanduknya pada hari ini. Mereka juga hendaklah menilai dengan rasional bahawa penglibatan dalam gejala-gejala sosial seperti ini bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah di Malaysia tetapi akan menghancurkan segala impian dan kerjaya seorang pelajar. Ini secara tidak langsung memalapkan masa depan pelajar itu sendiri dan mangsa buli.



Langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan
Kemalangan jalan raya bukanlah satu perkara baru di negara kita, malahan sejak sekain lama kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.  Kemalangan tersebut telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa, terutamanya kemalangan yang melibatkan bas. Oleh itu, kerajaan telah melakukan langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini.
Antara langkah yang patut dilakukan ialah undang-undang keselamatan jalan di jalan raya perlu diperketat supaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Syarat kelulusan bagi ujian kelas memandu juga haruslah dinaikkan. Selain itu, para pemandu diwajibkan menduduki peperiksaan setiap dua tahun untuk memahirkan mereka dengan kemahiran yang diajarkan di kelas memandu dahulu. Keadaan kenderaan seperti tidak berlampu dan sistem brek yang rosak merupakan salah satu penyumbang utama kemalangan di jalan raya. Oleh itu, para pemandu perlu sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat sebelum digunakan, khususnya untuk perjalanan yang jauh. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan haruslah mewajibkan pemeriksaan kenderaan dilakukan setiap tahun dan mengenakan denda terhadap mereka yang mengingkarinya.
Kemalangan jalan raya yang kerap berlaku sejak belakangan ini adalah berpunca daripada sikap pemandu yang suka memandu  melebihi had laju yang ditetapkan. Dalam hal ini, had laju yang sedia ada wajar dikurangkan, khususnya di kawasan lebuh raya, walaupun sesetengah pemandu sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi apabila suatu peraturan itu telah ditetapkan, mereka harus mematuhinya.
Denda juga harus dikenakan terhadap pengguna yang memandu melebihi had yang ditetapkan. Jika seseorang pemandu itu didapati melakukan kesalahan yang sama lebih daripada dua kali, maka lesen memandu mereka perlu digantung. Tindakan ini sudah pasti akan dapat membuka mata pengguna-pengguna lain. Sikap tidak mengambil peduli akan keselamatan di jalan raya dalam kalangan pengguna selama ini pasti akan terhakis apabila amaran menggantung lesen memandu mereka dikeluarkan.
Pengguna juga perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka ketika berada di jalan raya melalui kempen-kempen keselamatan jalan raya oleh pihak tertentu, bak kata pepatah, janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna menyesalinya lagi, kerana nasi sudah menjadi bubur.
Bahagian A (ii): Pemahaman
  1. Berikan maksud rangkai kata sikap tidak mengambil peduli dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara kita ? [4 markah]
  3. Jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia semakin bertambah setiap kali musim perayaan. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Langkah-langkah Untuk Meringkaskan Karangan

Langkah-langkah Untuk Meringkaskan Karangan
Langkah 1

Baca arahan dan fahamkan kehendak soalan.
Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan menguasai teknologi maklumat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Langkah 2

Sambil membaca petikan gariskan idea yang berkaitan dengan arahan.
Baca keseluruhan petikan yang diberikan beberapa kali dan gariskan isi-isi penting.
Isi-isi penting yang digarisi perlu mencakupi kehendak soalan.

Langkah ke-3

Tukarkan perkataan yang seerti dengan perkataan yang ada di dalam baris sebanyak mungkin tanpa mengubah maksud asalnya.

Contoh:

para usahawan(tukar kepada peniaga) dapat mempromosikan(tukar kepada mengiklankan) barangan(tukar kepada produk) mereka secara langsung(tukar kepada terus) melalui laman-laman web kepada masyarakat(tukar kepada orang ramai)

Langkah ke-4

Pilih penanda wacana yang sesuai mengikut kesesuaian isi yang telah dipilih selepas ayat yang pertama.

Langkah ke-5

Tulis ringkasan karangan tanpa perlu ada pendahuluan, penutup atau pendapat anda sendiri.
a.Tulis hanya SATU ISI dalam SATU AYAT.
b.Tulislah ringkasan mengikut pemahaman anda tentang isi-isi penting karangan.
c.Dapatkan sekurang-kurangnya lebih daripada LIMA ISI PENTING.
d.Anda tidak boleh menyatakan pendapat atau membuat kesimpulan.
e.Daripada isi penting yang anda garisi itu, binalah ayat-ayat anda sendiri.
f.Gunakan ayat ringkas saja.
g.Mulakan ayat dengan penanda wacana yang sesuai.
h.Jumlah kata yang digunakan menepati arahan soalan

CONTOH PENDAHULUAN DAN PENGGUNAAN PENANDA WACANA

Antara kebaikan menguasai teknologi maklumat ialah para peniaga dapat mengiklankan produk mereka secara terus menerusi laman-laman web kepada orang ramai. Selain itu, orang ramai pula boleh melayari mana-mana laman web untuk memperoleh produk yang diperlukan tanpa perlu membuang waktu mencari produk tersebut di luar.

TIP KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN

TIP KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN
KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN
Karangan ini merupakan salah satu daripada komponen Kertas Dua Bahasa Malaysia PMR; iaitu:
  • Bahagian B.
  • Satu soalan dikemukakan
  • WAJIB dijawab.
  • Panjang karangan tidak melebihi 120 patah kata
  • Masa dicadangkan ialah 25 minit
  • Markah diperuntukkan ialah 20 markah
Bahan-Bahan:
  • Gambar tunggal atau gambar bersiri
  • Gambar foto
  • Gambar rajah
  • Ilustrasi kartun
  • Pelan
  • Iklan
  • Poster
  • Graf
  • Jadual
Panduan Umum
  • Karangan ini ditulis dalam beberapa perenggan. Pelajar dicadangkan menulis satu perenggan pendahuluan, 3-4 perenggan isi dan satu perenggan penutup.
  • Anda digalakkan memberikan pendapat tentang bahan rangsangan yang diberikan berdasarkan arahan dalam tugasan soalan.
  • Minimum isi yang diperlukan ialah 3 isi.
Menganalisis Bahan Rangsangan yang diberi.
  • Baca dan fahami arahan soalan yang diberikan dengan teliti untuk mengenal pasti kehendak soalan.
  • Anda perlu meneliti tajuk yang disediakan bersama-sama dengan bahan rangsangan. Cuba kaitkan bahan tersebut dengan soalan yang diberikan.
  • Cuba dapatkan mesej utama daripada bahan tersebut.
  • Analisis anda hendaklah meliputi kata kunci soalan, skop tajuk dan kehendak soalan.


Merangka Karangan Anda
Karangan jenis ini terdiri daripada 3 komponen utama; iaitu:
  • Pendahuluan
  • Isi-isi penting
  • Penutup
a)Pendahuluan
  • Pendahuluan perlu ditulis dalam satu perenggan sahaja.
  • Kaitkan kehendak soalan dengan tahun bahan yang diberikan
  • Pendahuluan ditulis perlu memberikan gambaran umum tajuk bahan rangsangan
  • Menyatakan definisi atau konsep tentang perkara dalam bahan rangsangan atau soalan
  • Hendaklah menyentuk perkara yang hendak ditulis dalam bahagian isi
  • Dapat meyakinkan pembaca atau pemeriksa dengan karangan anda.
b)Perenggan Isi
  • Isi karangan hendaklah ditulis dalam beberapa perenggan
  • Dalam setiap perenggan perlu ada satu isi utama. Isi utama hendaklah dikembangkan dengan isi sampingan berserta contoh.
  • Isi setiap perenggan hendaklah mempunyai pertalian dengan isi dalam perenggan yang lain.
  • Anda perlu menggunakan penanda wacana yang sesuai untuk menghubungkan isi-isi atau perenggan-perenggan.
c)Perenggan Penutup
  • Bina kesimpulan atau rumusan berserta cadangan, pandangan dan sebagainya bagi keseluruhan isi atau perkara pokok soalan.
  • Anda harus membina kesimpulan yang menarik dan dapat meyakinkan pembaca atau pemeriksa.
  • Kesimpulan haaruslah membayangkan pendirian anda tentang tajuk bahan rangsangan.
  • Jangan ulang fakta-fakta yanganda telah nyatakan dalam perenggan isi.
  • Selain itu, jangan msukkan fakta baru dalam perenggan penutup.
Setelah selesai membina karangan, anda perlu menyemak karangan anda dari segi ejaan, tanda bacaan dan struktur ayatnya.Pastikan juga jumlah patah kata dalam lingkungan yang telah ditetapkan. Sila catat jumlah patah kata di dalam kurungan di sudut kanan baris terakhir karangan untuk rujukan pemeriksa. Anda digalakkan menyisipkan peribahasa atau ungkapan dalam karangan anda.

Ahad, 29 Januari 2012

Langkah-langkah untuk memupuk semangat perpaduan

Langkah-langkah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat lebih berkesan sekiranya dimulakan dari rumah

          Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air.

          Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga.
Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh .

           Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum .

          Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air".

          Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri .

         Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian .

           Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .

Faktor-Faktor Remaja Suka Merokok

Remaja kini suka merokok di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Huraikan faktor-faktor gejala ini terus berlaku.

        Remaja merupakan golongan yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Dalam usia yang muda dan mencabar ini, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan ada dalam kalangan remaja yang terpengaruh untuk berjinak-jinak dengan tabiat merokok. Oleh hal yang demikian, kadar perokok remaja semakin merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Realitinya, remaja pada masa ini semakin berani merokok di mana-mana sahaja tanpa segan silu. Saya berpendapat bahawa banyak faktor yang menyebabkan gejala merokok terus merebak dalam kalangan remaja.

       Mengikut kajian yang dijalankan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin gejala merokok dalam kalangan remaja.
Hal ini berlaku kerana pihak berwajib dikatakan tidak serius melaksanakan undang-undang yang digubal. Oleh sebab pihak berkuasa bersikap melepaskan batuk di tangga, remaja menjadi tidak takut waima tidak gentar untuk melakukan kesalahan seperti merokok di tempat-tempat awam. Lama-kelamaan, fenomena merokok dalam kalangan remaja bagai bisul menjadi nanah yang sukar diubati lagi.

       Selain kelemahan penguatkuasaan, pengaruh media massa yang bebas menyiarkan iklan juga merupakan penyumbang kepada masalah merokok dalam kalangan remaja. Remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang sudah pasti mudah terpengaruh dengan ledakan iklan daripada media massa. Kajian juga mendapati remaja dan golongan muda-mudi merupakan penonton tertinggi siaran media. Oleh sebab itu, iklan rokok dan poster konsert yang ditaja oleh pihak pekilang rokok mudah meresap dalam jiwa remaja yang mendahagakan keseronokan. Remaja memang mudah mempelajari apa-apa sahaja tontonan mereka. Oleh hal yang demikian, kebanyakan remaja memberanikan diri membeli dan memegang rokok kerana pengaruh media massa.

        Di samping itu, kawan merupakan insan yang paling istimewa dan memainkan peranan yang penting dalam pergaulan remaja. Walau bagaimanapun, ada antara remaja yang cuba merokok selepas dicabar atau diajak oleh kawan-kawan. Hal ini tidak mustahil kerana hubungan antara kawan yang rapat bagai isi dengan kuku sedikit sebanyak merangsang kepercayaan remaja terhadap kata-kata kawan mereka. Oleh sebab menjadi pak turut kawan, majoriti mereka sama-sama ponteng sekolah, sama-sama membeli rokok lalu merasai asap rokok tanpa menyedari kebahayaan rokok. Selepas terjebak dan ketagihan rokok, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada tabiat buruk ini lagi.

        Ibu bapa yang kurang memberi kasih sayang dan tidak prihatin akan perubahan sikap anak-anak juga merupakan faktor remaja merokok. Hal ini demikian kerana ibu bapa pada zaman berteknologi ini terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan sehingga mengabaikan tanggungjawab keibubapaan mereka. Sikap ibu bapa ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka sanggup mengabaikan kasih sayang dengan memberi wang kepada anak-anak mereka sebagai gantian kasih sayang. Anak-anak yang belum berfikiran matang pula menyalahgunakan wang tersebut tanpa kawalan ibu bapa. Hal ini menyebabkan remaja dapat membeli rokok dengan mudah kerana harganya masih murah.

         Secara tuntas, saya berpendapat bahawa gejala merokok sebenarnya dapat diatasi sehingga akar umbi. Namun begitu, semua pihak haruslah bersikap bagai aur dengan tebing untuk bekerjasama membanteras gejala merokok dalam kalangan anak-anak. Remaja haruslah bangun daripada kesalahan yang dibuat oleh mereka kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, penjagaan kesihatan diri ialah tanggungjawab sendiri. Jika kita berkesedaran dan berfikiran matang, nescaya dapat meningkatkan tahap kesihatan diri dengan menjauhi tabiat merokok. Saya berharap pihak berkenaan, terutamanya kerajaan dapat mempergiat kempen antimerokok agar remaja dapat menjauhi gejala merokok yang mampu membawa maut dalam jangka masa panjang.

Kesan-kesan Pencemaran Udara

Kesan-kesan pencemaran udara kepada manusia dan alam sekitar
           Pencemaran udara dikaitkan dengan bahan-bahan sintetik dan lain-lain pengotor berbahaya yang meresap dan menjadi sebahagian udara. Bahan-bahan ini kebanyakannya merupakan bahan buangan industri, asap ekzos kenderaan, tindakan pembalakan dan sebagainya yang mengeluarkan zarah-zarah pepejal dan gas yang terlepas ke dalam udara. Terdapat banyak kesan buruk yang akan menimpa manusia jika langkah-langkah kawalan segera tidak diambil untuk menangani pencemaran.
           Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia. Manusia akan menghidap pelbagai penyakit, khususnya respirasi akibat menghidu udara yang tercemar. Manusia memerlukan udara bersih untuk hidup. Jika udara yang dihidu tercemar, sistem pernafasannya akan menyerap pelbagai bahan pencemar ke dalam paru-paru. Ini akan mengakibatkan proses penukaran karbon dioksida kepada oksigen tidak dapat dilakukan dan darah akan mengalami kekurangan oksigen. Ini seterusnya menyebabkan fungsi paruparu terjejas dan sistem pengaliran darah mengalami masalah. Ini mengakibatkan pelbagai penyakit.
            Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman. Tumbuh-tumbuhan memerlukan udara dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Jika udara mengandungi bahan pencemar, ini mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Ini mengakibatkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokok-pokok dan tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan basil keluarannya akan terancam.
            Selain itu, pencemaran udara juga memberi kesan kepada iklim global dan setempat. Pelbagai bahan kimia buangan seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida akan larut dengan wap air dan akan turun sebagai hujan asid. Hujan asid ini berbahaya kerana is akan mengalir dan meresap ke dalam tanah dan memusnahkan galian dalam tanah sehingga tanah menjadi tidak subur. Kehadiran bahan-bahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang memberi kesan menyeluruh kepada bumi.
            Tidak ketinggalan, pencemaran udara juga memberi kesan kepada bangunan-bangunan. Bangunan-bangunan, khususnya yang diperbuat daripada batu kapur boleh mengalami keretakan dan roboh. Ini kerana bahan-bahan pencemar yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya akan lekat dan bertindak balas ke atas batu dan meretakkan bangunan. Bangunan-bangunan akan rapuh, terurai, lemah, pudar dan kotor. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk membaiki dan memulihkannya.
            Di samping itu, pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita. Bahanbahan pencemar seperti CFC (kloroflora karbon) dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor. Ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Ini mengakibatkan kandungan karbon dioksida dalam udara meningkat serta memberi kesan rumah hijau dan kepanasan bumi akan meningkat. Penipisan lapisan ozon akan mengakibatkan sinar ultra-ungu menembusi atmosfera tanpa lapisan dan menjejaskan kesihatan manusia.
            Kesimpulannya, memandangkan pencemaran udara ini memberi kesan menyeluruh kepada umat manusia, maka langkah-langkah menyeluruh perlu diambil. Undang-undang yang lebih keiat perlu digubal dan penguatkuasaannya perlu ditambah. Satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan.